Artikel

Tokoh Islam yang Berjasa: Imam Mohamed Said Ramadan Al-Bouti dalam Kenangan

oleh Dr Sakinah Salleh pada 07 Oct 2015

Imam Mohamed Said Ramadan Al- Bouti merupakan tokoh ulama kontemporari yang banyak memberi sumbangan kepada Islam pada zaman ini. Beliau mengarang hampir 70 buah buku keilmuan Islam dalam bidang syariah, akidah, tasawuf,sejarah, dakwah dan pengajian Islam serta dinobatkan sebagai reformis ensiklopedik.

Buku ini diterbitkan oleh PTS Publishing House Sendirian Berhad pada 2015 dengan nombor ISBN 978-967-411-658-3. Mengandungi 117 mukasurat bercetak, ia digarap hasil dari kertas kerja tiga orang panel penulis. Ia memberi penjelasan yang ringkas dan padat berkenaan tokoh ulama ini dengan mengetengahkan biodata dan sejarah hidup, serta sumbangan Imam Al-Bouti. Selain itu aspek pemikiran dan pendirian berkait politik, pembinaan tamadun, mazhab, dakwah dan jihad yang dianalisa secara mantap oleh para penulis.

Dimulakan dengan kata pengantar oleh S.S. Datuk Dr. Zulkifili Mohammad Al Bakri, pendahuluan pula oleh Tuan Jufri Joha, Pengarah Eksekutif Akademi Intelektual Muda dan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Buku ini kemudiannya dibahagikan kepada 4 bab.

Bab satu digarap oleh Tuan Muhammad Rashidi bin Haji Wahab yang membincangkan tentang biografi, sumbangan, dan aspek pemikiran Imam Al- Bouti. Karya -karya dan pengiktirafan yang diperoleh Imam Al-Bouti sepanjang kehidupan dinyatakan secara terperinci oleh penulis.

Manakala pada bab yang kedua pula, menjelaskan kepada pembaca berkenaan jihad, dakwah dan citra ketamadunan Imam Al-Bouti. Bab ini digarap dengan begitu ringkas namun padat isinya oleh Prof Madya Dr. Rumaizuddin Ghazali dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Seterusnya pada bab yang ketiga, penulis iaitu Tuan Muhammad bin Suhaimi menggarap tentang perjuangan dan perjalanan panjang Imam Al-Bouti dalam medan dakwah. Penulis tidak terkecuali dalam meletakkan pandangan dan pemikiran Al-Bouti terhadap dakwah.

Bab keempat pula dari penulis yang sama, membawa pembaca menyelami pengalaman hebat Al-Bouti di Universiti Al-Azhar, dengan tajuk ‘Islamic Resurgence’. Bahagian terakhir ini, penulis mengetengahkan pemikiran Imam Al-Bouti terhadap isu jihad secara lebih terperinci.

Meninggal dunia pada 21 Mac 2013 dalam serangan bom di Masjid Al Imam dan disemadikan bersebelahan makam Salahuddin Al-Ayubi di perkarangan masjid Al Umawi. Beliau meninggalkan legasi besar kepada dunia Islam.

Bagi mengenali latar belakang, sumbangan dan perjuangan tokoh ulama kontemporari dunia Islam yang amat berpengaruh ini, buku ini amat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Bahasa yang mudah, rujukan yang pelbagai dan pendekatan yang senang difahami membawa pembaca mengenali dengan lebih dekat akan tokoh mulia ini.

Kredit diberikan bagi penulisan dan penerbitan buku ini kerana ia secara tidak langsung menyumbang kepada perjuangan dakwah di Malaysia secara khususnya dan umat Islam seluruh dunia secara amnya.  

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2020