Amir Husaini

Amir Husaini, atau nama sebenarnya Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, adalah anak kelahiran Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan menengah di SMK Sultan Badlishah di Kulim, Kedah sebelum melanjutkan pengajian di University of Glasgow, Scotland dalam bidang Kimia bagi peringkat sarjana muda, dan Pengurusan Perniagaan bagi peringkat sarjana. Beliau juga memiliki ijazah sarjana sains di dalam Falsafah Sains daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan kini sedang mengikuti pengajian doktor falsafah juga di dalam Falsafah Sains di universiti yang sama.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Norhana Ghazali, dan dikurniakan dua orang putera. Nama pena ‘Amir Husaini’ sebenarnya diambil bersempena nama putera sulung beliau.

Pada tahun 2007, beliau telah memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Berunsur Islam (kategori televisyen) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Novel pertama beliau bertajuk Ombak Senja telah menemui pembaca pada tahun yang sama. Novel Transgenesis: Bisikan Rimba adalah novel kedua yang ditulis oleh Amir Husaini dan yang pertama yang diterbitkan oleh PTS.