- Laman Web
- www.chitchatremaja.com
Mohd Fadzli Abu Bakar adalah anak Johor yang dilahirkan pada 22 Julai 1979. Beliau mendapat pendidikan awal pada peringkat sekolah menengah di Madrasah al-Attas al-Arabiah, Johor. Seterusnya melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana Muda di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin, pengkhususan Hadis dan Ulum al-Hadis. Kini melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana dalam bidang Psikologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Dalam bidang penerbitan, beliau mula melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 2002 dengan menulis buku motivasi agama. Seterusnya, beliau turut melibatkan diri dalam bidang penterjemahan buku-buku agama berbahasa Arab kepada bahasa Melayu. Beliau seorang yang aktif dalam persatuan pada peringkat pengajian Sarjana Muda. Dalam bidang kerjaya, beliau seorang yang berkebolehan dalam skop tugas-tugas khas penerangan dan penyelidikan. Dalam menjalankan tugas-tugasnya, beliau terlibat secara langsung dengan penyelenggaraan laman web, penyelidikan isu-isu semasa, pengurusan seminar, penulisan artikel, kertas kerja, buku, media dan teks-teks rasmi. Di samping menjalankan tugas-tugas rutin, beliau aktif dalam penganjuran seminar kemasyarakatan. Begitu juga dengan program-program dan bengkel-bengkel yang berkaitan dengan bidang dakwah dan psikologi. Dalam penulisan buku-buku remaja, beliau berjaya menulis buku Siri Chit Chat Remaja. Buku ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pembaca remaja, bahkan disambut baik juga oleh golongan dewasa dan akademik. Dari awal tahun 2006, lebih lima buah siri ini diterbitkan. Buku-buku itu adalah: 1. Siri Chit Chat Remaja mengenai Sahabat 2. Siri Chit Chat Remaja mengenai Ibu Bapa 3. Siri Chit Chat Remaja mengenai Langkah Kejayaan 4. Siri Chit Chat Remaja mengenai Masa 5. Siri Chit Chat Remaja mengenai Potensi Diri 6. Siri Chit Chat Remaja mengenai Diet Kini, selain menjalankan tugas-tugas kerjayanya, beliau masih terus menjayakan Siri Chit Chat Remaja ini bagi tujuan penerbitan akan datang yang berkesinambungan. Beliau juga turut memiliki kemahiran dalam bidang kaunseling dan terlibat dalam penulisan buku mengenai kaunseling.