Neilsen Bookscan Bakal Memberi Manfaat Kepada Penerbit dan Kedai Buku di Malaysia

oleh Asri Yussof pada 12 Aug 2017

Dalam perniagaan, data adalah perkara pertama yang akan menjadi kayu ukur dan unjuran untuk membuat apa-apa keputusan. Anda jangan bercakap besar jika anda tidak ada data untuk dipersembahkan.

Data untuk perniagaan boleh diibaratkan sebagai bukti kes ketika perbicaraan di mahkamah. Sebegitu pentingnya sesuatu data untuk membincangkan sesuatu.

pbakl

Untuk para penerbit buku dan penjual kedai-kedai buku yang besar di Malaysia, tahun 2017 adalah tahun yang agak sakit. Lambakan buku yang dikembalikan di gudang penerbit memberikan gambaran yang tidak menyenangkan. Penyelesaian jangka pendek yang dilakukan oleh kebanyakan penerbit adalah dengan penganjuran jualan lelong buku murah.

Kita ada masalah, iaitu lambakan buku di pasaran, kemunculan penulis baru, tetapi tidak ada permintaan yang tinggi dari pembeli. Ini yang menyebabkan industri buku bergerak perlahan. Kalangan pembaca yang rata-rata dari kelas menengah telah digigit dengan harga barang yang semakin meningkat sehingga buku telah menjadi perkara yang ketiga atau mungkin kelima untuk dipilih sebagai keperluan.

buku

Dua punca besar yang secara umum boleh kita perhatikan di sini. Pengenalan GST oleh kerajaan dan juga pengenalan Kad Diskaun 1 Malaysia untuk menggantikan Baucer Buku 1 Malaysia. Data yang keluar pasca Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 membuktikan perkara ini.

Industri buku di Malaysia belum mempunyai suatu tinjauan data yang komprehensif untuk melihat bagaimana pasaran bergerak setiap bulan. Arief Hakim Sani (Pengarah Urusan PTS Media Group) dalam status facebooknya menulis,

Satu aspek yang masih ketinggalan dalam industri buku tempatan ialah data dari kajian pasaran. Jadi, kita cuba bawa servis Nielsen Bookscan. Industri lain sudah lama ada market research. Akhbar dan Majalah ada Audit Bereau of Circulations. Kita masih belum ada. Kita menuju ke zaman data. Terbit buku, jual buku ikut data pasaran. Kita bangkit kembali dengan cara-cara baru.

Nielsen BookScan adalah syarikat yang membuat perkhidmatan mengumpulkan maklumat jualan runcit dari setiap titik dalam sistem jualan di lebih daripada 35,500 kedai buku di seluruh dunia. BookScan dapat membentangkan maklumat jualan dalam pelbagai cara, termasuk saiz pasaran dan bahagian kategori buku yang berbeza, juga dari mereka yang menerbit buku sendiri (self-publish), cetakan tertentu, setiap pengarang dan harga.

neilsen

Di kebanyakan negara, statistik juga didapati oleh harga jualan sebenar dan tahap diskaun pengguna. Dan kerana setiap tajuk yang membuat penjualan dilaporkan, maklumat itu meliputi kategori khusus dan cetakan kecil serta data yang berkaitan dengan pemain utama.

data

Data dari Nielsen BookScan ini boleh diakses dengan mudah menerusi Internet, dan menggunakan sistem penyampaian dan analisis data berasaskan web yang kuat untuk menyediakan maklumat yang berkaitan dengan jualan yang berkaitan kepada penjual buku, penerbit, perpustakaan dan media, di seluruh dunia, sepanjang masa.

Ada beberapa penerbit besar sudah bersedia dengan Nielsen BookScan dan kita masih menunggu kedai buku utama di Malaysia untuk bersetuju dengan penjualan data dari pihak Nielsen BookScan. Dengan cara ini - data yang dibeli dari pihak ketika dan bebas tanpa apa-apa kepentingan akan memberi peningkatan yang positif kepada industri buku Malaysia.