Berita

Bahaya Kolesterol

oleh Helmi pada 29 Sep 2004

MANUSIA memerlukan kolesterol bagi membentuk sel, hempedu dan hormon tertentu dalam tubuh tetapi paras kolesterol yang tinggi mendedahkan individu kepada pelbagai penyakit berbahaya. Penyakit jantung koronari disebabkan paras kolesterol tinggi dalam tubuh menjadi pembunuh nombor satu masyarakat di negara ini. Pesakit juga terdedah kepada serangan strok atau angin ahmar sekiranya paras kolesterol terlalu tinggi. Apakah faktor yang menyebabkan paras kolesterol tinggi dalam tubuh dan bolehkah keadaan itu dikurangkan?

Kolesterol dihasilkan oleh hati dan ia wujud dalam darah setiap individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang dan kaya dengan kolesterol akan mendedahkan seseorang kepada masalah kolesterol tinggi dalam darah. Penghasilan kolesterol secara berlebihan oleh hati dikaitkan dengan faktor genetik dan keadaan ini sukar dikawal biarpun individu berusaha mengurangkan pengambilan makanan kaya kolesterol.

Ada pesakit mengadu tidak mengambil makanan kaya kolesterol tetapi paras kolesterol mereka tinggi dan ini sebenarnya berpunca daripada faktor genetik. Mereka yang kuat merokok juga terdedah kepada masalah kolesterol tinggi.

Bagaimanapun, paras kolesterol tinggi yang berpunca daripada faktor pemakanan tidak seimbang boleh dicegah.
Masalah kolesterol tinggi lebih terdedah kepada lelaki berbanding wanita. Namun begitu, apabila wanita putus haid, mereka tidak terlepas daripada mengalami masalah kolesterol tinggi dan sebahagian besar daripada mereka terdedah kepada sakit jantung koronari. Sebelum putus haid, hormon estrogen melindungi wanita daripada sakit jantung koronari tetapi selepas menopaus, hormon itu tidak lagi dihasilkan oleh tubuh dan ini mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah.
Tahap kolesterol boleh dikategorikan kepada Low Density Lipoprotein (LDL) dan High Density Lipoprotein (HDL). LDL membawa kolesterol untuk dimendapkan pada tisu manakala HDL pula bertindak mencegah pemendapan kolesterol pada tisu. LDL disifatkan sebagai kolesterol tidak elok manakala HDL pula ialah kolesterol elok.

Tahap kolesterol individu yang berusia 30 tahun ke atas tidak seharusnya melebihi 4.7 mmol manakala paras kolesterol mereka berusia bawah 30 tahun hendaklah kurang daripada 5.2 mmol. Lazimnya, pengambilan darah boleh menentukan paras kolesterol seseorang. Apabila individu berjumpa doktor, mereka akan ditanya mengenai sejarah dan latar belakang kesihatan diri dan keluarga. Jika paras kolesterol normal, doktor akan menasihatkan pesakit supaya menjalani pemeriksaan setiap lima tahun.

Bagaimana mengurangkan paras kolesterol?
1. Sekiranya paras kolesterol didapati tinggi, pesakit diminta mengubah tabiat pemakanan harian mereka.
2. Jika pesakit merokok, mereka dinasihatkan supaya berhenti.
3. Pesakit diminta mengurangkan berat badan jika terlalu gemuk.
4. Pesakit dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan berlemak.
5. Pilih kepingan daging tanpa lemak.
6. Jika memasak ayam, pastikan kulit ayam dibuang terlebih dulu.
7. Elakkan mengambil organ dalaman haiwan seperti paru, otak lembu, hati kambing dan hati lembu. 
8. Elakkan mengambil susu penuh krim atau susu rendah lemak. Sebaik-baiknya pilih susu skim.
9. Jika berhasrat mengambil ais krim atau keju, pastikan puan memilih yang rendah lemak. Bagaimanapun, sebaik-baiknya ambil dadih.
10. Kurangkan pengambilan kuning telur kerana ia kaya dengan kolesterol.
11. Walaupun santan tidak mengandungi kolesterol, ia mengandungi lemak tepu dan apabila dimakan, santan akan bertukar menjadi kolesterol.
12. Amalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Bersenam dapat mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Jika satu peratus kolesterol berjaya diturunkan, pesakit mampu mengurangkan risiko sakit jantung koronari sebanyak dua peratus. Sekiranya pesakit dapat mengurangkan paras kolesterol sehingga lima peratus, risiko mengalami sakit jantung koronari berjaya dikurangkan sehingga 10 peratus.

Rawatan

Oleh kerana masalah kolesterol tinggi yang berpunca daripada faktor pemakanan boleh dicegah, rawatan kepada masalah itu lebih kepada cara mencegah. Bagaimanapun, jika ia berpunca daripada faktor genetik, doktor akan memberi ubat bagi menurunkan paras kolesterol dalam darah. Beritahu doktor jika pesakit alah terhadap ubat terbabit. Pesakit harus mematuhi setiap arahan sebelum mengambil ubat bagi mengelakkan kesan sampingan. Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan setiap tiga bulan bagi mengetahui paras kolesterol mereka.

Sumber:
Dr Sharifah Sakinah Syed Mohamad al-Yahya – Perunding Perubatan dan Endokrinologi (Diabetologi) Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor.

Komen Pembaca