Artikel

Daripada Conteng-Conteng Biasa Akhirnya Terbit Menjadi Sebuah Komik

oleh Asri Yussof pada 21 Nov 2017

KUALA LUMPUR: Komik terbaru yang diterbitkan oleh Komik-M, Misi Solat 5 Waktu adalah sebuah karya komik yang ‘comel’ untuk mengajar remaja dan kanak-kanak untuk belajar perkara asas menunaikan solat 5 waktu.

Komik yang diilustrasikan oleh Nazrul Ali ini adalah karya pertama ilustrasi solo beliau. Bercakap tentang pengalaman, beliau sebelum ini cuma menconteng-conteng melukis kerana minat sahaja tetapi akhirnya, minat itu diubah menjadi bakat dan terhasilnya komik Misi Solat 5 Waktu.

Komik Misi Solat 5 Waktu ini mendapat kerjasama dari penulis komik terkenal, Nazry Salam. Beliau berkongsi di facebook, manuskrip untuk komik Misi Solat 5 Waktu ini telah dihantar kepada penerbit komik-M sejak 2013 lagi.

Beliau sangat bersyukur dengan rezeki ini, akhirnya komik Misi Solat 5 Waktu berjaya diterbitkan.

Nazry Salam

(Nazry Salam, dua dari kanan dan Ahmad Syahmi (penulis komik Misi Budak Tahfiz), kanan ketika menghadiri Pesta Buku Keningau pada oktober yang lalu. Foto: Asri Yussof).

Komik ini mengisahkan seorang budak bernama Imran dan guru agamanya Ustaz Azhar yang garang. Dalam masa seminggu, Imran perlu belajar solat semata-mata untuk lulus ujian amali Solat.

Daripada niat untuk lulus, ia berubah kepada rasa ingin selalu solat dengan ikhlas. Akhirnya hubungan Imran dan Ustaz Azhar menjadi baik.

Komik Misi Solat 5 Waktu

Perkara-perkara asas solat seperti syarat sah solat, rukun solat, perkara yang membatalkan solat, cara solat dari mula sehingga akhir, apa yang perlu dibaca di dalam solat, cara mengambil wuduk, dikongsikan oleh Nazry Salam dan Nazrul Ali dalam bentuk yang mudah dan kreatif.

Komik Misi Solat 5 Waktu

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak di peringkat remaja dan sekolah rendah, mungkin buku ini sesuai untuk anak anda. Selalunya buku-buku yang mengajar tentang solat kebanyakannya membosankan.

Mungkin dengan komik dan jenaka santai yang ada di dalam komik Solat 5 Waktu ini dapat membantu anak anda bagi menanam minat untuk bersolat.

Anda boleh dapatkan komik ini secara atas talian dengan klik di sini atau dapatkan di Kedai Buku PTS yang terletak di Batu Caves atau di kedai-kedai buku berdekatan anda.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024