Artikel

Buku Sebagai Senjata - Okky Madasari di Asean Literary Festival 2017

oleh Fathin Hani pada 17 Aug 2017

Okky Puspa Madasari atau lebih dikenali sebagai Okky Madasari merupakan seorang pengarang Indonesia dan juga merupakan pengasas dan pengarah program ASEAN Literary Festival yang berlangsung di Kota Tua, Jakarta pada 3 hingga 6 Ogos yang lalu.

“ASEAN Literary Festival ini bukanlah milik masyarakat Indonesia sahaja, malah milik masyarakat ASEAN” - Okky Madasari 

b

Pada penganjuran kali ke-4 ASEAN Literary Festival pada tahun ini, Okky Madasari menyatakan ketika ditemu bual, kelainan pada festival ini dengan menghadirkan sesuatu yang baru dan festival ini semakin dikenali serta semakin melibatkan ramai orang dalam menjayakan acara ini. Pada kali ini, lebih banyak program yang dapat menjangkau ramai orang untuk menyertai festival ini.

Sebelum ini, festival ini hanya menyediakan sudut kanak-kanak yang kecil tetapi untuk tahun ini ASEAN Literary Festival 2017 mengadakan program istimewa iaitu Jambore Nasional Sastera yang merupakan program untuk pelajar sekolah dengan skala yang lebih besar. Acara ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan serta mendapat dorongan penuh untuk mengundang sekolah-sekolah bagi menyertai festival ini.

ds

Tambah beliau lagi, seperti tahun sebelumnya diskusi di festival ini merupakan diskusi yang kritis dan ingin memberi ruang untuk persoalan dari masyarakat.  

ASEAN Literary Festival merupakan festival yang menemukan penulis dan karyawan dari seluruh Asean. Dengan adanya festival ini, para penulis serta karyawan dari seluruh pelosok Asia dapat berkumpul dan berjumpa  untuk berkongsi idea serta pendapat mengenai sastera, budaya Asean, isu-isu dalam demokrasi dan hak asasi manusia.

Apabila ditanya mengenai mungkinkah lokasi penganjuran festival pada tahun-tahun kedepan bakal diadakan di luar kota Jakarta. Mungkin di Kuala Lumpur atau Bangkok, Okky malah senang hati dan terbuka jika ada  peluang yang diberikan untuk mengadakan festival sebegini di Kuala Lumpur, Bangkok atau di negara Asean yang lain dengan jalinan kerjasama dari pihak yang berkaitan setempat.

ww

 Tambah beliau lagi, “Festival ini merupakan sebahagian perjalanan budaya dan sejarah Asean. ASEAN Literary Festival untuk kita semua agar mencintai sastera dan bagi semua masyarakat Asean ini sebuah festival yang boleh menyatukan bangsa di Asia.”

Okky sudah menghasilkan lima (5) buah buku yang luar biasa kandungannya. Entrok (2010), 86 (2011), Maryam (2012), Pasung Jiwa (2013) dan Kerumunan Terakhir (2016). Karya-karyanya bersifat melawan dan membuka minda. Entrok contohnya bercerita bagaimana rakyat Indonesia hidup di bawah pemerintahan diktator kejam rejim Suharto dan bagaimana mereka berjuang untuk bertahan di bawah penindasan dominasi ketenteraan.

Novel keduanya 86, dengan jelas menggambarkan rasuah yang lazim di dalam negara dan terutamanya di kalangan penjawat awamnya. Novel ini telah disenarai pendek sebagai lima teratas dalam Anugerah Sastera Khatulistiwa pada tahun 2011.

Manakala novel ketiganya, Maryam menggambarkan betapa hebatnya Ahmadis dibuang dari rumah dan tanah air mereka sendiri tanpa sebarang perlindungan daripada kerajaan telah memenangi Anugerah Sastera Khatulistiwa pada tahun 2012. Novel ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris di bawah tajuk The Outcast.

g

Pasung Jiwa adalah novel keempatnya, yang dikeluarkan pada Mei 2013 menyentuh perjuangan individu untuk membebaskan diri daripada batasan individunya sendiri serta membendung dominasi norma, tradisi, agama, negara dan ekonomi yang kaya. Pasung Jiwa telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris (Bound) dan bahasa Jerman (Gebunden).

Novelnya yang kelima, Kerumunan Terakhir, Okky berusaha untuk menangkap fenomena digital dan media sosial yang telah mengambil alih kehidupan manusia, dengan generasi baru yang membingungkan realiti dengan kegiatan maya.

Dalam perjalanan sejarah mana-mana bangsa, buku adalah suatu hal yang besar untuk membangunkan sebuah negara bangsa. Okky juga menitipkan hal yang sama. Kata beliau, “Buku merupakan senjata yang paling kuat untuk menyatukan masyarakat ASEAN dan bangunkan fahaman antarabangsa di Asia.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024