Artikel

Kisah di Sebalik Buku Al-Amin

oleh Roziyah pada 09 May 2011

Peluang bertemu dengan Sasterawan Negara, Dato’ A. Samad Said tidak dilepaskan wakil media PTS. Kesempatan bertemu penulis tersohor ini digunakan bagi mendapatkan maklumat secara mendalam perihal buku terbaru beliau yang diterbitkan semula oleh PTS Pop Sdb Bhd.

Buku Al-Amin yang mendapat sambutan hangat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 lalu adalah sebuah karya yang bererti bagi Dato’ A. Samad Said.

“Al-Amin adalah suatu yang bererti bagi saya kerana sebelum ini saya banyak menghasilkan perihal duniawi malah ada yang kurang senang apabila saya menyorot kisah orang bawahan, wanita malang malah wanita yang rendah moral dalam tulisan saya.

“Ramai yang tidak mengetahui kisah yang saya bawa itu kebetulan berlaku dalam kehidupan saya. Saya cuba menangkap wanita yang malang supaya masyarakat memahaminya,” ujar Dato’ A. Samad Said.

Beliau menjelaskan Al-Amin adalah pencarian Dato’ A. Samad Said secara spiritual perihal Yang Maha Esa.

Bercerita mengenai proses penghasilan puisi terpanjang yang berkisar perihal riwayat hidup Rasulullah, Dato’ A. Samad Said menjelaskan puisi itu dihasilkan selama dua tahun 6 bulan. Sebelum itu beliau juga berusaha membaca apa sahaja yang berkait dengan kisah hidup Nabi Muhammad.

“Menulis puisi tidak semudah menulis prosa kerana prosa tidak banyak hukum yang perlu dikuasai. Puisi sudah tersedia elemen tertentu yang perlu dipatuhi.

“Al-Amin menurut ulasan pakar adalah satu pencapaian yang munasabah dan penting kerana ia adalah satu-satunya puisi terpanjang di dunia Melayu. Puisi panjang ini menjadi mercu tanda dalam sastera Islam.

Saya berterima kasih kepada PTS dan semua yang menjayakan penerbitan semula buku ini. Saya juga berharap buku ini dapat diulang cetak. Mungkin juga ada peristiwa dalam buku ini yang dapat digunakan untuk deklamasi. Saya juga bersedia mendeklamasikannya,” jelas Dato’ A. Samad Said lanjut.

Puisi panjang Al-Amin yang menjadi puisi terpanjang di nusantara bercerita peristiwa kehidupan Rasulullah. Dalam puisi ini juga diselitkan bagaimana kaabah dibangunkan, bagaimana nabi menerima ayat pertama dan pelbagai peristiwa penting sepanjang kehidupan Rasulullah sehinggalah Rasulullah bersedia menerima maut.

“Setiap kali bab itu saya baca, air mata saya dengan spontan akan mengalir,” jelas Dato’ A. Samad Said mengakhiri perbualan bersama wakil media PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024