Artikel

Lelaki Penting Disebalik Kejayaan Persembahan Pembukaan SEA Games 2017

oleh Asri Yussof pada 21 Aug 2017

Rata-rata yang menonton acara pembukaan SEA Games kali ke-29 - Kuala Lumpur 2017 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada sabtu lalu begitu teruja dengan apa yang dipersembahkan dari awal sehingga akhir acara. Kombinasi teknologi dan naratif cerita yang dipersembahkan begitu memukau.

sea games 2017

Siapa sangka, pengarah filem Puteri Gunung Ledang (2004), Hoore! Hoore! (2012) dan You Mean The World To Me (2017), Saw Teong Hin adalah orang penting disebalik kejayaan persembahan pembukaan SEA Games - Kuala Lumpur 2017.

saw

Beliau adalah pengarah kreatif untuk acara Pembukaan dan Penutupan SEA Games dan Para Games pada tahun ini.

Apabila ditanya bagaimana beliau boleh melibatkan diri dalam upacara pembukaan yang epik ini, jawapannya mudah. Memories Entertainment, sebuah syarikat pengurusan acara yang diberi tanggungjawab untuk mengedalikan acara pembukaan SEA Games 2017 menjemput beliau menyertai mereka untuk menjayakan persembahan ini sejak tahun lepas.

“Saya datang dengan konsep untuk persembahan ini. Kami bentangkan dan kami telah dianugerahkan tugas ini.”

Dari karya-karya yang pernah dihasilkan oleh Saw Teong Hin, kita mengenali beliau sebagai seorang pengarah filem yang mempunyai cita rasa yang tinggi. Naratif yang diangkat dalam setiap filem-filem beliau adalah naratif yang berkualiti.

Adakah mudah atau sukar sebagai seorang pengarah filem untuk menjadi seorang pengarah kreatif bagi menyiapkan persembahan yang besar seperti pembukaan SEA Games ini?

“Nampaknya kerjaya saya dalam filem dan teater telah menyiapkan saya untuk persembahan ini. Walaupun terdapat variasi dalam pendekatan ini, dan juga pada skala yang lebih besar, tetapi pemikiran dan proses tetap serupa seperti yang saya lakukan sebagai pengarah filem.”

Bagi beliau, cabaran untuk mengarah sebuah persembahan pembukaan yang memukau adalah untuk mengatur dan menvisualkan idea. “Kreatif, walaupun penting, ia hanyalah satu aspek dari acara tersebut.”

“Terdapat prosedur protokol dan persetujuan bersama untuk dipertimbangkan. Cabarannya adalah untuk menjadikan keseluruhan acara itu menjadi teratur dan visual.”

Empat tema telah diangkat pada malam pembukaan baru-baru ini. Kita serumpun, provenance, similarities in diversity dan together we are stronger. Tema-tema yang mempersembahkan keunikan Malaysia dengan begitu kreatif dan epik sekali.

sea opening

Kata Saw Teong Hin “Ini adalah Malaysia dan bagi kita untuk mengenali dan menghayati persamaan dan keindahan kita semua.”

Tambah beliau lagi, untuk sesebuah upacara pembukaan, teknologi bukan sahaja untuk kepentingan teknologi, tetapi digunakan untuk melayani naratif itu. Ini menuntut teknologi dan penghibur untuk berinteraksi dan memperkenalkan satu lagi tahap kerumitan.

Dalam apa-apa acara yang besar seperti SEA Games ini, mempunyai pasukan yang lengkap untuk menguruskan kelengkapan logistik menjadi perkara yang sangat penting. Cabaran terbesar yang lainnya adalah keperluan logistik. Memories Entertainment berjaya mengumpulkan beribu orang dalam satu pasukan untuk menjayakan persembahan pada malam itu.

saw

Saw Teong Hin berkongsi momen beliau menjadi pengarah kreatif untuk persembahan pembukaan ini dan bekerjasama dengan ramai orang untuk menjayakannya. Kerja ini adalah kerja bersama dan mempamerkan semangat perpaduan Malaysia.

“Seolah-olah menggema tema perpaduan. Apa yang paling menyentuh saya adalah bagaimana semua orang yang terlibat dalam projek ini, tanpa mengira kaum, bukan sahaja berkumpul, tetapi telah melakukan lebih banyak lagi, untuk melakukan yang terbaik yang mereka boleh bagi.”

“Kepada seluruh pasukan dari Kementerian, bahagian pengurusan, pihak produksi dan penghibur serta sukarelawan, terima kasih yang besar dari lubuk hati saya yang paling dalam!”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024