Artikel

Projek Terjemahan Quran Dakwah Buat Saudara Baru

oleh Roziyah pada 04 Aug 2010

PTS melangkah lebih jauh lagi dengan menubuhkan PTS Darul Furqan khas buat saudara baru dalam mendalami isi dalam Quran dengan lebih mudah.

Projek yang bermatlamatkan dakwah ini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada saudara baru yang antaranya terdiri daripada kaum Iban, Dusun, Kadazan dan sebagainya.

“Selama ini kebanyakan terjemahan Quran dikeluarkan dalam bahasa Melayu sahaja.Tujuan kita menerbitkan Quran bagi etnik di Malaysia ini adalah sebagai satu cara saudara baru ini memahami Quran dalam bahasa ibunda mereka sendiri,” jelas Pengurus PTS Darul Furqan Sdn. Bhd, Tuan Faris Hasbullah.

Menurut Tuan Faris, projek ini akan dijangka siap pada tahun 2011. Namun pihak PTS Darul Furqan telah menterjemahkan Surah Yasin dalam bahasa Iban dan akan dikeluarkan menjelang Ramadan ini.

“Salah satu ciri saudara baru adalah penguasaan Bahasa Melayu mereka yang tidak setinggi penutur asli bahasa itu. Saudara baru itu mungkin orang Cina, India, Kadazan, Iban ataupun Orang Asli, oleh hal yang demikian mereka memerlukan terjemahan yang betul-betul mudah difahami,” jelas beliau.

Projek yang diilhamkan oleh Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd ini dimulakan secara teratur pada tahun 2010.

Tuan Faris berkata, kini PTS Darul Furqan juga dalam proses menerbitkan bahan terjemahan bahasa Melayu dengan gaya yang lebih mudah dan menggunakan bahasa yang lebih moden.

“Kita gunakan bahasa yang lebih moden agar saudara baru dapat memahami dengan lebih mudah surah-surah yang terdapat dalam Quran,” jelas beliau.

Beliau berkata, pihak Darul Furqan tidak berniat bersaing dengan penerbit lain kerana projek ini merupakan projek dakwah khas bagi menarik saudara baru agar mereka lebih mendalami ilmu Quran.

“Projek terjemahan Quran diedarkan secara percuma kerana ini merupakan projek dakwah PTS. Kita juga mengalu-alukan syarikat lain yang ingin bekerjasama bagi meneruskan projek dakwah ini,” jelas Tuan Faris.
Terjemahan bahasa bagi etnik ini berasaskan terjemahan Al-Rahman terbitan JAKIM.

Terjemahan Quran dengan gaya bahasa mudah ini juga akan digunakan bagi semua buku-buku islamik di PTS.

Bagi projek bahasa Iban ini, PTS melantik ustaz Adam Laurent iaitu pendakwah bebas yang juga berketurunan Iban dari Sarawak.

Menurut Tuan Faris, sebelum ini pihak PTS Darul Furqan telah membawa draf contoh terjemahan surah dalam bahasa Iban ke Rumah Panjang dan Darul Furqan menerima maklum balas baik apabila penghuni rumah panjang memahami surah yang telah diterjemahkan.

“Kita juga mengalukan saudara baru yang berminat untuk menyertai dalam projek khas buat saudara baru ini. Projek ini juga akan dilebarkan kepada buku-buku islamik buat saudara baru,” ujar Tuan Faris.

Kepada yang ingin mengetahui lanjut mengenai projek ini boleh terus emailkan kepada [email protected].

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024