Artikel

Berfikir Cara Lama

oleh Helmi pada 28 Sep 2004

Berfikir Cara Lama

Kejayaan bergantung kepada banyak faktor, bukan setakat kelulusan akdemik sahaja. Salah satu daripada
begitu banyak faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang dalam dunia profesional ialah kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah, kedua-duanya adalah kemahiran berfikir.

Pemikiran tradisional melambatkan kadar kemajuan di Barat, begitulah pendapat de Bono. Sepatutnya Barat sudah maju 300 tahun ke depan daripada hari ini. Menurut beliau lagi, kalaulah tamadun Barat tidak mengamalkan cara berfikir ciptaan Socrates, kemajuan teknikal di sana sudah jauh lebih maju daripada sekarang. Cara Socrates, Aristotle dan Plato berfikir tidak menggunakan teknik desain (design). Malah mereka bertiga tidak membenarkan teknik desain. Mereka menggunakan teknik induktif. Teknik induktif menghasilkan tradisi analisis. Meskipun teknik analisis penting dan sangat berguna tetapi ia mempunyai batas kegunaaannya.


Pemikiran Tradisional

Tradisi pendidikan dan tradisi budaya kita selama ini memang menekankan pemikiran reaktif. Di dalam bilik darjah dan dewan kuliah, pelajar diberi masalah dan dikehendaki menganalisis masalah itu dan mengemukakan jawapannya. Mereka menggunakan cara-cara berfikir kritikal bagi bereaksi kepada masalah yang ada di depannya. Sebagai pelajar, mereka hanya menunggu sehingga guru mengemukakan masalah untuk mereka diterima, dianalisis dan diberikan jawapannya.

Para pelajar yang pintar menunjukkan gejala berfikir yang boleh diistilahkan sebagai `Kesan Kinabalu.’ Otak mereka terlatih bertungkus-lumus menyelesaikan bermacam-macam masalah analitikal yang diberikan kepada mereka oleh guru dan oleh buku teks. Semua masalah-masalah itu adalah terdiri daripada jenis reaktif belaka. Di dalam soalan-soalan yang diberikan itu terkandung semua maklumat yang diperlukan bagi mendapatkan jawapan yang betul. Kita hanya perlu meng-analisis maklumat-maklumat tersebut dengan menggunakan teknik-teknik yang betul. Keadaan ini serupa dengan Gunung Kinabalu yang terpacak tegak menunggu didaki. Demikianlah halnya dengan masalah-masalah yang diberikan kepada kita di sekolah. Soalan-soalan itu menunggu supaya diselesaikan. Itu sebabnya pelajar-pelajar yang pintar di sekolah cekap menyelesaikan masalah-masalah jenis reaktif. Makin tinggi gunung yang dapat didaki, semakin mereka berasa mereka lebih pintar.

Ciri utama kepintaran jenis ini ialah, pelajar mahu supaya semua maklumat disediakan di hadapannya disebabkan tanpa maklumat yang lengkap dia tidak dapat melakukan analisis masalah yang perlu dicari jawapannya. Inilah ciri pemikiran akademik yang diasuh di bilik-bilik darjah dan dewan-dewan kuliah sistem pendidikan sekarang. Para pelajar yang cemerlang di sekolah adalah para pelajar yang pandai menanti sahaja adanya Gunung Kinabalu ditampilkan di depan mereka supaya dipanjat. Buku-buku teks sekolah hari ini hanya mengandungi soalan-soalan jenis reaktif.Para pelajar yang mendapat markah tinggi sewaktu menjawab soalan-soalan jenis reaktif mungkin gagal menjawab soalan-soalan berfikir jenis baru, seperti soalan yang menghendaki supaya mereka berfikir secara projektif dan kreatif.


