NOTIS PENANGGUHAN OPERASI SEMPENA CUTI HARI RAYA AIDILFITRI 2016

Adalah dimaklumkan bahawa operasi PTS Media Group Sdn. Bhd. dan anak-anak syarikatnya termasuk PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., PTS Edar Sdn. Bhd. dan PTS Bookcafe Sdn. Bhd. akan ditangguhkan bermula dari 2 hingga 10 Julai 2016 sempena cuti Hari Raya Puasa.

Operasi kami akan bersambung semula pada 11 Julai 2016 (Isnin).

Selamat menyambut Hari Raya Puasa 2016 daripada kami di PTS.

‘Saudara Baru’ Kongsi Pengalaman Bersama PTS

oleh Roziyah Mahamad pada 25 Aug 2010

PTS semalam didatangi seorang saudara baru yang menyimpan hajat berkongsi pengalaman dan menulis di PTS.

Anak muda berusia 21 tahun ini bersemangat menghasilkan buku setelah beberapa rakannya memperkenalkan beliau kepada PTS.

Tuan Muhammmad Adam Eh yang sudah 4 tahun memeluk agama Islam mahu menghasilkan buku yang mampu menjawab soalan dari bukan Islam dan beliau berharap buku yang ingin dihasilkan ini mampu menjawab soalan-soalan berputar dalam minda bukan Islam selama ini.

"Buku yang ingin saya hasilkan ini amat sesuai dijadikan dakwah kepada bukan Islam dalam memahami apa itu Islam," jelas beliau lanjut.

Ketika bercerita mengenai kisah hidupnya, Tuan Adam dengan tenang memberitahu yang beliau memeluk agama Islam setelah melakukan kajian dan perbandingan agama.

"Ketika berumur 17 tahun, saya berdebat dengan kawan Islam saya dan membuat kajian Islam selama setahun.

"Setelah membuat kajian dan perbandingan agama, saya temui banyak fakta-fakta sains yang berkait dengan agama Islam," jelas beliau.

Tuan Adam akhirnya mengambil keputusan memeluk agama Islam ketika usianya menjangkau 18 tahun. Dalam usia yang muda Tuan Adam menghadapi pelbagai cabaran setelah memeluk agama Islam.

"Saya kehilangan keluarga dan sumber kewangan kerana sebelum ini saya datang daripada keluarga yang senang," jelas Tuan Adam.

Beliau yang terpaksa menangguhkan pengajiannya berharap hasil tulisannya kelak sekaligus dapat membantu beliau menyambung kembali pengajiannya.

Tuan Adam yang juga berbakat dalam menghasilkan silap mata sering mengadakan persembahan bagi menyara kehidupannya seharian. Beliau juga sering mengadakan ceramah agama dan menceritakan mengenai pengalaman hidupnya.

Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd juga berbesar hati melapangkan masa berbual dan melihat manuskrip Tuan Adam.

Kesungguhan saudara baru ini dalam menyampaikan dakwah melalui penulisan seharusnya diberi pujian.

PTS mendoakan Tuan Adam mencapai segala cita-citanya agar semangat beliau mampu menjadi suntikan semangat kepada umat Islam yang lain.