Artikel

Apabila Cinta Tidak Dimenangkan Mengatasi Agama: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 28 Jul 2015

Siapa yang tidak kenal dengan penulis novel unggul dari Indonesia, Haji Abdul Malik Karim Abdullah, atau lebih terkenal dengan nama pena Hamka? Hasil penulisan beliau mendapat tempat di segenap pelusuk nusantara kerana penulisan beliau yang halus, ikhlas dan mendalam maknanya.

Walaupun telah diterbitkan sekitar 77 tahun lepas, tetapi novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck masih terasa dekat dengan kisah hidup ramai orang di zaman millenium ini.

Malah, tema yang diangkat dalam novel tersebut juga masih acap digunakan penulis sekarang, iaitu cinta antara dua darjat yang tidak direstui keluarga.

Zainuddin merupakan anak yang berdarah campur telah kehilangan ibu di usia yang masih kecil. Tidak lama selepas itu, bapanya pula telah dijemput Ilahi.

Zainuddin kemudiannya telah dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibu angkatnya, Mak Base.

Keputusan Zainuddin untuk pulang ke kampung halamannya tidak seindah seperti yang dia sangka. Dia tidak diterima oleh suku kerabatnya kerana dia yang mempunyai darah campuran bukan Minang.

Di sana, Zainuddin telah berkenalan dan jatuh cinta pada gadis Minang asli, Hayati. Namun, disebabkan darjat yang berbeza, perhubungan mereka ditentang.

Zainuddin telah meminang Hayati, tetapi mesyuarat suku telah menolak dan menerima Aziz yang dianggap mereka lebih baik salasilahnya.

Lebih menghancurkan hati Zainuddin, Hayati pun ikut sama terima keputusan tersebut. Dalam kepasrahan, Zainuddin membawa diri bersama sahabatnya ke Surabaya dan memulakan hidupnya di sana.

Mencipta nama sebagai penulis terkenal, Zainuddin telah bertemu semula dengan Aziz dan Hayati di sana. Beberapa peristiwa telah menyebabkan Aziz menceraikan Hayati.

Namun, disebabkan dendam dan amarah yang masih berbekas, Zainuddin tidak menerima cinta Hayati lagi. Maka, pulanglah Hayati ke kampung halaman dengan menaiki Kapal Van Der Wijck.

Penulisan Hamka memang sangat berpuitis dan halus. Pembaca akan terbuai malah akan beremosi seperti marah dan sedih di bahagian tertentu. Betapa hebatnya karya penulis novel unggul ini.

Jadi, tidak rugilah untuk para peminat novel mendapatkan karya ini. Walau bagaimanapun, sila pastikan sekotak tisu berada di sisi anda sewaktu membaca kisah ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024