Berita

Perniagaan Kedai Runcit

oleh Helmi pada 24 Sep 2004

Perniagaan kedai runcit banyak tertumpu kepada urus niaga jualan secara tunai. Pembelian barangan daripada pembekal pula ada yang dibuat secara tunai dan juga hutang. Disebabkan ia banyak bergantung pada urus niaga secara tunai, pengawalan hasil jualan seharian perlu dilakukan dengan teliti dan direkodkan dengan baik. Risiko kecurian barangan serta wang tinggi apabila dibandingkan dengan perniagaan lain. Aspek lain yang penting dalam perniagaan kedai runcit adalah pengurusan stok barangan yang dijual. Sesebuah kedai runcit biasanya mempunyai pelbagai jenis barangan dalam kuantiti yang banyak.
Pengurusan stok barangan yang efisien penting bagi memastikan barangan yang ingin didapati oleh ramai pelanggan ada disediakan, dan dalam kuantiti yang sentiasa mencukupi. Sebaliknya, barangan yang kurang mendapat sambutan seharusnya diadakan dalam bilangan yang munasabah, sekadar tidak menghampakan segelintir pelanggan. Pekedai harus memahami stok barangan mempunyai kesan terus kepada untung rugi sesebuah kedai runcit.
Kajian kes di bawah mengutarakan permasalahan usahawan dalam perniagaan kedai runcit. Kes yang sama boleh dijadikan rujukan untuk jenis perniagaan perdagangan yang lain seperti kedai alat tulis, kedai pakaian dan lain-lain lagi.

Puan Nurin sudah beberapa tahun menjalankan perniagaan kedai runcit. Beliau menggaji dua orang pembantu kedai yang bekerja secara giliran di sebelah siang dan juga malam. Tiada penyediaan akaun secara sistematik dibuat. Puan Nurin menguruskan sendiri segala dokumen yang terlibat dalam transaksi perniagaan seperti invois yang diterima daripada pembekal dan segala bil berkaitan perbelanjaan kedai. Bil-bil perbelanjaan seperti bil elektrik, air, telefon dan lain-lain difailkan dalam satu fail. Puan Nurin hanya mengadakan fail untuk beberapa pembekal utama sahaja manakala beberapa pembekal lain dicampurkan dalam satu fail. Disebabkan kesibukan melayani pelanggan, Puan Nurin tidak mempunyai masa mengemas kini bil-bil dan ada antaranya yang tercicir.
Puan Nurin merasakan tidak perlu menyediakan akaun perniagaan dengan lengkap kerana beliau berpuas hati dengan hasil yang diterimanya. Beliau tidak mempunyai masalah membayar gaji pekerja, bil telefon, sewa kedai dan perbelanjaan lain bila tiba masanya. Berkenaan urusan dengan pembekal, beliau tidak mempunyai masalah kerana pembelian adalah secara hutang. Walau bagaimanapun, Puan Nurin terpaksa bergantung pada penyata hutang yang dihantar secara bulanan oleh pembekal setiap kali membayar hutang kerana beliau sendiri tidak mempunyai rekod yang tepat dan dikemas kini. Jumlah keuntungan ataupun kerugian secara tepat tidak dapat diketahui kerana penyata akaun untung rugi tidak pernah disediakan. Beliau bercadang mengembangkan perniagaannya dan untuk itu, merancang membuat pinjaman dengan tabung pinjaman yang disediakan kerajaan.
Puan Nurin juga tidak mempunyai senarai lengkap barangan yang terdapat dalam kedainya. Kiraan stok barangan tidak pernah dilakukan disebabkan oleh kekurangan pekerja dan kesibukan.

Daripada kajian kes di atas, kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti serta kesannya kepada perniagaan dapatlah dirumuskan seperti berikut:

Kelemahan dan kesan 1: Penyata akaun untung rugi tidak disediakan
Penyata akaun untung rugi adalah antara laporan terpenting perniagaan. Secara umumnya, penyata ini menunjukkan sama ada perniagaan mendapat keuntungan ataupun kerugian dalam tempoh tertentu. Kegagalan menyediakan penyata ini menyukarkan pengukuran sebenar prestasi perniagaan dibuat, seterusnya untuk merangka strategi yang efektif. Analisis penting seperti perbelanjaan paling tinggi sudah tentunya tidak dapat dilakukan. Ia juga mungkin melambat-kan proses kelulusan permohonan ataupun menggagalkan terus pinjaman yang ingin dibuat oleh Puan Nurin. Daripada aspek percukaian pula, ketiadaan penyata ini membolehkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri membuat taksiran cukai berdasarkan jumlah yang dianggarkan. Jumlah anggaran yang tinggi boleh mengakibatkan puan Nurin terpaksa membayar jumlah cukai yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

Kelemahan dan kesan 2: Bergantung pada rekod pembekal untuk mengetahui jumlah hutang tertunggak
Pihak pembekal juga mungkin membuat kesilapan dan apabila ini berlaku, puan Nurin terpaksa menanggung kerugian kerana beliau sendiri tiada rekod yang dikemas kini bagi membuat perbandingan. Dalam erti kata lain, apabila pertelingkahan dengan pembekal timbul, puan Nurin tiada rekod yang tepat bagi membuktikan kata-katanya.

Kelemahan dan kesan 3: Dokumen tidak diurus dengan baik dan sistem fail yang tidak tersusun
Dokumen-dokumen yang tidak diurus dengan baik dan keciciran menjadikan jumlah terkini gagal diketahui dengan pantas apabila diperlukan dan ia tidak tepat. Seterusnya, ini menyebabkan pertelingkahan dengan pihak pembekal. Sistem fail yang tidak tersusun pula menyukarkan rujukan. Puan Nurin perlu membuat perbandingan harga, diskaun yang diberi dan sebagainya dalam memilih pembekal yang terbaik untuk berurus niaga.

Kelemahan dan kesan 4: Tiada pengurusan stok yang berkesan dan efisien. Sebagai contoh, tiada senarai lengkap stok dalam kedai, kiraan stok tidak dibuat dan tiada rekod keluar-masuk stok disediakan.
Analisis penting tidak dapat dilakukan. Antaranya adalah analisis barangan yang mendapat permintaan yang tinggi ataupun yang laris dijual, jumlah minimum barangan yang perlu dipesan daripada pembekal, dan sebagainya. Ini penting kerana barangan yang kurang laris tetapi disimpan dalam kuantiti yang banyak sebagai stok akan merugikan. Pemesanan bagi stok baru perlu dibuat sebelum ia tiada langsung dalam simpanan kerana penghantaran mungkin mengambil masa. Tambahan lagi, dalam suasana persaingan yang sengit, sudah tentu pelanggan tidak ingin dikecewakan.

Komen Pembaca