Berfikir Kerana Terpaksa Berfikir

Dalam tradisi sekarang, lazimnya seseorang itu berfikir disebabkan dia mengalami keadaan yang memaksanya berfikir. Berfikir dengan cara begini ialah berfikir secara reaktif. Dalam tradisi reaktif, ada kalanya seseorang itu berdepan dengan masalah yang tidak dapat diselesaikannya. Ada kalanya pula dia menghadapi keadaan yang serba salah: ada dilema di depannya dan dia buntu fikiran, tidak tahu yang mana patut dipilih mahupun dilakukan. Pada waktu lain seseorang itu ber-depan dengan konflik yang makin hari semakin buruk. Dia perlukan idea-idea baru, tetapi tidak mempunyai idea-idea itu. Pada masa lain diam memerlukan peluang-peluang baru tetapi tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan peluang-peluang seperti itu. Akalnya mati di situ, otaknya buntu. Dia tidak dapat bergerak. Dalam keadaan begini, apakah pilihan yang ada? Jadi dia terpaksalah berfikir: itulah pilihannya. Keadaan-keadaan seperti di atas tidak dapat lagi ditangani dengan cara-cara berfikir tradisional yang biasa digunakan. Jadi dia perlu berfikir keras-keras. Apabila dia tahu akan adanya alat-alat dan teknik-teknik berfikir, dia dapat mengelakkan diri daripada meng-hadapi keadaan akal buntu. Dia mempunyai semangat bagi memikirkan perkara-perkara itu. Tanpa pengetahuan dan kemahiran menggunakan alat-alat dan teknik-teknik berfikir, dia mengulang-ulang cara yang sama.


Berfikir Kerana Sengaja Mahu Berfikir

Dalam tradisi baru seseorang itu tidak terpaksa berfikir sebelum dia mula berfikir. Dia berfikir ialah kerana dia sengaja mahu berfikir, bukan disebabkan dia terpaksa bereaksi kepada situasa yang menyusahkannya. Setiap individu memang mem-punyai cara sendiri apabila melakukan sesuatu dan dia tidak menghadapi apa-apa masalah dengan cara-cara yang digunakannya itu. Kalau dia mahu, dia boleh terus melakukan tugas-tugas yang ada menggunakan cara-cara yang digunakan sekarang. Tetapi apa salahnya kalau seseorang itu sengaja mahu mencari cara-cara lain bagi melakukan tugas-tugas yang ada. Di sini dia mahu mencari cara-cara lain yang lebih mudah. Mungkin cara baru itu lebih murah, kurang membazir, kurang kesilapan, tidak merbahaya ataupun mungkin tidak me-nyebabkan pencemaran.

Inilah perkara-perkara yang penting apabila seseorang itu berfikir bagi mencari pembaikan. Berfikir jenis ini sangat-sangat penting dalam sektor perniagaan dan perdagangan kerana dalam sektor-sektor itu aspek kecekapan dan keber-kesanan sangat diutamakan. Dalam bidang kejuruteraan pun pemikiran jenis ini sangat penting. Dalam perkhidmatan kerajaan pemikiran ini sepatutnya dipentingkan juga kerana kerajaan mahu mengurangkan kos. Pemikiran begini pun sepatutnya dipentingkan dalam kehidupan peribadi setiap orang. Yang menjadi masalah ialah keadaan tidak memaksa kita berfikir cara begini, oleh itu kita mestilah dengan sukarela mahu berfikir begini. Ertinya, kita mesti memaksa diri kita supaya mahu berfikir semata-mata demi pembaikan, bukan disebabkan kita menghadapi sebarang masalah.

Ada kalanya seseorang itu perlu membuat pilihan dan ke-putusan, ataupun membuat perancangan ataupun merangka sesuatu. Ataupun mungkin dia sedang mereka cipta sesuatu. Dalam keadaan begitu dia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa masalah. Seseorang itu boleh membuat keputusan yang perlu dibuatnya. Dia juga boleh melaksanakan apa yang dirancangkannya. Begitu juga dia boleh membuat reka cipta itu sampai jadi. Tetapi dia berasa sekiranya dia berhenti sebentar dan berfikir lama sedikit, hasil kerja-kerjanya menjadi lebih baik lagi. Keputusan yang dibuat selepas difikirkan betul-betul tentu lebih baik daripada keputusan yang dibuat dengan tergesa-gesa. Sebuah reka cipta yang dibuat dengan cara yang lebih teliti dan hati-hati tentu lebih baik daripada reka cipta yang dibuat ikut apa yang mula-mula terfikir.


Berfikir Bagi Mencabar Sesuatu Yang Tidak Bermasalah

Di sekeliling kita terdapat banyak idea yang sudah lapuk tetapi masih boleh digunakan. Dalam keadaan begini kita patut men-cari idea-idea baru yang lebih baik. Bagi mencari idea-idea, kita perlu terlebih dahulu mencabar kesesuaian idea-idea yang ada sekarang. Dengan mencabar idea-idea itu barulah kita dapat melepaskan diri daripada terus menggunakan idea-idea lapuk itu. Barulah seseorang itu dapat mencipta idea-idea baru bagi menggantikannya. Mencabar cara begini dikatakan mencabar secara positif. Keupayaan mencabar secara positif adalah sebahagian daripada keupayaan berfikir secara kreatif.

