Artikel

Travelog Kembara Buku Pamerkan Khazanah Buku Dunia

oleh Roziyah pada 26 Oct 2010

Gambar 1: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’ Cruz merasmikan Travelog Kembara Buku.

 

Dunia perbukuan di Malaysia kini menunjukkan peningkatan yang memberansangkan dengan wujudnya pelbagai bentuk program bagi meningkatkan minat membaca di Malaysia.

Terbaru, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengadakan majlis pelancaran rancangan Travelog Kembara Buku yang akan disiarkan di RTM bermula 7 November ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’ Cruz ini menampilkan khazanah dan sejarah buku di seluruh dunia.

“Melalui dokumetari ini, kita dapat melihat pentingnya ilmu yang mempengaruhi tamadun masyarakat. Rancangan ini dapat meningkatkan industri buku di Malaysia.

“Kerajaan juga mempunyai hasrat membina kota buku dan menjadikan industri buku sebagai penyumbang utama ekonomi negara,” jelas Datuk Maglin Dannis D’ Cruz sebelum merasmikan rancangan Travelog Kembara Buku ini.

Majlis pelancaran Travelog Kembara Buku ini diadakan secara meriah di PNM semalam. 

Rancangan Travelog Kembara Buku yang berbentuk dokumentari ini menampilkan kepentingan buku ini membawa penonton melihat khazanah dan sejarah buku daripada negara Arab Saudi, Mesir, Indonesia dan Malaysia sendiri.

Travelog Kembara Buku juga membawa penonton melihat dunia buku PTS yang sentiasa memperjuangkan buku-buku bahasa Melayu di Malaysia.

Melalui perantarannya, Sayed Munawar membawa penonton menjelajah sekitar Arab, Mesir, Indonesia dan Malaysia bagi melihat khazanah perbukuan dunia yang luar biasa.

 

Gambar 2: Tuan Sayed Munawar menjadi perantara dalam rancangan Travelog Kembara Buku yang mengangkat martabat buku.

 

Rancangan tersebut juga menampilkan sasterawan dan tokoh-tokoh besar dalam dunia buku dari semua negara yang dijelajahi.

Rancangan ini akan menemui penonton bermula 7 November ini. Rancangan 13 episod itu dipaparkan di TV1 pada hari Ahad jam 2.30 petang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024