Artikel

Kesan Buruk Hepatitis C

oleh Helmi pada 28 Sep 2004

PERBUATAN menindik telinga, hidung dan pusat serta melukis tatu pada mana-mana bahagian badan atau anggota sudah menjadi trend di kalangan remaja zaman sekarang. Namun, trend itu sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan dan sebaik-baiknya janganlah ia dijadikan ikutan dan kegemaran. Ini kerana, jika peralatan yang digunakan tidak bersih ketika menindik dan melukis tatu, seseorang itu akan terdedah kepada jangkitan virus hepatitis C.

Selain bertindik dan melukis tatu, rawatan akupunktur dan bercukur kepala juga boleh mendedahkan seseorang kepada hepatitis C. Peralatan yang digunakan seperti gunting, pisau cukur dan jarum yang tidak bersih dan sudah dijangkiti virus penyakit itu akan meningkatkan lagi risiko seseorang menjadi mangsa hepatitis C. Di negara Barat, hepatitis C adalah penyebab utama penyakit hepar atau hati dan faktor utama sirosis dan karsinoma hepatocellular (HCC) atau kanser hati. Kira-kira empat juta orang dijangkiti hepatitis C di Amerika Syarikat manakala di Malaysia pula, penyakit itu dianggarkan 1.5 peratus dan dianggarkan 0.3 hingga 0.6 peratus penderma darah didapati positif terhadap penyakit itu.

Bagaimanapun, sejak 1991, ujian penyaringan terhadap darah yang didermakan dilaksanakan oleh kerajaan sebagai suatu usaha mengesan sebarang virus berbahaya. Bagaimana virus hepatitis C merebak? Lazimnya, transmisi virus hepatitis C merebak melalui pemindahan darah yang sudah dijangkiti virus itu melalui:
1. Perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah.
2. Pemindahan darah jika darah yang didermakan tidak menjalani ujian saringan.
3. Haemodialisis di kalangan pesakit buah pinggang.
4. Pemindahan organ apabila organ itu didermakan oleh pesakit hepatitis C.
5. Amalan perubatan yang tidak selamat iaitu apabila membabitkan kakitangan perubatan yang mengambil darah daripada pesakit hepatitis C.
6. Proses kelahiran, iaitu membabitkan ibu berpenyakit hepatitis C kepada anak.
7. Mereka yang gemar mengamalkan seks rambang.

Simptom hepatitis C

Lazimnya, selepas terdedah kepada virus penyakit itu, pesakit jarang mengalami sebarang simptom atau gejala. Hanya 20 peratus daripadanya akan mengalami hepatitis akut dan mengalami gejala seperti tidak sedap badan, lemah, kurang selera makan dan badan bertambah kurus.

Bagaimanapun, kira-kira 85 peratus pesakit akut hepatitis C akan mengalami kronik hepatitis C atau kanser hati selepas tempoh antara 20 dan 50 tahun.

Simptom yang boleh dialami adalah terasa loya, jaundis, demam dan air kencing berwarna kuning pekat. Bagaimanapun, bukan semua pesakit hepatitis C akan mengalami gejala seumpama itu. Dalam keadaan kronik, hati yang tidak lagi berfungsi boleh menyebabkan pesakit mengalami busung atau asites iaitu keadaan perut yang membuncit. Sehubungan dengan itu, biarpun saudara kelihatan sihat dan bertenaga, itu tidak bermakna saudara bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

Apakah bentuk pemeriksaan bagi mengesan hepatitis C?
1. Pemeriksaan fungsi hati dikenali sebagai serum ALT/SGPT.
2. Pemeriksaan anti hepatitis C (HCV).
3. Biopsi hati.

Apakah masalah dihadapi pesakit hepatitis C?

Apabila seseorang pesakit didapati positif terhadap pemeriksaan mengesan virus hepatitis C, mereka memerlukan sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.
Pesakit mestilah dirujuk sama ada kepada pakar gastroenterologi atau hepatologi bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan seterusnya mendapatkan rawatan dan terapi ubat-ubatan. Justeru, pesakit hepatitis C tidak seharusnya disisihkan daripada masyarakat kerana virus penyakit itu hanya merebak melalui pemindahan darah dan bukannya melalui sentuhan atau percakapan.

Apakah bentuk dan jenis rawatan?
1. Banyakkan berehat.
2. Berhenti mengambil minuman keras.
3. Amalkan diet seimbang dan berkhasiat.
4. Pemindahan organ. Bagaimanapun, ia hanya dilakukan di negara Eropah dan Amerika Syarikat.
5. Pengambilan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor.

Apakah langkah bagi mencegah penyakit hepatitis C?
1. Amalkan gaya hidup sihat.
2. Jauhi seks rambang.
3. Berhati-hati ketika bertindik, bertatu, bercukur dan menjalani rawatan akupunktur dengan memastikan peralatan digunakan benar-benar bersih dan selamat.
4. Jauhi dadah.

Sumber:
Dr Mazlam Zawawi - Pakar Perunding Gastroenterologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024