Cabaran jenis ini bukan bertujuan memprotes idea-idea yang ada. Cabaran yang negatif ialah apabila seseorang itu mengkritik dan menghentam idea-idea yang ada supaya mereka yang bertanggungjawab terpaksa membela diri dengan membuktikan idea-idea tersebut adalah yang terbaik. Seandainya mereka gagal berbuat demikian, mereka dikehendai memperbaiki perkara-perkara yang diprotes. Apabila seseorang itu mencabar secara positif dia tidak menghentam idea-idea yang ada dan dia tetap menerima bahawa idea-idea itu mempunyai kebaikan dan keistimewaannya. Sebaliknya, apa yang dilakukan ialah dia terus sahaja berfikir bagi mencipta idea-idea yang lebih baik lagi. Kemudian dia meletakkan idea-idea baru itu sebelah menyebelah dengan idea-idea yang ada dan memikirkan kelebihan tiap-tiap idea itu. Dia menerangkan di mana kebaikan dan keistimewaan-keistimewaan idea baru itu dibandingkan dengan idea-idea yang ada sekarang.

Dalam pemikiran cara lama, idea-idea yang ada dianggap sebagai musuh yang mesti dihancurkan. Dalam pemikiran cara baru seseorang itu tidak memusuhi mana-mana idea. Dalam revolusi cara lama, musuh yang mesti ditentang dan dibinasakan. Dalam revolusi baru, seseorang itu tidak mempunyai musuh. Yang ada ialah struktur-struktur bagi mencipta sesuatu yang baru, yang lebih positif: inilah `revolusi positif.’


Ingin Menjadi Pemikir

Ramai orang memiliki keinginan yang menggebu-gebu hendak menjadi pemikir yang penuh tenaga dan hebat. Mereka orang yang pintar dan mereka sangat aktif berfikir, tetapi mereka tidak pernah diajar teknik-teknik berfikir yang efektif, akibatnya mereka berfikir secara destruktif di mana mereka mencabar dan memprotes. Tabiat mereka itu adalah hasil pengajaran kemahiran berfikir secara kritikal yang mereka terima sewaktu belajar di sekolah dan diuniversiti. Pemikiran kritikal menimbulkan habit berfikir yang suka bertelagah dan suka saling sangkal-menyangkal. Mereka percaya bahawa berfikir bagi tujuan memprotes dan mencabar sudah cukup dalam kehidupan ini. Melalui protes, pihak-pihak yang diprotes akan membetulkan kesilapan-kesilapan mereka dan hasilnya, keadaan menjadi lebih baik. Berfikir bagi tujuan memprotes memang ada gunanya kerana banyak keadaan yang dulu buruk tetapi kini sudah bertambah baik hasil pelbagai aktiviti protes. Antara keadaan-keadaan itu ialah isu alam sekitar, persamaan hak antara lelaki dan wanita, dasar aparteid, hak orang-orang cacat dan banyak lagi.

Protes sangat berguna bagi menentang pelbagai jenis kekejaman, kezaliman, penindasan dan ketidak-adilan. Protes juga berguna bagi membangkitkan kesedaran orang ramai tentang isu-isu tertentu. Protes berguna apabila ada kesilapan yang sedang berlaku sekarang dan ada perkara-perkara yang tidak betul dan mesti dibetulkan, tetapi protes tidak berguna apabila keadaan itu memerlukan idea-idea kreatif bagi memperbaikinya kerana dalam keadaan begitu tidak ada apa yang silap ataupun tidak betul, cuma cara-cara sekarang tidak lagi dapat memuaskan hati dan memenuhi hasrat kita oleh itu kita mahu supaya keadaan ini ditukar supaya menjadi lebih baik, walaupun tidak ada apa-apa yang salah.

