Artikel

Menyediakan Akaun Perniagaan

oleh Helmi pada 23 Sep 2004

Pelbagai jawapan yang diterima apabila soalan berkenaan siapakah yang menyediakan akaun perniagaan diajukan kepada usahawan. Antaranya adalah, “Menyerahkan segala dokumen kepada akauntan luar pada akhir tahun untuk disediakan akaun perniagaan”, “Buat sendiri”, “Menggaji kerani akaun” dan “da individu dari luar datang dari semasa ke semasa mengemas kini rekod dan akaun”

Apakah sebenarnya proses menyediakan akaun perniagaan? Siapakah sepatutnya dipertanggungjawabkan menyediakan akaun perniagaan? Apa dokumen dan rekod yang terlibat dalam menyediakan akaun perniagaan? Apakah jenis rekod dan laporan yang perlu disediakan? Siapa yang berminat dengan laporan kewangan yang dikeluarkan? Bab ini mengupas dengan lebih terperinci persoalan-persoalan di atas dan hal-hal lain berkaitan penyediaan akaun perniagaan.

Menyediakan akaun perniagaan melibatkan beberapa proses, dokumen dan personal. Dalam perniagaan yang kecil dengan transaksi perniagaan yang tidak kompleks seperti pasar mini dan klinik perubatan, hanya seorang ataupun dua orang staf diperlukan bagi merekodkan transaksi harian dan seterusnya mengeluarkan laporan kewangan yang diperlukan oleh pemilik perniagaan. Dalam satu organisasi yang besar dengan transaksi perniagaan yang banyak serta kompleks, urusan menyediakan akaun boleh dipertanggungjawabkan kepada satu bahagian yang terdiri daripada pengurus akaun, pegawai eksekutif akaun dan kerani akaun. Walau bagaimanapun, secara umumnya, menyediakan akaun perniagaan melibatkan proses yang sama.

Menyediakan akaun perniagaan bermula dengan aktiviti merekodkan transaksi harian perniagaan berasaskan dokumen-dokumen tertentu dan berakhir dengan mengeluarkan laporan kewangan seperti akaun perdagangan dan untung rugi, dan kunci kira-kira.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024