Isu Sebongkah Batu di Kuala Berang: PTS Belum Terima Maklumat Rasmi

oleh Roziyah Mahamad pada 13 Dec 2011

Belakangan ini, isu mengenai pengharaman Sebongkah Batu di Kuala Berang semakin hangat diperkatakan.

Pengurus Besar Penerbitan, Tuan Fauzul Naim Ishak dalam Fauzul Na'im.com memberi penjelasan lanjut berkait isu yang semakin hangat diperkatakan ini.

"Sebelum penerbitan buku ini dibuat, saya beberapa kali memohon pihak editor PTS Litera Utama Sdn. Bhd., divisyen penerbitan buku di Kumpulan PTS yang menerbitkan karya-karya sastera dan fiksyen dewasa memeriksa fakta yang ada di dalamnya.
Hal Ini bagi memastikan tidak ada unsur-unsur yang tidak bersesuaian dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah wujud di dalamnya sebelum diterbitkan. Ia sudah diserahkan kepada beberapa pakar dalam bidang syariah dan usuluddin untuk dibaca. Selepas beberapa kali dibuat bacaan dan pemurnian dibuat, barulah karya ini disahkan 'halal' dan dibenarkan untuk penerbitan." jelas beliau dalam blognya.

Tuan Fauzul Naim menjelaskan setakat ini pihak PTS masih belum menerima apa-apa kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan mengenai isu pengharaman buku Sebongkah Batu di Kuala Berang ini.

"Walaubagaimanapun sehingga sekarang buku tulisan Dr. Faisal Tehrani ini tetap saya anggap HALAL selagimana tidak ada pihak agensi terbabit tampil memaklumkannya," jelas beliau lanjut.

Selain Sebongkah Batu di Kuala Berang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan mengharamkan 14 lagi buku dan menurut prosedur, ia akan dimajukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.