Berfikir Dengan Tujuan Memprotes

Tradisi berfikir cara lama menimbulkan habit berfikir yang suka bertelagah dan suka saling sangkal-menyangkal. Mereka percaya bahawa berfikir bagi tujuan memprotes dan mencabar sudah cukup dalam kehidupan ini. Melalui protes, pihak-pihak yang diprotes akan membetulkan kesilapan-kesilapan mereka dan hasilnya, keadaan menjadi lebih baik. Berfikir bagi tujuan memprotes memang ada gunanya kerana banyak keadaan yang dulu buruk tetapi kini sudah bertambah baik adalah dihasilkan oleh pelbagai aktiviti protes. Antara keadaan-keadaan itu ialah isu alam sekitar, persamaan hak antara lelaki dan wanita, dasar aparteid, hak orang-orang cacat dan banyak lagi. Protes sangat berguna bagi tujuan menentang pelbagai jenis kekejaman, kezaliman, penindasan dan ketidak-adilan. Protes juga berguna bagi membangkitkan kesedaran orang ramai tentang isu-isu tertentu. Protes berguna apabila ada kesilapan yang sedang berlaku sekarang dan ada perkara-perkara yang tidak betul dan mesti dibetulkan, tetapi, protes tidak berguna apabila keadaan itu memerlukan idea-idea yang kreatif bagi memperbaikinya kerana dalam keadaan begitu tidak ada apa yang silap ataupun tidak betul. Cuma, cara-cara sekarang tidak lagi dapat memuaskan hati dan memenuhi hasrat kita oleh itu kita mahu supaya keadaan ini ditukar supaya menjadi lebih baik, walaupun tidak ada apa-apa yang salah.


Berfikir Dengan Tujuan Mengkritik

Perkataan kritik berasal daripada bahasa Yunani iaitu kritikos yang bermakna `dapat menilai.’ Pada asalnya kritikos tidak membawa pengertian kritikan positif ataupun negatif. Pada masa ini perkataan kritik sentiasa bermakna mencari salah, menghentam dan bertentang pendapat. Ini semua dilakukan kerana hasrat mencari kebenaran.

Ada beberapa penjelasan mengapa Barat menganggap pemikiran kritikal sangat penting dan sudah cukup. Edward de Bono mengemukakan enam alasan:

Pertama, di sekolah para pelajar duduk di meja masing-masing. Guru-guru memberikan kepada mereka `pelajaran.’ Pelajar-pelajar itu ditanya soalan-soalan dan diminta memberi pendapat. Jawapan yang paling mudah ialah pendapat kritikal. Pendapat kritikal yang paling mudah difikirkan ialah pendapat negatif. Mencari salah dan cacat-cela tidak perlukan kepintaran yang tinggi.

Kedua, sesiapa pun yang mahu orang lain perasan akan kehadirannya mesti bercakap. Kalau diam saja orang lain tidak perasan dia wujud. Di dalam mesyuarat, dalam perbualan, dia mesti bercakap. Paling senang untuk bercakap ialah bercakap secara negatif: “Saya setuju, TETAPI .....”, “Cadangan itu ada risikonya.”, “Saudara silap.”, “Kalau rugi, bagaimana?” Apa yang betul sukar dilihat. Apa yang salah, sangat jelas.

Ketiga, apabila kita berjaya membuktikan idea orang lain salah, jiwa kita puas. Kita berasa kita lebih pintar daripada orang yang mencipta idea itu. Kritikan dapat menutupi rasa iri hati dan cemburu. Dengan menghentam idea orang seseorang itu dapat menutup niatnya yang sebenar, iaitu menghentam peribadi orang itu.

Keempat, orang-orang yang tidak kreatif tidak mempunyai banyak cara bagi berjaya menjadi orang terkenal dan ber-pengaruh. Salah satu daripada cara mereka ialah dengan menjadi pengkritik. Ramai orang menjadi terkenal dalam dunia drama, filem, sastera dan lain-lain bukan kerana mereka itu kreatif, tetapi kerana mereka pandai mengkritik karya orang-orang lain.

Kelima, kepandaian mengkritik ialah kepandaian intelektual yang rendah. Ia sangat mudah. Caranya begini: seseorang itu mesti mempunyai kriteria. Kemudian dia membandingkan kriterianya itu dengan idea yang hendak dikritik. Kriterianya mestilah lain daripada kriteria idea itu. Katakanlah, idea itu mahal, dia boleh mengkritik idea itu sebagai membazir, melebihi keperluan, terlalu banyak ciri, tidak berguna dan macam-macam lagi. Kalau idea itu murah, kita boleh kritik idea itu sebagai tidak mencukupi keperluan, tidak sesuai dengan citarasa, salah anggaran dan macam-macam lagi. Kalau kita sudah tidak mempunyai modal bagi dijadikan bahan kritikan, kata-katakan saja idea itu bukan idea baru, meniru idea orang lain ataupun apa-apa saja. Kita tidak akan kehabisan modal mengulang kritikan-kritikan seperti itu. Bunyinya hebat juga apabila diucapkan dengan bergaya. Keenam, kalau tiba-tiba orang tidak boleh menggunakan pemikiran kritikal dunia mungkin akan kacau-bilau. Ketakutan ini ada betulnya. Banyak idea yang berbahaya pada masyarakat mungkin diluluskan.

