Artikel

Wizra, Novel Kedua Selepas Aristokra. Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

oleh Bastian Affendy pada 16 Jan 2017

Saya bersyukur kerana sekali lagi diberi kesempatan untuk mengikuti kesinambungan Kronika Nashan menerusi Wizra, buku kedua didalam kronika tersebut.

Kepada mereka yang mungkin masih belum mengetahui, Kronika Nashan merupakan buah tangan ‘comeback’ daripada Ahmad Patria Abdullah, penulis fantasi dan sains fiksyen tanah air nombor satu yang sebelum ini lebih dikenali menerusi buku-buku didalam siri fantasi Saga Artakusiad.  

Kronika ini turut berkongsi geografi penceritaan yang sama dengan Saga Artakusiad iaitu di alam benua Imagina dan didalam Wizra ini, dua karya terulung Ahmad Patria ini dipertemukan dengan lebih dramatik lagi.

Secara asasnya, Wizra menyambung naratif didalam Aristokra (buku pertama Kronika Nashan) tentang kisah Melyn sebagai Aristokra Nashan, dan juga menyambung sorotan Perang Nashan yang sedang berlangsung.

wizra

Namun seperti Aristokra, penulis menggunakan teknik imbas kembali yang berlapis-lapis untuk mengembangkan penceritaan kronika ini, dan ketika inilah elemen-elemen penting Saga Artakusiad muncul kembali,menerjah kenangan silam, membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak ketika pertama kali membaca buku Permata Aurorius di perpustakaan sekolah.

Bermula dengan pertemuan diantara  Melyn dan Merkia mengenai suatu elemen penting yang mungkin merubah keputusan Perang Nashan, naratif Wizra perlahan-lahan menarik saya kembali ke Aurora, bagaikan ke sebuah  prekuel kepada Permata Aurorius.

Sedikit demi sedikit, judul buku kedua ini mula mengambil tempatnya dimana naratif tentang wizra-wizra di alam Imagina dirungkaikan dengan teliti oleh penulis. Dan tunjang kepada elemen ini adalah kisah hidup Nazril, karmawizra kepada kelana Armorikus.

Secara jujurnya, saya merasakan Wizra bagaikan dinukil khas untuk menggamit nostalgia peminat setia Saga Artakusiad seperti saya ini.

Ahmad Patria

(Ahmad Patria, penulis Wizra ketika pelancaran novel Aristokra di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016, tahun lalu di MAEPS, Serddang)

Penulis pernah menyatakan di dalam kumpulan Whatsappnya (dimana saya turut menyertainya), bahawa Kronika Nashan adalah satu peluang yang amat sesuai baginya untuk mendefinisikan semula Saga Artakusiad. Dan inilah yang benar-benar berlaku  didalam Wizra.

Izinkan saya untuk memberi sedikit klu disini. Kehidupan Nazril sebagai karmawizra, misteri kedatangan Artakus ke Aurora, punca kejatuhan pemerintahan beraja Aurora yang terakhir, sedikit bayangan tentang perseteruan diantara Merkia dan Musuh dan peranan Merkia yang sentiasa menjadi  ‘tangan ajaib’ di sebalik cetusan peristiwa-peristiwa tersebut seharusnya sudah cukup untuk membuatkan mana-mana pembaca tegar Saga Artakusiad berasa teruja untuk memiliki buku ini.

Ahmad patria

(Pembaca karya Ahmad Patria menjulang novel Aristokra ketika pelancarannya pada tahun lalu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di MAEPS, Serdang)

Namun begitu, Wizra tidak membiarkan elemen terpenting Kronika Nashan ditenggelamkan dengan kehadiran elemen-elemen daripada Saga Artakusiad.

Penulis bijak mengingatkan kembali bahawa naratif terbesar didalam Wizra masih merujuk kepada Melyn yang sedang cuba mempertahankan kedaulatan negaranya daripada ancaman musuh. Malahan, jika dibandingkan dengan Aristokra, Wizra memaparkan ciri-ciri kepintaran dan kebijaksanaan Melyn sebagai Aristokra Nashan dengan lebih terperinci dan ini dapat dilihat menerusi cara Melyn menangani soal-soal pentadbiran, hal-ehwal diplomasi dan kewangan Nashan.

Melyn ternyata mewarisi kehebatan aristokra-aristokra Nashan yang mendahuluinya, walaupun sudah lingkungan seratus tahun kerajaan Nashan wujud semenjak era Aristokra Shilrung.

novel aristokra

(Novel Aristokra, novel pertama dalam siri Kronika Nashan. Klik di sini untuk membeli)

Wizra juga mengambil kesempatan untuk meluaskan skop dan topografi naratif wilayah Kushan yang selama ini agak terselindung dan bermisteri.

