Mengenai PTS
Siapa Kami
Sejarah PTS
PTS menceburi industri buku demi misi memandaikan bangsa.
Pengasas: Puan Ainon Mohd dan Professor Emeritus Dr. Abdullah Hassan.
Pada tahun 1988:
PTS Consultants Sdn. Bhd. ditubuhkan bagi menawar khidmat konsultansi penerbitan, latihan suntingan teks dan susun atur huruf. Singkatan PTS adalah Professional Training Service.
Pada tahun 2000:
PTS aktif menerbit dan mengedar buku dalam bahasa Melayu yang sesuai untuk bacaan umum.
PTS menampilkan kualiti bermutu daripada segi latihan penulis, teknik menulis, para penulis, kaver, kandungan, tatabahasa, jualan buku dan pemasaran penulis. Hingga kini aktiviti penerbitan PTS diurus oleh dua (2) anak syarikat penerbitan yang menerbitkan genre berbeza.
Pada tahun 2012:
PTS Consultants Sdn. Bhd ditukar nama kepada PTS Media Group Sdn. Bhd. Secara rasmi digunakan bermula 4 Januari 2012, demi meluaskan pelaburan dan peluang bisnes dalam bidang penerbitan, pemasaran, media dan produksi.
PTS Hari Ini:
PTS hari ini adalah gabungan beberapa syarikat penerbitan dan pengedaran atau dikenali sebagai PTS Media Group. PTS masyhur sebagai penerbit pakar IT kerana menggunakan internet sebagai medium utama mempromosi buku terbitan PTS. Paparan web http://www.pts.com.my bercorak interaktif dan mesra pengguna. Pelayar dapat melihat paparan buku terkini, membaca artikel dan menjadi peminat buku PTS. Sertai komuniti online PTS melalui Facebook dan Twitter. Taip sahaja bukuPTS dan selamat datang ke dunia PTS.
Aktiviti PTS
Kumpulan PTS bergiat aktif dalam sektor penerbitan dan pengedaran buku dalam Bahasa Melayu.
Buku-buku yang diterbitkan oleh PTS adalah:
- Semua kategori buku kreatif dan bukan kreatif karya asal penulis Malaysia.
- Karya terjemahan daripada bahasa Indonesia, Inggeris, Arab, Cina dan lain-lain bahasa.
Rancangan Masa Hadapan PTS
PTS mempunyai 2 target utama:
- Menjadi penerbit yang menerbitkan 1000 judul baru setiap tahun.
- Menjadi korporat yang sahamnya didagangkan di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Kumpulan Syarikat-Syarikat PTS
Syarikat Induk
PTS Media Group Sdn. Bhd. (173482A) (dahulunya dikenali sebagai PTS Consultants Sdn. Bhd.)
Syarikat Penerbitan
1. PTS Publishing House Sdn. Bhd. (678177-A)
2. Open Bridge Publications Sdn. Bhd. (678274-D)
Syarikat Pengedaran
1. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (510952-X)
2. PTS Bookcafe Sdn. Bhd. (924422-P)
3. PTS Events & Exhibitions Sdn. Bhd. (887397-V)
Dasar-Dasar Perniagaan PTS
Dalam menjalankan bisnesnya PTS berpegang kepada prinsip-prinsip berikut:
1. Bebas daripada rasuah
- Ini bermakna pegawai-pegawai PTS tidak akan merasuah mana-mana pihak dalam kerajaan bagi tujuan mendapatkan kontrak kerajaan, ataupun merasuah pegawai bank bagi mendapatkan kemudahan kewangan, ataupun merasuah kontraktor buku, ataupun sesiapa sahaja bagi tujuan apa-apa sahaja.
- Ini juga bermakna pegawai-pegawai PTS tidak akan meminta bantuan dan jasa baik daripada mana-mana individu yang mempunyai kuasa membuat keputusan yang menguntungkan bisnes PTS.
- Ini juga bermakna pegawai-pegawai PTS tidak akan menerima ataupun memberi layanan istimewa kepada mana-mana penulis, editor freelance, ilustrator freelance, pencetak dan pembekal PTS.
