Artikel

Novel Maria Angkat Karya Terjemahan Islam

oleh Roziyah pada 23 Jul 2010

Maria merupakan seorang gadis jerman bermazhab Katolik yang mengharungi liku-liku hidup sebagai anak kepada ibu yang fanatik pada mazhab itu, sedangkan ayahnya seorang ateis. Namun, kehendak Allah mengatasi segalanya. Pertemuan dengan pemuda Mesir membuka episod pergelutan tiga penjuru, Islam-Kristian-Ateis.

Kisah benar yang diangkat oleh seorang wanita Turki, Emine atau nama sebenarnya Aminah Uzqan ini mampu membuka lembaran baru dalam bidang terjemahan karya-karya Islam bagi santapan mata penggemar novel terjemahan di Malaysia.

“Apabila kita membawa masuk novel luar negara, bermakna kita membawa masuk budaya negara tersebut. Tambahan pula, sebelum ini novel terjemahan di Malaysia lebih banyak mengangkat karya dari barat. Ini bermakna kita membawa masuk budaya barat itu ke dalam budaya Malaysia.

“Dengan terhasilnya karya terjemahan Islam ini, kita sekaligus membawa masuk budaya Islam yang penuh dengan nilai bagi diserap oleh pembaca dan peminat novel terjemahan,” kata Editor Senior PTS Islamika Sdn Bhd, Tuan Rohidzir Rais.

Menurut beliau, PTS Islamika Sdn Bhd cuba membuka ruang agar novel terjemahan dari Timur Tengah dapat bertapak di Malaysia seiring dengan novel terjemahan lain.

“Novel Islam dari luar ini juga boleh dijadikan panduan kepada penulis-penulis tempatan dalam menghasilkan novel Islam yang tinggi mutunya,” tambah beliau lagi.

Novel Maria yang telah diterjemahkan oleh Tuan Mohd Rofizi Dollah ini mendapat sambutan yang hangat apabila diterjemahkan dan dicetak ke dalam bahasa Melayu.

Bagi Tuan Rofizi Dollah, Maria merupakan novel bercirikan sastera Islam garapan penulis terkemuka Turki yang dapat mengubat kealpaan umat Islam pada bahayanya ancaman ateis dan kristian. Novel ini juga menyelitkan episod cinta yang berlatar belakangkan Islam.

“Pada hemat saya , dengan berwahanakan sastera seperti ini merupakan salah satu jalan agi menyuburkan pohonan Islam yang hampir kering dan layu.

Sayangnya ramai yang meminggirkan lapangan ini daripada diterjemahkan ke dalam hidup mereka khususnya daripada kalangan cendiawan dan sasterawan Islam walaupun keberkesanannya terserlah,” ucap beliau yang dipetik dari buku Maria.

Karya yang memberikan perbandingan agama yang cukup hebat ini mampu membuka pandangan baharu masyarakat tentang Islam apabila penulis menyelitkan fakta tentang kebenaran islam dalam penceritaannya.

Buku yang sudah berada di pasaran ini mampu menjadi pelengkap kepada karya-karya terjemahan di Malaysia dan menjadi percubaan berharga bagi novel-novel terjemahan Islam untuk bertapak di Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024