Penulis

Awang Sariyan

Dr. Awang Sariyan lahir di Pontian, Johor pada 20 Oktober 1953. Pendidikan tingginya diperoleh di Universiti Kebangsaan Malaysia (Ijazah Sarjana Muda Persuratan dengan Kepujian dan Diploma Pendidikan) dan di Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Linguistik dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Falsafah Pendidikan Bahasa). Kini ia memegang jawatan sebagai Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia. Sebelumnya ia berpengalaman sebagai guru Bahasa Melayu dan Kertas Am, Editor dan kemudian Ketua Editor di FEP International, Pegawai Penyelidik Bahasa, Editor Jurnal Dewan Bahasa dan kemudian Pegawai Penyelidik Kanan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, Pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia), Pensyarah dan Penolong Profesor di Jabatan Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pensyarah Kanan di Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan dari 16 November 1999 hingga 15 November 2004 sebagai Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Tulisannya meliputi puluhan buku ilmiah, buku umum dan kamus, ratusan makalah ilmiah dan umum dalam pelbagai jurnal, majalah dan akhbar dan lebih 100 kertas kerja seminar di dalam dan di luar negara (antaranya Australia, Belanda, Jerman, Perancis, Republik Rakyat China, Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura dan Kemboja). Antara anugerah dan hadiah yang diperolehnya termasuklah Hadiah Persuratan 10 Tahun UKM, Hadiah Penghargaan Dua Dekad UPM, Hadiah Bahasa PLM-Public Bank, Hadiah Tinta Kencana (Kategori Makalah Ilmiah) DBP, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP dan Kesatria Mangku Negara. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP) dan Ensiklopedia Malaysiana memasukkan biografi ringkasnya sebagai ahli bahasa. Namanya tersenarai juga sebagai ahli bahasa dalam Direktori Persatuan Pengajian Melayu Malaysia dan Direktori Penulis Malaysia DBP. Di peringkat negara, ia pernah menjadi anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, iaitu badan tertinggi bahasa yang dilantik oleh Menteri Pendidikan, perunding di beberapa Bahagian di Kementerian Pendidikan dan Kementerian lain serta syarikat penerbitan, pemeriksa luar tesis pascasiswazah, Editor Perunding Jurnal Bahasa DBP, hakim pelbagai pertandingan penulisan dan pengucapan awam dan penatar bahasa dan penulisan di pelbagai jabatan kerajaan, firma swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Sejak tahun 2000, ia menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan aktif dalam gerakan perjuangan bahasa. Di peringkat serantau dan antarabangsa, ia menjadi wakil negara dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia (MABBIM), Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), anggota Jawatankuasa Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kegiatan majlis tersebut. Sejak tahun 1992 ia dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura dalam bidang pengajaran bahasa Melayu dan penyediaan bahan pengajaran subjek Bahasa Melayu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024