Orang-orang pintar berasa mereka bertanggungjawab memelihara keselamatan masyarakat. Jadi mereka percaya semua idea baru mesti dikritik cukup-cukup sebelum diterma. Pemikir kritikal ialah orang yang berfikir secara reaktif. Dia pandai mengemukakan kritikan-kritikan tajam dan membuat penilaian yang perseptif. Ramai orang pintar terbukti pemikir yang lemah. Dan ramai orang yang sederhana pintar terbukti adalah pemikir yang mahir. Ini kerana, kuasa enjin kereta tidak ada sangkut pautnya dengan teknik bagaimana kereta itu dipandu.


Gaya Berfikir Yang Diajarkan Di Sekolah

Ramai orang percaya pada masa ini sekolah sudah mengajar kemahiran berfikir. Sebenarnya sekolah-sekolah tidak mengajar murid-murid kemahiran berfikir. Kalau ada sekolah yang mengajar kemahiran berfikir, sebenarnya kemahiran itu ialah kemahiran menyusun maklumat dan menganalisis maklumat.

Sejak akhir-akhir ini minat supaya murid-murid sekolah diajar kemahiran berfikir semakin menjadi-jadi. Hasilnya bermacam-macam usaha dijalankan bagi mengajarkan apa yang dikatakan `pemikiran kritikal’ di sekolah dan di universiti. Memang ada baiknya pelajar diajar kemahiran berfikir secara kritikal, tetapi mengajar itu saja belum cukup. Malah, mengajar pemikiran kritikal saja kepada para pelajar adalah sesuatu yang membahayakan. Sehingga hari ini, beginilah cara berfikir yang diajarkan kepada pelajar di sekolah: Dalam buku teks ada masalah yang mesti `dicari’ jawapannya. Apabila pelajar sudah mendapat jawapan itu dia serta-merta berhenti berfikir. Tidak ada jawapan yang lebih betul daripada `jawapan yang betul.’ Itulah yang sekolah mahu: `cari’ jawapan yang betul, kemudian berhenti berfikir. Sesudah itu jawab pula soalan lain.

Dalam kehidupan di luar pagar sekolah, walaupun seseorang itu sudah mendapat jawapan yang betul, dia masih terus berfikir. Kita tidak berhenti berfikir kerana kita tahu masih ada jawapan-jawapan lain yang barangkali lebih betul dan lebih baik daripada jawapan yang sudah ada. Jadi, kita terus berfikir mencari jawapan yang lebih murah, lebih selamat, lebih cepat dan sebagainya. Masalah-masalah dalam buku-buku teks sekolah tidak mempunyai persamaan langsung dengan masalah-masalah yang setiap hari terpaksa dicari jawapannya dalam kehidupan sebenar.

Masalah-masalah dalam buku teks hanya mempunyai satu jawapan yang betul. Para pelajar dikehendaki mencari jawapan itu sampai dapat. Dalam kehidupan yang sebenar, semua masalah dapat dijawab dan diselesaikan dengan bermacam-macam cara. Semua jawapan itu betul belaka. Tidak semua jawapannya dapat dicari. Kebanyakannya perlu dicipta.


Mengajar Orang Berfikir Cara Baru

Ramai orang, terutamanya ketua-ketua pejabat, tidak berapa setuju orang diajar berfikir, lebih-lebih lagi diajar berfikir secara kritikal. Mereka bimbang apabila orang diajar berfikir, mereka menjadi tambah kuat mengkritik, membantah, melawan, mencabar dan menentang, lalu mereka sukar dikawal, tidak mahu patuh pada arahan sehingga keadaan menjadi lebih buruk daripada waktu mereka belum diajar berfikir. Pada masa ini memang ada orang-orang yang menyamakan kegiatan berfikir dengan kegiatan mengkritik, membantah, melawan, mencabar dan menentang apa-apa yang pada masa ini dianggap baik dan betul.

