Saya Berubah 180 Darjah Selepas Mengenal HAMKA

oleh Asri Yussof pada 09 Aug 2016

Hujung minggu lepas ketika bertemu dengan teman lama di kedai makan sekitar Kuala Lumpur, saya mendengar satu lagi kisah yang sangat berguna buat peringatan kepada diri ini, supaya ke depan hari, menjadi manusia yang lebih ikhlas.

Kawan saya bercerita bagaimana hidup beliau berubah 180 darjah selepas mengenal HAMKA. Beliau bercerita dengan sungguh teruja sekali siapakah HAMKA dan karya-karyanya yang sudah beliau sudah baca.

Salah satu karya Hamka yang begitu dekat dengan beliau adalah Lembaga Budi. Katanya, buku ini mengajar tentang erti berbudi yang sebenar. Hamka begitu halus menulis tentang budi.

“Aku dulu kalau ada orang suruh minta tolong apa-apa yang bukan memberi kepentingan kepada aku, aku buat tak tahu saja. Walhal benda tu kecil je dan aku pun boleh buat sebenarnya.”

Hamka menulis,

Tidaklah sempurna ikhlas orang yang mengharap syurga di dalam amalnya dan takut akan neraka. Kerana itu bukanlah lagi mencari keuntungan bagi budi, tetapi mencari kebendaan untuk diri. Padahal kita kerja menjunjung tinggi perintah Tuhan bukanlah lantaran mengharap akan keuntungan.

“Aku terfikir sekejap, kenapa tak boleh ke kita harapkan syurga atas amal perbuatan baik yang kita buat. Yelah, aku memang lah ada buat kerja tak ikhlas, tapi bila aku buat sekurang-kurangnya aku fikirkan nak pahala.”

Hamka menulis,

Memang Tuhan berjanji akan memberikan pahala pada siapa yang berbuat baik, dan mengazab siapa yang berbuat jahat. Syurga bagi yang baik dan neraka bagi yang jahat. Bagi si mukhlis (orang yang ikhlas), berbuat baik kerana memang baik, menjauhi kejahatan sebab memang jahat. Adapun kalau Tuhan hendak memberinya apa-apa ganjaran kebaikan akan diterimanya dengan syukur, kerana tidak ada syurga yang lebih di sisinya, daripada syurga ingat akan Allah .

“Kau tahu, aku terfikir banyak kali sampailah aku cuba sedaya upaya juga untuk menghabiskan Lembaga Budi ini.”

Baca, Lembaga Budi

Baca, Orang tidak masuk Universiti menulis Sejarah

Beli di Bookcafe.com.my dengan Diskaun Berganda

Janganlah kamu sebagai seorang budak yang jahat, kerana takut (pada tuannya) dia bekerja. Jangan pula sebagai orang gajian yang jahat, kalau tidak dibayar upahnya, dia pun tidak kerja lagi. - Hadis

“Sekarang bila ada orang mintak tolong, aku buat dengan niat aku benda tu benda baik. Tuhan nak balas tak balas itu aku dah letak bab kedua dah. Bila dekat ofis, kalau pun ada kerja yang datang dekat aku yang bukan kerja aku, aku take it tanpa cakap apa-apa, supaya aku buat betul-betul tak main-main. Alhamdulillah.”

Kalau Dia memberi kita pahala, adalah semata-mata kurnia; Dan kalau Dia menyeksa kita, adalah semata-mata kerana keadilan - Syair