Artikel

59 Tahun Malaysia Merdeka, Tetapi Bagaimana Kemerdekaan Bersuara Antara Kita?

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 22 Aug 2016

“Beginilah, orang tidak mahu dengar pendapat kamu. Mereka mahu dengar pendapat mereka, keluar dari mulut kamu,” bisik Buzz Lightyear kepada Woody.

Kamu bersetuju dengan pendapat ini?

Kalau diperhatikan, tidak dinafikan ada segelintir individu yang bersikap sebegini. Mereka seakan memandang remeh pendapat orang lain, dan memaksa pula agar pendapatnya diterima pakai.

Betapa angkuhnya mereka ini! Tidakkah mereka tahu, setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing?

Inilah apa yang dikatakan HAMKA sebagai kemerdekaan berpendapat. Melalui salah satu Siri Mutiara Falsafah, iaitu Lembaga Hidup, ternyata kemerdekaan hidup hanya dinikmati apabila gerak-gerinya tidak dikongkong.

“Seseorang itu bukan sahaja tidak boleh dipaksa mengerjakan pekerjaan yang buruk menurut timbangannya, tetapi mesti pulalah diberi kebebasan mengerjakan pekerjaan yang diperintahkan akalnya sendiri.”

Tidak dinafikan, kita bebas mengatakan apa yang terasa di hati. Tetapi masih tetap perlu melihat kepada siapakah pendapat kita itu dilontarkan.

Ia sebagaimana pendapat seorang ahli falsafah Perancis, Ernest Renan seperti yang dipetik dalam buku yang sama.

“Jika yang akan menerima itu belum dapat menyaring yang benar dan menyingkirkan yang salah, hendaklah hati-hati menyatakan pendapat, sebab kemerdekaan menyatakan pendapat, meskipun ada pada tiap-tiap orang, sampai sekarang belum juga jelas di mana batasnya.”

Inilah pula yang dinamakan sebagai menghormati kemerdekaan berpendapat. Kita bukan menghalangi kemerdekaan bersuara, tetapi yang perlu dijaga adalah kedudukan dan tingkatan orang yang akan mendengar.

Baca, Adakah Kita Sudah Merdeka?

Baca, Pintu Ijtihad Dalam Islam Belum Tertutup

Kalau terjadi perdebatan antara dua pihak, dan yakin pula pendapat lawannya salah, dia pasti mempertahankan pendirian yang benar dengan tangkas dan alasan jitu, tetapi jangan sekali-kali menyinggung kehormatan diri dan hak kemerdekaan lawannya itu.

Ini pula dinamakan pertukaran fikiran (yang dalam jurnalistik) dikenali sebagai objektif.

Jadi, merdekakan dahulu perasaan menghormati kemerdekaan berpendapat orang lain sebelum kamu menyuarakan pendapat!

Bookcafe tawar diskaun berganda sempena Merdeka

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024