Menjadi Wanita Hebat: Super Woman

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 28 Aug 2013

Kerjaya apakah yang paling mencabar di dunia ini? Pasti ada yang akan menjawab tentera di medan perang, pemburu dan penjinak binatang liar, nelayan laut dalam, dan berbagai-bagai lagi jawapan yang seangkatan dengannya. Namun, jarang sekali yang akan menyebut suri rumah sebagai kerjaya yang paling mencabar. Mahu rasakan cabaran dan kesusahannya? Cubalah sendiri. Pasti ramai lelaki yang akan mengalah dan barulah mereka mahu mengakui kehebatan wanita.

Tambah mencabar lagi, ramai wanita sekarang yang perlu bekerja di pejabat, menyambung belajar di universiti, mengurus rumah tangga, memenuhi tanggungjawab sosial bersama masyarakat, dan pada masa yang sama perlu memenuhi keperluan peribadi. Mereka memikul lebih banyak tanggungjawab berbanding masa yang ada. Menjadi wanita itu sendiri adalah satu cabaran yang besar bagi mereka.

Namun, ajaibnya para wanita ini. Allah mengurniakan kelebihan, ketenangan, kesabaran, dan kelembutan kepada mereka untuk melunaskan pelbagai tanggungjawab ini dengan cara yang terbaik.

Tangan mereka yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia dan kelembutan mereka menyebarkan kasih sayang ke seluruh dunia. Mereka selayaknya digelar sebagai “Super Woman”.

Buku “Super Woman” ini terbit tepat pada masanya. Dalam dunia moden yang penuh dengan kekalutan dan kesibukan, terlalu ramai wanita yang mencari-cari manual lengkap untuk mencapai keseimbangan dalam kehidupan.

Dengan berlandaskan bimbingan wahyu dan hadis, buku ini memberi panduan untuk menjadi super woman yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Dengan pengalaman peribadi penulis dan himpunan kisah inspirasi tokoh wanita yang hebat, buku ini menjadi berkesan dan praktikal untuk diamalkan.

Kita akan ketawa, tersenyum, dan menangis membacanya. Kita terinspirasi dan hidup menjadi lebih bermakna.

Kerjaya dan rumah tangga, manakah yang lebih penting? Perlukah kita mengorbankan salah satu daripada untuk menjadi super woman? Memilih antara kerjaya dan rumah tangga, bagaikan kita memilih untuk mengerat tangan kiri atau tangan kanan kita sendiri.

Dengan panduan dalam buku ini, kita akan dibimbing untuk mencapai keseimbangan tanpa perlu mengorbankan perkara penting dalam hidup kita. Kuncinya adalah prioriti dan teknik yang berkesan untuk mengurusnya.

Buku ini adalah sebuah perjalanan bagi menuju keseimbangan dan kecemerlangan bersama. Ia adalah perjalanan yang berterusan sekalipun kita sudah selesai menghadam buku ini.

Buku ini bukanlah langkah demi langkah yang gerenti jadi seperti buku masakan, tetapi proses pembelajaran yang berterusan. Perjalanan ini sangat panjang dan penghujungnya adalah masuk syurga bersama-sama suami dan anak-anak yang dicintai. Semoga Allah meredhai kita sekeluarga.