Ketua-ketua pejabat, guru-guru, malah ibu bapa pun adalah antara mereka yang satu masa dahulu tidak berapa setuju orang-orang dan anak-anak diajar berfikir. Mereka berpendapat mengajar orang berfikir menimbulkan pertikaian pendapat yang tidak habis-habis dan ia merosakkan ketenteraman yang ada sekarang, lalu menimbulkan perpecahan pendapat dan akhirnya permusuhan. Ramai juga yang percaya mengajar orang berfikir secara kreatif mempunyai kesan negatifnya. Apabila semua orang sudah pandai mencipta idea, akan terjadi keadaan di mana timbul terlalu banyak idea. Situasi begitu boleh menyebabkan timbulnya kekeliruan. Orang jadi tidak tahu mana idea yang betul dan keadaan boleh menjadi tambah membingungkan. Setiap orang mahu supaya ideanya saja yang diterima, dan masing-masing berkeras mempertahankan keistimewaan idea masing-masing lalu merosakkan persepakatan yang ada sebelumnya. Walau idea yang mana yang diterima, ia mencetuskan protes daripada pihak-pihak lain yang ideanya ditolak. Memang bagi sesetengah orang istilah `berfikir’ disamakan dengan aktiviti berfikir bagi tujuan memprotes tetapi kefahaman seperti itu adalah silap. Kemahiran berfikir bukan kemahiran memprotes dan ramai orang yang pandai memprotes sebenarnya tidak pandai berfikir.


Belajar Berfikir Bukan Belajar Logik

Sehingga hari ini masih ramai orang yang percaya belajar berfikir ialah belajar logik semata-mata. Sebenarnya belajar berfikir bukanlah belajar logik, seperti yang selalu disalah sangkakan. Belajar berfikir ialah belajar persepsi, kerana kebijaksanaan ialah kesan daya persepsi, atau daya tanggap. Belajar logik tidak dapat menghasilkan kebijaksanaan, ia hanya menghasilkan kepintaran. Teka-teki, permainan matematik dan macam-macam `main-duga’ tidak berguna untuk belajar kemahiran berfikir kerana itu semua tidak memerlukan seseorang memperbaiki daya persepsinya bagi mencari jawapan kepada teka-teki itu.

Bercakap Dan Berfikir

Ramai orang keliru antara kemahiran berfikir dan kepetahan bercakap. Sering kali kita mendengar ketua-ketua di pejabat membuat kenyataan yang membawa maksud pegawai-pegawai yang fasih bercakap dan berkomunikasi adalah lebih pintar dan lebih pandai bekerja daripada mereka yang kurang fasih bercakap. Di kalangan ibu bapa juga mereka menyangka anak-anak yang petah bercakap ialah anak-anak yang cerdik.

Ramai orang keliru antara kemahiran berfikir dan kemahiran mengemukakan hujah dengan cara-cara yang tersusun rapi. Individu-individu yang pandai berhujah sering disangka orang yang pandai berfikir. Pemerhatian yang dibuat ke atas individu-inddividu yang petah bercakap dan pandai berhujah me-nunjukkan apabila mereka melihat sesuatu idea, mereka cepat membuat keputusan. Mereka berkata umpamanya, “Tidak sesuai.”, “Tidak elok.”, “Aku tidak setuju.” dan lain-lain seperti itu. Sesudah mereka membuat keputusan itu mereka me-nyokong pendapatnya dengan menggunakan kepintaran mereka bagi mencari pelbagai alasan dan menyusun hujah-hujahnya bagi mewajarkan keputusan mereka. Alasan yang diberikan mungkin tepat, hujahnya teratur, tetapi pemikirannya mungkin selekeh sekali _ selekeh disebabkan di dalam pemikiran mereka terdapat kesalahan persepsi yang serius.

Di sekolah, guru-guru keliru antara kemahiran berbahas dengan kemahiran berfikir. Pelajar-pelajar yang pintar berbahas dipercayai mahir berfikir. Kemahiran berbahas ialah kemahiran membuktikan bahawa orang lain salah: “Saya berjaya mem-buktikan awak salah, oleh itu saya betul.” begitulah intipati perbahasan. Tetapi, kalau orang lain salah, itu bukan bukti kita betul. Dalam lain perkataan, kalau kayu orang lain terbukti bengkok, itu tidak bermakna kayu kita lurus. Kepetahan bercakap lahir daripada kemahiran menyusun perkataan, penguasaan perbendaharaan kata, serta bunga-bunga bahasa. Ini diperhebat oleh adanya bahan-bahan rujukan yang banyak dan pengetahuan tentang bermacam-macam konsep. Kepetahan jenis ini tidak mempunyai kaitan dengan kemahiran berfikir. Hujah yang tidak mengandungi sebarang kesilapan logikal bukanlah bukti kemahiran berfikir. Banyak hujah yang logikal adalah didasarkan kepada nilai-nilai yang tidak dapat diterima. Banyak hujah yang logikal pula adalah berdasarkan kepada persepsi yang sempit ataupun salah.


