Apabila Nilai Kekeluargaan, Adat, dan Cinta Bersatu

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 29 Jul 2015

Perhatian! Jika anda mencari buku berkaitan pengembaraan, haruslah ditekankan di sini yang buku ini bukan untuk anda.

Oh, anda akan ke Indonesia tidak lama lagi, jadi anda perlu mencari sebarang buku yang boleh membekalkan maklumat berkaitan negara itu? Jika itu hasrat hati anda, ya… buku ini pun memang bukan untuk anda. Kalau begitu, siapa yang harus memiliki buku ini?

Pertama, jika anda peminat setia Hamka. Siapa yang tidak kenal beliau? Seorang sasterawan yang ulung sepanjang zaman.

Jika kita membeli nasi lemak, pasti kita mahukan nasi yang banyak, sambal tumis ikan bilis yang berlebih dan lauk-lauk lain yang pasti kecur apabila melihatnya. Merantau Ke Deli juga memberi perasaan yang sama. Pelbagai ‘inti’ disediakan dalam novel ini. Nilai kekeluargaan, percintaan, adat, dan pelbagai lagi menjadi rencah untuk menyedapkan jalan cerita.

Kedua, jika anda ingin mengenali siapa Hamka. Beliau gemar menulis mengenai sesuatu yang lain daripada yang lain. Jalan ceritanya terasa dekat dan di luar kotak pemikiran kita. Di dalam novel ini, Hamka banyak menceritakan mengenai adat dan tradisi masyarakat Minangkabau di Indonesia. Adat sepatutnya menjadi satu kebanggaan masyarakat, tapi dalam sesetengah perkara adat boleh menjadi sesuatu yang menyusahkan.

Begitulah yang akan anda dapat di dalam karya ini. Bagaimana adat memaksa Leman untuk berkahwin satu lagi atas desakan orang kampung kerana Poniem bukanlah orang Minangkabau. Namun reviu ini bukan untuk mengulas tentang cerita adat tersebut kerana anda boleh dapat pendapat itu di reviu-reviu yang lain.

Di sini, ada beberapa perkara yang nampak remeh yang mungkin berbaloi untuk diketengahkan.

Sewaktu membaca novel ini, anda akan dapat lihat betapa setianya seorang isteri kepada si suami. Isteri yang berada di saat susah dan sama-sama mengharungi kepayahan hingga berjaya.

Poniem adalah watak yang hampir sempurna sebagai seorang isteri. Walaupun dia bukanlah gadis yang baik-baik di awalnya, tapi kita tidak boleh menilai seseorang daripada latar dan sejarahnya. Kalau tidak, masakan Leman boleh jatuh cinta dan bersama hingga lebih sepuluh tahun?

Tapi mengapa hanya sepuluh tahun dan bukan selamanya? Tertanya-tanya bukan?

Selain itu, kita dapat lihat betapa setianya seorang pekerja kepada orang atasannya. Suyono hanyalah kuli kontrak, tapi dialah antara tulang belakang yang memajukan perniagaan Leman.

Dia juga bersahabat baik dengan Leman. Jelas kemajuan sesuatu perniagaan bukanlah hanya datang daripada pemilik perniagaan, tetapi para pekerjanya.

Ironinya sekarang, ramai memuji bos-bos syarikat besar kerana berjaya mengaut untung, tetapi terlupa yang bekerja sama keras dengan bos-bos itu adalah pekerja daripada serendah-rendah pangkat sehinggalah ke setinggi-tinggi pangkat.

Anda sudah mula tertarik dengan karya ini? Jadi, bersegeralah anda ke kedai-kedai buku berhampiran. Oh, sebelum itu ada satu petikan daripada novel ini yang mungkin menarik untuk dikongsi.

“Maka orang yang beristeri lebih daripada seorang, lepas daripada bahaya itulah dapat diujinya, siapakah di antara kedua-dua isterinya itu yang akan menjadi teman tidur, dan siapa yang akan menjadi teman hidup.”

Menarik bukan?