Komik dan Patriotisme

oleh Wan Zuhairi Wan Zainuddin pada 14 Sep 2011

Komik dan Patriotisme

Seperti biasa apabila menjelang musim kemerdekaan, semua jenis media memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan perjuangan dan usaha mereka yang terdahulu membebaskan negara daripada cengkaman anasir asing. Para artis dan seniman juga berebut-rebut menghasilkan filem, drama, dokumentari, lagu serta pelbagai produk seni bagi meraikan hari bersejarah bangsa Malaysia. Segalanya dilakukan demi mengiktiraf dan menghargai harga kebebasan yang kita kecapi selama ini.

Sebagai sebahagian daripada golongan seniman, kartunis dan artis komik tanah air juga tidak ketinggalan membuktikan semangat patriotik yang wujud dalam jiwa mereka. Melalui medium majalah, akhbar, buku, blog dan sebagainya, karya berkaitan isu merdeka serta cintakan negara diketengahkan dalam bentuk satira, bersahaja dan menjentik minda. Isu jati diri, masalah sosial, politik, ekonomi, kebudayaan, perpaduan serta pelbagai isu masyarakat dijadikan bahan yang menarik bagi difikir dan direnungi bersama.

Sebelum merdeka lagi, wadah kartun digunakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kemerdekaan serta mengkritik sikap negatif bangsa Melayu seperti malas, suka berhutang, lupa diri dan bertelagah sesama sendiri. Profesor Dr. Mulyadi Mahamood menyatakan dalam buku Dunia Kartun, kartunis-kartunis seperti Ali Senat, Abu Bakar Mohd Noh dan Abdul Manan berjuang memanfaatkan kartun dalam ruang akhbar seperti Utusan Zaman serta Warta Jenaka bagi mengupas isu membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan pengaruh budaya negatif mereka. Secara tidak langsung, golongan kartunis turut memberi sumbangan ke arah kemerdekaan negara.

Kini kartunis dan artis komik lebih berperanan mengisi ruang kemerdekaan dengan karya-karya segar yang orientasinya menjurus ke arah mengekalkan perpaduan, meningkatkan kemajuan serta memurnikan masalah sosial serta budaya yang melanda masyarakat. Perjuangan para kartunis dan artis komik tempatan terdahulu tidak disia-siakan malah disambung oleh generasi demi generasi sehingga hari ini.

Komik-M menerusi antologi komik 'Aku, Kau & Malaysia' menggabungkan karya komik patriotik artis-artis komik tempatan seperti Froggypapa, Azhar Abdullah, Bophairy, Xlid, Shahrul Akram, Tan Teck Hwa, Ard One, Jas dan Pac. Melalui komik antologi ini, para artis menyalurkan mesej kecintaan dan keprihatinan mereka kepada negara dalam pelbagai kisah lucu, nostalgik, sedih, cinta, fantasi, drama dan lain-lain.

Froggypapa yang menghasilkan komik bisu berjudul 'Bendera Aku & Kau' secara dramatik menceritakan kisah perjalanan sehelai bendera dalam kehidupan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Menurut Froggypapa, medium komik mampu membantu melahirkan generasi-generasi yang lebih matang dan berjiwa besar. Namun beliau menegaskan, artis komik terlebih dahulu perlu mempunyai jati diri yang tulen bagi menghasilkan komik yang baik. Beliau juga bimbang sekiranya tersalah mendidik anak bangsa dengan karya-karya yang tiada nilai kemerdekaan.

Azhar Abdullah, Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKomik) yang prihatin dengan nasib industri komik tempatan meluahkan isi hati dan pandangannya dalam komik sepuluh muka berjudul Khalifah Merdeka. Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap generasi muda yang terlalu mengagungkan budaya luar berbanding budaya sendiri sehingga hilang jati diri. Sebagai contoh, generasi baru kini lebih mengenali ninja dan samurai daripada pendekar bangsanya sendiri. Namun beliau tetap menaruh harapan supaya medium komik mampu membakar semangat jati diri anak bangsa Malaysia.

Bophairy yang terkenal dengan siri komik Ultra Qalif menampilkan komik pendek yang menarik berjudul 'Untuk Inikah Perjuangan Kita Dahulu?' di dalam antologi komik ini. Komik ini menceritakan kisah dua orang tua yang pernah berjuang menentang penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Selepas sekian lama tidak berjumpa, mereka berbual panjang sehingga menggamit kembali memori silam seperti ditindas dan melawan tentera Jepun. Apabila selesai berbual, mereka terkedu melihat muda mudi di jalanan yang semakin terhakis budaya ketimuran dan budi bahasa. Adakah ini hasil perjuangan mereka menentang penjajahan suatu masa dahulu?

Tan Teck Hwa, salah seorang artis komik berbangsa Cina turut menyumbangkan karya di dalam Aku, Kau & Malaysia. Komiknya yang berjudul 'Bunga Kebangsaan Bunga Kebanggaan' memaparkan kisah tulus seorang murid sekolah rendah yang mencintai bunga raya dan bersusah payah memelihara dan melindunginya. Secara simbolik, Tan Teck Hwa menerapkan semangat cintakan negara melalui kisah bunga raya ini. Menurut Tan, semangat cintakan negara dapat bermula daripada perkara asas seperti mengamalkan tabiat hidup yang menjaga imej negara. Walaupun sekadar perkara remeh seperti tidak membuang sampai merata-rata, ia sudah dikira sebagai cintakan negara.

Selain itu, antologi ini turut memuatkan komik-komik menarik yang lain daripada artis-artis Komik-M seperti Roh Negaraku oleh Shahrul Akram, Perang Kampung oleh Xlid, Dunia Didi oleh Ard One, Meon oleh Jas dan Prolog Twinx oleh Pac. Selain komik, temu bual eksklusif bersama para artis juga dimuatkan sebagai bonus. Komik yang mewakili hasrat hati para artis komik ini sangat wajar dimiliki oleh para pembaca. Anggaplah ia sebagai hadiah daripada artis-artis komik sempena Hari Malaysia. Majulah komik demi negara.

Penulis adalah Pengurus Penerbitan PTS Pop Sdn Bhd.