Kepintaran Dan Kemahiran Berfikir

Ramai orang sampai hari ini percaya asal dia pintar, itu sudah cukup. Mereka benar-benar percaya orang-orang yang pintar tentu pandai dan cekap berfikir. Begitu juga sebaliknya, orang yang kurang pintar tentu kurang pandai berfikir. Edward de Bono mengatakan hasil daripada pengalaman dan kajian-kajian yang beliau lakukan, terbukti ramai individu-individu yang sangat pintar tidak semestinya pandai berfikir. Apabila mereka berfikir, mereka terjerumus ke dalam apa yang beliau istilahkan sebagai `perangkap kepintaran’ dan akibatnya mereka tidak berfikir dengan baik.

Otak yang pintar adalah suatu potensi sahaja, manakala ber-fikir ialah suatu kemahiran. Otak digunakan bagi mendapatkan hasil daripada potensi itu. Otak adalah ibarat tepung. Berfikir ialah ibarat kemahiran menguli tepung itu. Ada orang yang memiliki banyak tepung, tetapi tidak mahir mengulinya oleh itu roti yang mereka hasilkan tidak lazat. Ada orang mempunyai sedikit tepung, tetapi dia mahir menguli tepung itu dengan bermacam-macam cara oleh itu dia dapat menghasilkan bermacam-macam jenis roti yang lazat-lazat belaka.

Memiliki kepintaran atau IQ yang tinggi sahaja belum cukup. Ramai orang yang pintar tidak memiliki kemahiran berfikir. Sebaliknya ramai orang yang mempunyai IQ biasa-biasa saja, pandai berfikir. Kepintaran ialah suatu potensi, sebagai contoh semua orang mempunyai potensi menjadi perenang. Berfikir ialah umpama kemahiran yang membolehkan kita menggunakan potensi berenang bagi menjadi perenang yang baik. Umumnya orang percaya kepintaran dan daya berfikir adalah dua perkara yang serupa. Jadi, orang yang pintar dipercayai ialah orang yang pandai berfikir. Kekeliruan ini menyebabkan sistem pendidikan kita melakukan kesilapan serius. Pertama, guru-guru percaya para pelajar yang mempunyai IQ tinggi secara automatik pandai berfikir, oleh itu mereka tidak perlu diajar berfikir. Kedua, guru-guru percaya para pelajar yang tidak memiliki IQ tinggi tidak perlu diajar berfikir kerana kononnya mereka tidak mempunyai bakat berfikir, dan tidak akan menjadi pemikir yang baik.

Apakah faktor yang menyebabkan individu-individu pintar menjadi pemikir yang tidak mahir? Ramai orang mempunyai IQ tinggi, tetapi apabila mereka berfikir, mereka cuma meng-ambil satu sudut pandangan sahaja, dan kemudian mereka mempertahankan sudut pandangan yang diambilnya itu dengan menggunakan IQ mereka. Disebabkan mereka pandai mempertahankan sudut-sudut pandangan yang mereka anuti, mereka pun berasa tidak perlu menerokai perkara itu daripada sudut-sudut pandangan lain ataupun yang lebih lebih luas dan mendalam. Mereka juga berasa mereka tidak perlu mendengar pendapat-pendapat orang lain yang bertentangan dengan pendapat mereka sendiri. Ini ialah salah satu ciri gejala `perangkap pintar’ yang biasa berlaku pada orang-orang pintar.

