Artikel

Majlis Penyampaian Penghargaan dan Sidang Media Pertandingan Akhir Rancangan Adik-Adikku Musim ke-4

oleh Amirah pada 04 Jun 2013

PTS Media Group Sdn. Bhd menerima penghargaan sebagai salah seorang penaja hadiah bagi rancangan Adik-Adikku musim ke-4 di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Peringkat akhir rancangan berkonsepkan hiburan dan pendidikan ini akan bersiaran secara langsung menerusi TV1 dari Dewan B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 5 Jun 2013 ini bermula jam 9.00 malam.

Para pendengar juga boleh mengikuti siaran ini secara langsung menerusi IKIMfm selaku radio rasmi dan Salam.fm bagi siaran tertunda bermula jam 12.00 tengah malam.

Rancangan yang diterbitkan dengan kerjasama antara JAKIM dan RTM ini mengetengahkan bakat seramai 12 orang penda’ie kecil dan mengekalkan konsep persembahan melalui pidato disulami taranum, nasyid, bacaan surah, dan sebagainya sejak musim pertama.

Selain itu, rancangan ini bersiaran sebanyak 27 episod bermula 24 April lalu pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat, dan Ahad selama 30 minit pada pukul 6.30 petang di TV1.

Para penda’ie cilik ini juga mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada Murabbi yang terdiri daripada tokoh-tokoh agama terkenal Malaysia seperi Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, Imam Muda Ustaz Hizbur Rahman bin Omar Zuhdi, dan pensyarah beserta penulis novel Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin di Institut latihan Islam Malaysia (ILIM) selama hampir sebulan bermula 25 November 2012 hingga 24 Disember 2012.

Lima peserta yang berjaya ke peringkat akhir akan dinilai sepenuhnya oleh juri-juri profesional seperti Ustaz Ahmad Badrul Sani, novelis terkenal Ain Maisarah dan juri tetap pertandingan, Tuan Farihin Abdul Fatah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024