Chef Husin Hasil Resipi Sihat dalam Gaya Menarik

oleh Roziyah Mahamad pada 02 Feb 2011

Ramai tidak menyedari kepentingan penggayaan makanan dalam sesebuah resipi. Selain makanan yang sedap, penggayaan yang menarik juga mampu menarik minat orang lain terhadap makanan yang disediakan.

Menurut pensyarah Kulinari dari UiTM, Tuan Hussin Khan, penggayaan makanan merupakan aspek penting dalam penghasilan makanan.

Beliau yang menghasilkan koleksi buku Resipi Sihat dan Mudah bersama PTS Millenia menerapkan penggayaan makanan dalam buku masakan yang dihasilkannya.

"Kita menggayakan makanan dengan lebih menarik dan menggunakan prop yang lebih moden bagi menjadikan makanan yang dihasilkan lebih menarik. Bahan yang digunakan juga mudah didapati dan ada yang boleh diperolehi di dapur rumah sahaja," jelas Tuan Husin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chef Husin menjelaskan bahan-bahan yang digunakan dalam masakannya juga mudah diperolehi dan senang disediakan.

"Saya meletakkan diri saya sebagai ibu-ibu di rumah. Jadi saya banyak menggunakan bahan yang mudah didapati di dalam rumah dalam menghasilkan resipi sihat," ujar beliau.

Chef Husin yang menerapkan makanan berkhasiat dalam resipinya menjelaskan pembaca boleh merancang dan mengubah menu berdasarkan keperluan nutrisi masing-masing.

Beliau kini tampil dengan buku resipi terbaru iaitu Makan Tengahari dan Makan Malam serta Sarapan Pagi dan Minum Petang membawakan resipi yang menyihatkan khas untuk tuan puan.

Selain itu, beliau juga akan membawakan buku terbaru hasil tangan beliau yang bertajuk Salad Buah dan Sayur serta Pembuka Selera khas bagi mereka yang mementingkan diet seimbang dalam pemakanan.

Dapatkan buku-buku menarik dan terbaru ini khas keluaran PTS Millenia Sdn. Bhd.