Pelajar-pelajar sekolah yang pintar biasanya pandai menyelesaikan bermacam-macam teka-teki yang terdapat dalam buku-buku teks mereka. Masalah-masalah yang ada di dalam buku-buku teks menyediakan semua komponen yang diperlukan oleh si pelajar bagi mendapatkan jawapan teka-teki itu. `Kalau di sebuah sekolah ada 100 orang murid, 57 orang dijangkiti sakit mata, berapa orang yang pergi sekolah?’ Pelajar yang pintar memproses maklumat-maklumat yang ada di dalam soalan itu iaitu 100 dan 57, dan memberi jawapan 43. Pelajar yang pintar tidak mencari maklumat-maklumat tambahan yang tidak ada di dalam masalah yang perlu diselesaikan. Mereka juga tidak mahir menilai maklumat-maklumat itu. Sebagai contoh, jawapan bagi soalan di atas mungkin 30 ataupun 78 orang, ataupun lain-lain angka. Itu terpulang pada maklumat tambahan yangdapat diperolehi. Ada beberapa kemungkinan dalam situasi itu: mungkin ada pelajar yang belum dijangkiti tetapi tidak mahu pergi sekolah kerana takut terjangkit. Pelajar yang pintar belum tentu mahir mencari maklumat-maklumat tambahan seperti itu. Mereka juga tidak mahir menilai maklumat. Sebagai contoh penyakit mata bukan jenis yang sangat berbahaya, oleh itu mungkin kebanyakan pelajar yang sakit itu tetap pergi sekolah, itulah sebabnya mungkin 78 orang akan pergi sekolah.

Orang-orang yang pintar juga boleh menjadi pemikir yang selekeh kerana masalah ego. Mereka yang sangat pintar sering kali suka betul sahaja. Mereka tidak mahu mengaku mereka mungkin salah. Ini menyebabkan mereka suka mengkritik orang lain dan menolak pendapat-pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya sendiri. kalau hendak membuktikan orang lain salah tidak memerlukan kepintaran yang tinggi, oleh itu orang-orang yang sangat pintar dengan mudah menggunakan kepintaran yang mereka miliki bagi mencari kesalahan-kesalahan orang lain. Orang-orang yang pintar tidak berminat memberi jawapan spekulatif. Mereka takut membuat spekulasi kerana di situ ada risiko mereka mungkin salah, oleh itu mereka hanya mahu menjawab masalah-masalah yang sudah tentu betul atau-pun salah. Ini bererti, mereka hanya mahu menjawab masalah-masalah yang sudah diketahui dengan pasti semua maklumatnya. Masalah-masalah yang semua maklumatnya diketahui hanya wujud dalam buku-buku teks. Di luar buku teks, masalah seperti ini jarang sekali ditemui.

Sistem pendidikan kita memberi fokus pada kepintaran. Teka-teki, ujian, peperiksaan dan sistem nilai kita memberi keutamaan pada kepintaran. Sistem pendidikan mengutamakan perkembangan kepintaran para pelajar dan tidak peduli pada aspek kebijaksanaan. Ini kerana kita menyangka kebijaksanaan datang sendiri hasil daripada pengalaman hidup dan usia dewasa. Oleh itu kita menyangka kebijaksanaan tidak boleh diajar dan dipupuk. Ia hanya boleh dinanti. Sangkaan bahawa kepintaran boleh dipelajari manakala kebijaksanaan tidak boleh dipelajari adalah salah.

Sewaktu di sekolah dan di universiti, individu-individu yang dikatakan pelajar pintar amat pandai menjawab bermacam-macam soalan, di mana semua maklumat yang diperlukan bagi menjawabnya ada diberikan. Tetapi mereka kurang pandai mencari jawapan bagi masalah-masalah yang mengkehendaki mereka mencari maklumat-maklumat yang diperlukan bagi mendapatkan jawapannya. Mereka juga kurang pandai menaksir nilai maklumat-maklumat tersebut. Orang-orang yang pintar juga sentiasa mahu betul sahaja dan mereka takut melakukan kesilapan, oleh yang demikian mereka banyak berfikir bagi membuktikan orang lain salah dan mengkritik orang lain.

Membuktikan orang lain salah adalah tugas yang mudah, tetapi itu tidak membuktikan dia betul. Disebabkan orang-orang pintar takut salah, ini bererti mereka tidak berminat menyelesaikan masalah yang memerlukan mereka berfikir secara spekulatif, oleh itu mereka takut mengambil risiko kerana di dalam usaha mencari jawapan-jawapan seperti itu, mereka tidak yakin mereka betul. Ini sama sekali tidak bererti orang yang pintar tidak dapat menjadi pemikir yang mahir kerana bagi menjadi orang yang pintar dan mahir berfikir sekaligus, seseorang itu hanya perlu belajar teknik-teknik berfikir yang betul, iaitu berfikir cara baru.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024