Artikel

Macam-Macam Katty

oleh Rasmawati Abdul Muin pada 28 Aug 2013

Macam-Macam Katty mengisahkan tentang seorang remaja perempuan bernama Khadijah. Katty adalah nama panggilan dalam kalangan kawan-kawannya. Meskipun dia mempunyai sikap malas yang dapat dikategorikan sebagai tahap kronik, namun sebagai remaja biasa, dia juga mempunyai impian dan angan-angan.

Karakter Katty yang digambarkan dalam novel ini dapat diandaikan begitu dekat dengan jiwa remaja, terutamanya golongan belasan tahun yang sedang dalam proses kematangan usia. Perkara-perkara yang diceritakan begitu sinonim dengan kehidupan remaja.

Sebagai contoh, apabila bangun lewat, pasti ibu kita akan membebel dan apabila disuruh memasak, kita pasti akan mencari cara mengelak daripada disuruh memasak disebabkan rasa malas yang menguasai akal dan pemikiran.

Meskipun Katty mempunyai sikap malas tahap kronik, namun dia tidak pernah lupa mengerjakan amal ibadat. Walau digelar pemalas, namun Katty masih mengisi masa lapangnya dengan membaca buku-buku agama.

Sebagai contoh, Katty menyalin semula info-info berkenaan Solat Sunat Taubat dan menjadikannya sebagai rujukan pada masa hadapan. Ini adalah perkara positif yang sesuai untuk dijadikan panduan oleh para pembaca.Dalam pada itu, aspek pelajaran juga tidak pernah diabaikan.

Dalam kes ini, Katty berusaha mengatasi kelemahan dalam subjek-subjek yang sukar diskor olehnya dalam peperiksaan.

Hal sebegini sudah pasti dialami oleh para pelajar sekolah mahupun pelajar di institusi pengajian atau swasta. Pada sisi lain, dalam novel ini ada dinyatakan tentang malas yang mempunyai keistimewaan.

Antaranya ialah, malas mengumpat fasal orang lain dan malas membuang masa dengan bercinta. Kedua-dua perkara ini adalah sesuatu yang bagus untuk dijadikan ikutan. Mana yang baik jadikan panduan, yang buruk jadikan sempadan dan cuba elakkan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024