Artikel

Cinta Luar Biasa: Abang Bomba I Love You

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 28 May 2015

Tipikal novel masa kini, watak lelaki utama dimestikan untuk mempunyai pekerjaan yang gah seperti pemilik syarikat, pengurus ataupun jawatan-jawatan yang tinggi.

Jarang-jarang kita jumpa nukilan penulis yang mengangkat watak lelaki utama yang mempunyai pekerjaan biasa-biasa. Namun, penulis Mia Kiff dilihat cuba untuk mengubah persepsi itu.

Rayqal adalah seorang anggota bomba yang sangat tekun dan komited dengan kerjayanya.

Minat yang mendalam membuatkan dia tidak kisah dengan kerja-kerja yang berat dan kadang-kadang boleh membahayakan dirinya.

Lily pula adalah seorang pelajar lepasan SPM yang sangat riang dan ramah.

Dia sangat memandang tinggi profesion seorang bomba yang sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan mangsa.

Kisah ini membawa pembaca untuk mengenali beberapa tugas-tugas bomba, daripada sekecil-kecil tugas sehinggalah ke tugas yang paling berat.

 Hampir setiap insiden yang berlaku dalam novel ini, Lily dan Rayqal dipertemukan. Daripada situlah Lily sudah mula tertarik dengan Rayqal. Pelbagai cara dia lakukan untuk mengambil hati Rayqal, tapi bagi Rayqal, Lily hanyalah diibaratkan seorang adik di mata lelakinya.

Watak kakak kandung Lily iaitu Mawar dilihat sebagai satu watak antagonis yang sangat menarik. Penulis berjaya menghidupkan watak Mawar yang sangat kejam dan jahat pada adiknya sendiri dengan jayanya, sehingga kita sebagai pembaca pun akan naik meluat dengan perangai jelik Mawar.

Selain itu, ibu dan ayah Lily yang terlalu mementingkan gred peperiksaan semata-mata membuatkan Lily dihalau rumah.

Watak Haji Mustaffa yang sangat baik pasti akan mengingatkan kita kepada keluarga kita di kampung yang sangat penyayang.

Novel ini secara keseluruhannya adalah sangat baik. Diawal cerita, perwatakan Lily terasa seperti terlalu kebudak-budakan.

Namun, itu mungkin usaha penulis untuk menunjukkan perubahan mendadak Lily apabila dugaan demi dugaan yang menimpa dirinya, dia berjaya menjadi seorang yang lebih matang setelah lima tahun belajar di luar negara.

Dapatkah Rayqal memenangi hati Lily? Berjayakah usaha Mawar untuk menjatuhkan Lily walau dengan apa jua caranya?

Bagaimana pula hubungan Lily dengan Haziq, lelaki yang memang sudah jatuh cinta padanya sejak sekolah? Silakan membeli, dan membaca dengan sabar.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024