5 Pesanan Kepada Mereka Yang Ingin Memulakan Bisnes Sendiri

oleh Asri Yussof pada 07 Jul 2017

Semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang lalu saya sempat membeli  buku, Memulakan Bisnes Sendiri yang ditulis oleh Puan Ainon Mohd, terbitan PTS Publishing House.

Mungkin saya boleh kongsikan sedikit secara ringkas tentang Puan Ainon, jika anda belum lagi mengenali dan cuba mendekati beliau. Mungkin selepas ini anda lebih ‘excited’ daripada saya. Hehe

puan ainon

Puan Ainon inilah yang mengasaskan syarikat penerbitan buku, PTS Media Group Sdn. Bhd. Sebelum bermula karier bisnesnya di PTS pada tahun 1988 sehingga tertubuhnya PTS Publications pada tahun 2000, Beliau pernah berkhidmat di DBP dari 1973 - 1988, dan pernah menjadi Pegawai Penyelidik Bahasa dan Sastera, Ketua Unit Terjemahan Sastera, Ketua Unit Penyelidikan Bahasa dan terakhir sebagai Ketua Bahagian Terjemahan. Beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Begitulah sedikit sebanyak. Kini beliau banyak memberi masa untuk fokus di ABS Holdings. Kepada anda yang berminat untuk berniaga dan membuat bisnes, saya cadangkan untuk membeli buku ini, Memulakan Bisnes Sendiri.

Buku ini sudah ditulis lama dulu oleh Puan Ainon, tahun ini PTS menukar wajah buku lama menjadi wajah baru dengan info grafik yang menarik. Jadi bukan lagi membaca karangan macam dulu-dulu.

buu baru

Ini beberapa pesanan dan peringatan yang dikongsikan oleh Puan Ainon dalam bukunya dan yang sering diucapkannya kepada orang-orang yang baru nak belajar buat bisnes ni seperti saya,

1. Jika saudara masih bertanya-tanya apakah rahsia kejayaan dalam perniagaan, itu tandanya saudara belum layak memulakan perniagaan. Mereka yang berjaya dalam perniagaan adalah mereka yang benar-benar berniaga. Saudara perlu berniaga supaya dapat mengenal pasti ciri-ciri perniagaan saudara.

2. Semua bisnes mengandungi risiko. Risiko adalah sebahagian daripada bisnes. Keputusan berhenti kerja adalah risiko yang perlu saudara ambil sekiranya saudara mahu memasuki dunia bisnes. Jika tidak bersedia mengambil risiko jangan masuk bidang bisnes.

3. Kajian mendapati para peniaga yang menentang mentaliti persaingan lebih berjaya daripada para peniaga yang bersikap persaingan. Dalam kajian lain pula, didapati individu yang mempunyai sikap suka membantu orang lain sehingga berjaya adalah lebih berjaya daripada mereka yang suka bersaing.

4. Jangan keluarkan modal buat bisnes hanya semata-mata kerana saudara dapati ada calon rakan kongsi yang pandai membuat produk. Apa yang biasa berlaku adalah, baik saudara mahupun rakan niaga saudara itu masing-masing sama-sama belum pernah berniaga sebelumnya. Jadi saudara menyerahkan wang kepada orang yang masih ‘bodoh’ dalam selok belok dunia perniagaan.

5. Imej tidak penting dalam bisnes. Ramai individu yang belum masuk ke dalam dunia bisnes percaya imej penting dalam dunia bisnes. Jadi duit dilaburkan untuk pembinaan imej, buka pejabat, beli peralatan mahal-mahal. Orang bisnes melihat usahawan yang ada tanda-tanda berjimat atau kedekut adalah orang yang ada duit. Ada duit, ada bisnes.

pts

Klik di sini untuk membeli buku ini dengan jimat dan cepat

MENARIK: Reviu Buku Puan Ainon - Psikologi Orang Berjaya

Saya tahu, bila anda membaca 5 perkara yang dikongsikan ini, anda akan terfikir “jadi Puan Ainon nak suruh orang muda berniaga dan berjaya atau tidak”. Jangan keliru, ini adalah peringatan awal yang perlu anda pegang betul-betul sebelum masuk ke dunia perniagaan.

Buku Memulakan Bisnes Sendiri mempunyai 371 halaman, banyak lagi pesanan yang dikongsikan oleh Puan Ainon dan boleh kita amalkan dalam dunia bisnes. Pesanan yang paling mendalam adalah,

Jadi Kaya, Supaya Boleh Membantu Ramai Orang.