Artikel

Mencari Keredhaan dan Keampunan Allah: Menggapai Husnul Khatimah

oleh Dr Sakinah Salleh pada 07 Oct 2015

Buku Menggapai Husnul Khatimah karya Dr Muhammad Widus Sempo ini diterbitkan oleh PTS Publishing House. Cetakan pertama tahun 2015, ISBN 978-967-411-614-9. Ia mengandungi 246 mukasurat dengan 29 bab tidak termasuk penutup dan juga bibliografi.

Buku ini digarap oleh penulis dengan baik sekali bagi berkongsi dengan pembaca bagaimana meraih husnul khatimah, kesudahan yang baik dengan meletakkan program uhkrawi terbaik bagi menyuluh insan mencari redha Allah dan keampunanNya. Ia juga dapat menanam kecintaan insan kepada Allah dan Rasul.

Pada setiap awal bab buku ini ia dimulakan dengan petikan kata-kata yang memberi motivasi kepada pembaca yang dipetik dari untaian kata-kata hukama, dan terdapat juga putis daripada penulis sendiri.

 Penulis memberikan 26 cara bagaimana memperoleh husnul khatimah, selain itu beliau juga memberikan ciri-ciri perbezaan antara ‘husnul khatimah dan su’ul khatimah’. Tanda-tanda orang yang memperoleh husnul khatimah juga dapat diketahui oleh pembaca seperti contohnya penjagaan akidah dan amalan yang baik. 

Pada setiap bab, penulis mengulas dengan begitu terperinci dan jelas, berpandukan al Quran dan hadis sebagai dalil. Selain penulis juga menyelitkan kisah para rasul, sahabat dan para ulama. Hadis yang dipetik oleh penulis juga dilengkapkan dengan nama perawi serta jenis-jenis hadis.

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, penulis tidak gagal menyertakan sumber rujukan daripada buku-buku lain. Bahkan pada setiap bab penulis tidak hanya menyertakan ayat al-quran dan hadis namun ada juga disertakan doa di bahagian hujung sekali. Selain itu penulis juga meletakkan nota hujung pada sesetengah bab bagi menjelaskan kepada pembaca tentang sesuatu perkataan yang dirasakan perlu.

 Isi buku dan cara persembahan serta garapan buku ini menjelaskan kepada pembaca bahawa penulis sangat arif dengan apa yang dibincangkan. Bagi pembaca yang tercari-cari tip atau cara bagaimana menggapai husnul khatimah dan merancang kematian yang baik maka buku ini boleh memberikan jawapannya. Ia membantu pembaca untuk memprogram kehidupan dan melihat kompas kehidupan masa hadapan yang mahu dituju, iaitu redha Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024