Penulis telah merungkaikan ruang kejiranan Nashan meliputi lebih banyak lagi kota nusa teras di wilayah Kushan, serta turut menggambarkan hubungan diplomatik, ekonomi dan sosial Nashan dengan kota-kota lain di dalam Kushan.

Adunan penceritaan adalah merupakan salah satu kekuatan utama Wizra. Penulis telah memasukkan pelbagai elemen (yang bagi saya adalah amat banyak) untuk menggerakkan naratif, namun kesemuanya mempunyai sebab yang munasabah untuk berada didalam Wizra.

Walaupun initipati cerita amat sarat dengan elemen-elemen Saga Artakusiad, namun setiap elemen tersebut mempunyai perkaitan yang rapat dengan tuntutan takdir yang telah dan bakal menimpa Nashan. Saya berasa kagum kerana diakhir cerita, kesemuanya tetap membawa saya kembali ke Nashan untuk pengembaraan yang seterusnya (barangkali di buku yang ketiga).

Ini adalah salah satu kepakaran Ahmad Patria didalam menggarap jalan cerita yang cukup mega seperti Kronika Nashan.

Wizra adalah sebuah naskhah yang masih mengekalkan semua kualiti yang wujud pada buku yang terdahulu: jalan cerita yang memikat, bahasa yang indah, kefahaman yang mendiami pelbagai lapisan serta sarat dengan pengisian ilmu, hakikat perjuangan diri dan pengajaran yang berguna untuk kehidupan manusia.

Pada saya, satu mesej penting yang saya perolehi daripada jalan cerita Wizra adalah natijah kehidupan manusia yang sentiasa ada jatuh dan bangunnya.  

Sebuah perjalanan hidup yang dimiliki oleh seorang individu yang hebat tidak semestinya mempunyai sejarah atau latar belakang yang sentiasa gemilang.

Wizra mampu menggambarkan saat-saat kejatuhan nilai seorang manusia dengan begitu realistik, kemudian perlahan-lahan membangunkan kembali  jiwa yang telah sedar akan kesilapannya, bangkit untuk meneruskan saki-baki kehidupan dengan lebih bermakna.

Menurut kata penulis didalam perbincangan kumpulan Whatsapp, Wizra merupakan titik pertembungan diantara karya-karya beliau yang terdahulu (dengan Saga Artakusiad sebagai karya terbesarnya) dengan Kronika Nashan dan kemudian  berpisah kembali untuk meneruskan perjalanan naratif masing-masing.

pts

(Kenangan penulis, Ahmad Patria bersama tim belakang tabir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016, MAEPS Serdang)

Segala karya beliau seperti cerpen-cerpen Amuk, Epsilon, Maisara, Pedang Damocles (sekadar menyebut beberapa nama) kini telah didefinisikan semula dan menyertai Saga Artakusiad serta Kronika Nashan didalam satu dunia fantasi yang sama dan saling berkaitan.

Peminat boleh membayangkan sendiri akan potensi naratif yang boleh terhasil akibat pertembungan bermagnitud sedemikian rupa.

Mungkin ulasan ini kelihatan lebih condong menitikberatkan aspek-aspek fantasi dan sains fiksyen, tetapi bagi saya itulah yang menarik minat saya untuk sentiasa membaca karya-karya Ahmad Patria.

Namun saya harus menegaskan bahawa fantasi dan fiksyen yang beliau ciptakan bukanlah suatu permainan minda yang kosong dan hampa tetapi sebenarnya berakar umbi daripada soal-soal kerohanian dan hubungan manusia dengan Pencipta alam semesta (setidaknya itulah yang saya dapat tuai daripadanya).

Aristokra

(Peminat Ahmad Patria beratur panjang menunggu giliran untuk mendapatkan autograf di PBAKL 2016, tahun lalu. Sesi autograf ini berlangsung selama 3 jam)

Pembaca bebas untuk memilih sendiri setakat mana peringkat hiburan dan kefahaman yang ingin diperolehi, sesuai untuk semua peringkat umur, budaya dan agama, akademik mahupun santai.

Bagi saya, secara peribadi , Wizra adalah naskhah susulan yang amat sentimental daripada aspek nostalgia dan bermaruah daripada aspek pengisiannya.

novel wizra

Wizra adalah sekuel yang seharusnya dimiliki oleh semua yang dahagakan genre fantasi berkualiti tinggi dan meliputi ruang lingkup penceritaan yang panjang dan bersifat universal.

Sekalung tahniah buat saudara Ahmad Patria kerana berjaya menghasilkan Wizra dan membuatkan saya teruja untuk menantikan naskhah susulannya pula selepas ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024