2. Mengaplikasikan pengurusan cara Islami
- Ini bermakna PTS membayar zakat perniagaan pada setiap bulan berdasarkan jumlah kutipan hutang, dan PTS mengeluarkan bantuan kepada anggota masyarakat yang layak menerima zakat dan bantuan.
- Ini juga bermakna pegawai-pegawai PTS tidak melakukan perkara seperti pilih kasih dan memberi layanan istimewa kepada orang bawahan, kepada penulis, kepada petugas freelance, kepada pembekal, kepada kontraktor, kepada pengedar dan kedai buku, dan mana-mana individu yang mempunyai kepentingan.
- Ini bermakna pegawai-pegawai PTS membuat semua keputusan berdasarkan SOP (standard operating procedure) yang ditetapkan oleh pengurusan.
3. Bekerjasama dan saling bantu-membantu dengan penerbit-penerbit lain
- Ini bermakna PTS tidak melakukan perkara-perkara yang merugikan bisnes rakan-rakan sesama penerbit buku.
Sikap Bisnes PTS
PTS adalah sebuah penerbit yang sangat komersial.
PTS sangat mementingkan keuntungan daripada jualan buku-buku yang diterbitkannya.
Hanya buku-buku yang laku dijual di kedai-kedai buku sahaja yang diterima oleh PTS.
Bagi mengawal risiko kerugian akibat menerbitkan buku-buku yang kurang laris, PTS sentiasa menganalisis trend-trend terkini pasaran buku-buku Melayu.
Justeru PTS merancang judul-judul yang akan diterbitkannya sesuai dengan trend pasaran.
Inilah faktor yang menyebabkan PTS menolak 90% manuskrip yang dihantar oleh penulis dengan tidak merujuk kepada PTS terlebih dahulu atas dasar manuskrip itu tidak memenuhi kehendak kedai-kedai buku.
Budaya Kerja PTS
PTS adalah sebuah syarikat yang mengamalkan budaya kerja korporat. Dalam perkataan lain, PTS tidak mengamalkan budaya kerja ‘towkay’.
Semua kerja dilaksanakan oleh pegawai-pegawai PTS dengan berpandukan Standard Operating Procedures (SOP).
Justeru:
- PTS mempunyai kerenah birokrasinya sendiri, hanya sahaja kerenah itu sudah amat diminimumkan.
- Kuasa-kuasa ahli lembaga pengarah PTS dipisahkan daripada kuasa-kuasa pegawai-pegawai eksekutif PTS.
- Pengerusi PTS tidak mempunyai kuasa eksekutif, meskipun beliau merupakan pemegang saham PTS yang terbesar. Oleh itu Pengerusi PTS tidak akan membatalkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh para pegawai PTS.
Dasar-Dasar Editorial PTS
PTS hanya menerbitkan buku-buku yang kandungannya mempunyai ciri-ciri berikut:
- Memandaikan bangsa
- Mematuhi hukum syariah
- Menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT)
Dasar Bahasa PTS
PTS hanya menerbitkan manuskrip yang ditulis sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.
Ciri-ciri Bahasa Melayu Tinggi adalah:
- Menggunakan sistem ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
- Menggunakan tatabahasa yang standard sebagaimana yang digunakan dalam bukuTatabahasa Dewan. Semua ayat hendaklah ayat yang lengkap subjek-predikatnya.
- Kosa kata yang digunakan adalah kosa kata Bahasa Melayu standard, bukan bahasa dialek.
- Tidak menggunakan perkataan kontot seperti tak, nak, dah, tu, ni dan lain-lain.
Hakcipta Buku-Buku PTS
- Pada amnya, PTS mengamalkan dasar tidak membeli hakcipta buku-buku yang diterbitkannya.
- Dengan demikian hakcipta buku-buku terbitan PTS kekal dimiliki oleh penulis.
- PTS hanya melesen daripada pengarang hak menerbitkan karya-karya mereka. Maksudnya pengarang memberikan izin kepada PTS bagi menerbitkan, mengedar, dan menjual buku-buku mereka.
- Hanya dalam kes tertentu sahaja penulis menjual hakcipta kepada PTS. Sebagai contoh, bagi buku-buku yang kandungannya tidak tahan lama dalam pasaran.