Permata Ummah : Ahmad Ammar

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 29 May 2015

Ahmad Ammar. Maksud namanya pun sudah menggambarkan peribadi beliau yang terpuji dan kuat imannya.

Novel karya penulis terkenal yang lebih dikenali sebagai Pak Latip ini pasti akan membuatkan ramai tersentak, mengalirkan air mata, malah pasti akan ada juga yang makin bersemangat untuk menegakkan syiar Islam.

Novel ini disusun mengikut kronologi daripada hari perkahwinan ibu dan bapanya iaitu Ahmad Azam dan Nur Azlina.

Pembaca akan dibawa menelusuri kisah kelahiran Ahmad Ammar dan seterusnya bagaimana beliau dididik sehingga ke saat beliau syahid di jalan Allah.

Peribadi Ahmad Ammar pasti akan membuatkan remaja yang sebaya dengannya malu dengan diri sendiri.

Beliau telah dipersiapkan dengan ilmu Islam dan diajar untuk berbakti kepada Ummah. Sedangkan kita? Lebih gemar berpeleseran dan terbuai dengan hiburan.

Ahmad Ammar disanjungi sehinggalah beliau satu-satunya rakyat Malaysia yang dibenarkan untuk disemadikan di tanah perkuburan Eyub Sultan, tempat di mana bersemadinya Abu Ayub Al-Ansari bersama enam puluh orang sahabat Rasulullah s.a.w., para pejuang tentera Uthmaniyyah dan para pembesar. Masya Allah, betapa beruntungnya seorang syahid bernama Ahmad Ammar.

Pembeli novel ini pasti tidak akan menyesal kerana ceritanya disusun dengan kemas. Bahasa yang digunakan tidaklah membelitkan urat kepala.

Tapi apa yang penting, perwatakan dan niat suci Ahmad Ammar berjaya disampaikan sehingga mampu menyentuh hati sesiapa yang membacanya.

Akhir kata, muhasabahlah diri sendiri. Adakah kita sanggup menjadi seperti beliau, yang niatnya syahid di jalan Allah di dalam dunia yang penuh dugaan ini?