Artikel

Siapa Penulis di Hati Editor?

oleh Roziyah pada 02 Jun 2011

Kemunculan penulis di Malaysia kini bagaikan cendawan selepas hujan. Melalui bakat dan kemahiran yang diasah, karya yang berkualiti semakin banyak di pasaran. Pendedahan penulisan kepada umum juga menjadi punca kelahiran ramai penulis-penulis muda dengan perbagai genre tulisan yang mewarnai industri penerbitan di Malaysia.

Dalam menerbitkan sesebuah karya dan menjadikan karya itu dikenali, penulis perlu mempunyai hubungan rapat dengan editor bagi merealisasikan karya dalam bentuk cetakan. Sebagai maklumat, editor mempunyai peranan bagi memastikan tulisan itu diterbitkan dan sampai kepada khalayak pembaca.

Editor berperanan besar dalam memastikan hasil karya yang ditulis pengarang dapat memenuhi keperluan pembaca yang semakin bijak memilih buku-buku yang berkualiti.

Penulis PTS, Tuan Ann Weng Sang dalam kertas kerjanya di Seminar Editor Malaysia yang diadakan baru-baru ini menjelaskan editor mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam menghasilkan karya yang bermutu dan diterima pembaca.

“Namun begitu, tanpa bantuan dan kerjasama yang dihulurkan oleh pengarang, maka ia akan menyukarkan editor melaksanakan dan menyelesaikan tugasnya. Pengarang dan editor harus membentuk hubungan yang rapat bagi memastikan karya itu dapat diterbitkan mengikut masa yang ditetapkan,” jelas Tuan Ann Wan Seng dalam kertas kerja sempena Seminar Editor Malaysia yang diadakan baru-baru ini.

Bagi beliau, penulis dan editor perlu menjalinkan komunikasi dan berinteraksi dengan baik bagi memastikan karya itu dapat diterbitkan mengikut masa yang ditetapkan.

“Pihak pengarang tidak seharusnya menunggu editor menghubunginya. Sebaliknya pengarang perlu mempunyai inisiatif dan keberanian menghubungi editor sendiri. Pengarang harus menepis ego dan kedudukannya dengan mendampingi editor dan menjadikan editor sebagai rakan kongsinya,” jelas beliau lanjut.
Sebagai rakan kongsi dalam menghasilkan buku, penulis dan editor dapat bersama-sama bertukar pandangan dan membincangkan segala isu dan sama-sama mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul. Hubungan baik yang terjalin ini dapat membantu melancarkan penerbitan sesebuah karya.

“Pengarang sekadar menghantar karyanya kepada sesebuah penerbitan tanpa ada usaha untuk mendekati, memujuk dan menyakinkan editor untuk menerbitkan hasil tulisan. Bagi pengarang yang ternama, mereka mungkin tidak menghadapi masalah untuk memastikan tulisannya ditangani oleh editor dan karyanya diterbitkan. Namun, bagi pengarang yang baru, mereka perlu berusaha untuk mengenali dan mendekati editor di dalam sesebuah syarikat penerbitan.

“Hubungan itu bukan sahaja penting di dalam penerbitan sesebuah karya tetapi juga membolehkan pengarang memahami dan mempelajari proses penerbitan yang perlu dilalui. Penerbitan sesebuah buku mengambil masa yang agak panjang berbanding dengan majalah dan akhbar. Melalui hubungan dengan editor akan membantu penerbitan sesebuah karya dan penghasilan karya seperti mana yang dikehendaki oleh pengarang,” jelas beliau dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Editor Malaysia.

Tuan Ann Wan Seng yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang penulisan sentiasa menjaga hubungan baiknya dengan semua editor.

“Saya banyak mendapat maklumat daripada editor yang banyak membantu saya untuk menentu corak penulisan dan pemilihan juduldi dalam karya-karya yang bakal dihasilkan. Hubungan dengan editor juga penting untuk membolehkan kita membuat pilihan yang tepat ke mana karya itu hendak dihantar,” jelas beliau lagi.

Sebagai maklumat tambahan, Tuan Ann Wan Seng sudah menghasilkan lebih 5 ribu artikel dan rencana yang tersiar dalam lebih seratus penerbitan majalah dan akhbar. Beliau juga menerbitkan hanpir 50 buku dengan beberapa penerbitan Malaysia dan Indonesia.

“Walaupun buku-buku saya diterbitkan oleh penerbit yang berbeza tetapi penerimaan karya-karya saya oleh para editor adalah begitu memberangsangkan sekali. Ini kerana saya sentiasa memastikan hubungan saya berada dalam keadaan yang baik dan mesra dengan para editor bahkan penerbit sendiri. Saya tidak pernah merahsiakan perkembangan mengenai projek buku terbaru saya,” ujar beliau.

Tuan Ann Wan Seng menekankan penulis dan editor harus saling menyokong antara satu dengan yang lain supaya wujud sinergi yang dapat membantu dan menjayakan sesebuah karya.

“Tanpa hubungan berkenaan, sukar untuk mana-mana pengarang bertapak dalam bidang penerbitan dan editor pula akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan karya-karya yang baik serta bermutu untuk diterbitkan. Dengan menjaga hubungan itu, pengarang mendapat nama dan editor memperoleh kepuasan terhadap usaha dan hasil kerjanya,” jelas beliau mengakhiri pembentangan kertas kerjanya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024