Artikel

Pintu Ijtihad Dalam Islam Belum Tertutup - Buya Hamka

oleh Asri Yussof pada 10 Aug 2016

Kekalutan yang membingitkan pada hari ini hanyalah berlaku disebabkan berbeza pendapat. Perbezaan pendapatan bukanlah perkara yang ditegah didalam agama. Yang menjadikan perbezaan pendapat itu dipandang teruk adalah kerana sikap manusia berdepan dengan perbezaan pendapatan.

Hamka menulis dalam bukunya, Falsafah Hidup pada bahagian ‘Kemerdekaan Menyatakan Fikiran’,

Menghormati orang dalam menyatakan fikiran dan kepercayaannya. Suatu hasil pemikiran setelah matang difikirkan dan diyakini, merdekalah orang menyatakan ke hadapan umum. Kelak orang lain merdeka pula membantah dengan fikiran pula. Tetapi hendaklah orang yang merdeka menyatakan fikiran itu, menjaga beberapa undang-undang, yang tidak keluar dari garis keadilan dan peraturan, dan tidak pula mengganggu kemerdekaan orang lain.

Hamka menulis lagi,

Jika sesuatu pendirian itu berlainan dengan yang biasa terpakai tidaklah boleh dihalangi, malahan wajib dihormati. Kemerdekaan fikiran yang seperti ini amat besar faedahnya bagi kemajuan masyarakat. Sebab apabila pendapat itu dikeluarkan, dapatlah elak mendapat bandingan dari yang lain, sehingga nyata yang benar dan yang salah.

Paling berani Hamka, apabila beliau menulis tentang pintu ijtihad yang masih terbuka dalam Islam dan belum lagi tertutup. Tulisnya,

Pintu kebebasan menyatakan fikiran itu terbuka luas dalam agama Islam, iaitu dengan kebebsan ijtihad. Kemajuan ilmu ushul fikah, fikah, ilmu tafsir, tasawuf dan lain-lain dalam Islam adalah berpangkal dari terbukanya pintu ijtihad. Ulama-ulama besar, yang telah mendirikan empat mazhab fikah dalam Islam adalah bersumber dari kebebasan ijtihad.

Barangsiapa yang berijtihad, lalu benar hasil ijtihadnya, mendapatlah dia dua pahala. Dan barangsiapa yang berijtihad, tetapi tidak tepat hasil ijtihadnya mendapat dia satu pahala. - Hadis

Dalam bab ini sahaja, Hamka telah mengajarkan kita sesuatu yang amat luar biasa. Tingkatkan ilmu sehingga kita boleh memberi pendapat dan berijtihad. Malah jika berbeza pun sesuatu pendapat itu, bukan keji mengeji jalan menyelesaiannya, tetapi berlapang dada.

Hamka menulis lagi,

Oleh sebab itu dalam kitab-kitab Fikah lama, di dalam mengemukakan suatu pendapat, pengarangnya selalu tidak lupa mengemukakan pendapat Ulama lain, yang berbeza fahaman dengan dia, sehingga yang membaca atau mempelajari dapat membandingkan pendapat-pendapat itu.

Baca Falsafah Hidup

Dapatkan buku Falsafah Hidup sekarang

Hamka menulis lagi dengan tegas bahawa pintu Ijtihad dalam Islam masih lagi belum tertutup,

Salah satu sebab terbesar dari kemunduran fikiran dalam Islam, sehingga terjadi fahaman jumud (membeku) dan statik ialah setelah timbul pendapat pada abad ketujuh Hijriyah bahawa pintu ijtihad telah tertutup dan kita lebih baik taqlid sahaja. Padahal perkembangan selanjutnya menunjukkan bahawa tidak mungkin hanya bertaqlid sahaja. Banyak soal-soal baru yang timbul dalam masyarakat yang tidak dapat dipecahkan kalau kita hanya bertaqlid sahaja.

Dalam menyatakan kebebasan pendapat dalam dunia yang belum tertutup ijtihadnya, di mana tempat yang sesuai dicurahkan?

Hamka menulis,

Yang terutama di dalam surat-surat khabar dan buku-buku. Malah jika ada tulisan-tulisan yang dusta, yang menipu, yang tidak berdasar kebenaran, walaupun mula-mula ditelah orang, namun zaman kelak akan memuntahkan ‘kebenaran celupan’ itu dari perut orang yang telah terlanjur menelannya.

Hamka juga memberitahu betapa pentingnya kebebasan media dalam memberikan kestabilan kepada dunia perbahasan,

Itulah kepentingan surat khabar. Surat khabarlah cerminan kemajuan satu bangsa. Napoleon sangatlah memberi kebebasan wartawan menyatakan fikiran di dalam surat khabar. Walaupun isinya mengkritik kebijakan pemerintahnya sendiri, tetapi beliau senang dikritik walaupun beliau seorang diktator. Kebebasan media ini suapaya pemerintah dapat mengorek dirinya lantaran membaca.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024