Artikel

Novel Tauhid Kenalkan Islam Melalui Fiksyen

oleh Roziyah pada 26 Jul 2010

Projek novel tauhid, projek terbaharu yang sedang dibangunkan oleh PTS Islamika bakal menjadi novel inspirasi bagi memperkenalkan islam menggunakan karya fiksyen.

“Projek ini sesuai untuk orang yang jauh dari Islam dan ingin kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Orang yang ragu tentang Islam juga mampu mendapat jawapan melalui novel tersebut,” kata Editor Senior PTS Islamika Sdn Bhd, Tuan Imran Azmi.

Menurut beliau, PTS ISlamika membuka ruang seluas-luasnya kepada penulis bagi menceburi bidang penulisan tauhid ini.

Tuan Imran berkata, bagi novel dewasa, PTS Islamika mengutamakan kisah-kisah benar yang memaparkan kisah hidup iaitu peralihan hidup daripada kehidupan yang gelap kepada kehidupan yang lebih terang dan bermakna.

“Contohnya kita dapat lihat melalui buku Travelog Haji dan Maria yang memaparkan peralihan kehidupan kepada sisi yang lebih baik,” jelas Tuan Imran.

Penulisan novel tauhid ini tidak tertumpu hanya kepada mereka yang fasih dan benar-benar tinggi ilmu agamanya. PTS ISlamika kata Tuan Imran masih menerima kisah fiksyen yang digarap hasil daripada kreativiti penulis sendiri.

Projek ini juga disasarkan golongan kanak-kanak kerana PTS Islamika sedang memfokuskan kepada kanak-kanak dan remaja supaya mereka kenal Islam sejak mereka kecil lagi.

“Kita mempunyai dua sasaran dengan memberi kelebihan kepada buku kanak-kanak,” ujar beliau.

Bagi buku kanak-kanak, PTS Islamika membuka ruang yang lebih iaitu mereka boleh mencadangkan sebarang watak untuk diterbitkan seperti siri Young Aisyah dan Lebai Cilik.

Projek ini boleh dilakukan secara berkumpulan mahupun berseorangan dengan syarat penulis tersebut mempunyai komitmen yang padu bagi meneruskan penulisan ini untuk siri yang seterusnya.

“Penulis juga boleh mengambil sebarang topik daripada ayat Al-Quran, Hadis kemudiannya dijadikan dalam bentuk cerita fiksyen disamping menyelitkan unsur-unsur pengajaran berasaskan topik petikan Al-Quran dan Hadis,” jelas beliau lagi.

Tuan Imran menerangkan penulis boleh mengadaptasi kisah-kisah yang berkaitan dengan situasi semasa yang dihadapi oleh masyarakat sekarang seperti adat resam, tahyul dan sebagainya.

Tuan Imran memaklumkan, pembaca hanya perlu menghantar proposal yang mengandungi sinopsis dan plot cerita kepada PTS Islamika untuk dinilai.

“Hasil pengalaman di PTS Islamika, kami mendapati penulis yang terdiri daripada mereka yang bukan digelar ustaz dan ustazah juga mampu menghasilkan buku-buku agama yang bermutu serta ‘bestseller’,” tegas beliau.

Penulis yang berminat menghasilkan novel tauhid ini boleh menghadiri bengkel penulisan yang bakal diadakan tidak lama lagi. Maklumat bengkel ini akan dimaklumkan kelak. Bakal-bakal penulis boleh melayari www.universitipts.com dan www.ptsislamika.com bagi medapatkan maklumat lanjut mengenai projek ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024