Artikel

9 Kata-Kata Jack Ma Untuk Anda Yang Ingin Berjaya Dalam Dunia Perniagaan

oleh PTS pada 06 Jul 2017

Jack Ma adalah pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan Alibaba iaitu sebuah syarikat e-dagang antara yang paling berjaya di dunia. Jack ma adalah salah seorang individu paling kaya di planet ini dengan nilai bersih $21.8 bilion.

Beliau disenaraikan oleh FORBES di tangga ke-22 dalam senarai Individu Paling Berkuasa di Dunia. Selama hampir dua dekad, Jack Ma dan pasukannya bekerja keras bagi mewujudkan perniagaan yang menguntungkan dalam persekitaran positif untuk semua operasi ini.

jack ma

Jack Ma sentiasa berdiri teguh pada idea yang pemegang saham Alibaba perlu mengutamakan kehendak pelanggan dan kakitangannya. Salah satu moto Jack Ma yang paling terkenal adalah JANGAN SESEKALI MENYERAH KALAH. Ia mencerminkan sikap Jack Ma ketika menghadapi kegagalan dalam hidup.

Kami petik 9 kata-kata dari Jack Ma yang akan memberikan inspirasi kepada anda yang ingin berjaya dalam dunia perniagaan.

1. Dalam beberapa tahun lepas, sepanjang saya bekerja, saya sering menggelar diri saya MANUSIA BUTA MENUNGGANG SEEKOR HARIMAU BUTA. Pakar penunggang kuda juga pernah jatuh dari kuda masing-masing. Kami dapat terus hidup kerana kami risau tentang masa hadapan. Kami percaya pada masa hadapan. Kami mengubah diri kami.

2. Misi, nilai dan matlamat bersama adalah penting dalam semua syarikat atau organisasi. Tanpa tiga perkara ini, kita tidak boleh berjaya.

jack ma

3. Para jurujual TIDAK BOLEH FIKIRKAN tentang WANG sahaja. Mereka perlu juga fikirkan tentang CARA PRODUK mereka dapat membantu kejayaan pelanggan dan BERGUNA kepada orang lain. Matlamat ini dapat membantu meningkatkan keyakinan diri dan kebolehan menjual mereka.

4. Kini dunia mendambakan perdaban komersial baru. Dalam tamadun komersial lama, syarikat sangat fokus pada keuntungan. Pada abad ke 21 ini, syarikat perlu mengkaji semula hubungan mereka dengan masyarakat, alam sekitar, kemanusiaan dan para pelanggan mereka. Syarikat pada hari ini perlu sentiasa telus, bersikap terbuka, bertanggungjawab dan berpandangan global bagi mewujudkan kehidupan yang lebih baik.

Alibaba

5. Kami menilai para kakitangan berdasarkan dua standard, iaitu PRESTASI mereka dan SEMANGAT BERPASUKAN. Mereka yang berprestasi tinggi, tetapi tiada semangat berpasukan adalah ANJING LIAR. manakala mereka yang ada semangat pasukan, tetapi berprestasi lemah adalah ARNAB PUTIH. Kami tidak mengambil anjing liar atau arnab putih sebagai pekerja. Pekerja kami mesti cemerlang dalam kedua-dua perkara.

6. Pada minggu pertama, kami mempunyai tujuh orang pekerja. Kami buat semuanya sendiri. Kami yang menjual. Kami juga yang membeli. Pada minggu kedua, barulah ada penjual yang mula menjual di laman web kami. Kami beli semua barangan yang mereka jual. Ada dua bilik penuh dengan semua produk yang kami beli. Semuanya tidak digunakan. Semuanya seperti sampah. Itu yang kami lakukan sepanjang dua minggu pertama. Hanya semata-mata untuk memberitahu orang ramai yang laman web kami ini berkesan.

MENARIK: Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Jack Ma

Klik di sini untuk membeli buku Jack Ma

7. Pada tahun 1999, strategi awal Alibaba adalah bagi melompat pasaran e-dagang tempatan dan terus ke pasaran antarabangsa. Kami memanggil kaedah ini sebagai “melompat melangkau pasukan kumpulan A Bahagian Pertama dan terus masuk ke peringkat Piala Dunia”. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh 1999 sehingga 2001, Alibaba masih belum dikenali ramai. Fokus kami adalah pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Saya memberikan banyak pembentangan ketika berada di sana. Detik yang paling menyedihkan berlaku semasa acara kami di Jerman. Kami bersedia menerima 1500 tetamu. Namun, hanya tiga orang yang hadir! Saya berasa sangat malu pada ketika itu, tetapi pembentangan saya masih perlu diteruskan!

jack ma

8. Persaingan pasti akan berlaku. Ia adalah proses yang memaksa syarikat untuk berkembang. Pilih pihak yang paling baik untuk bersaing dengan mereka. Namun ingat, jangan sesekali mengambil hati secara peribadi. Jangan berjuang menentang pesaing, tetapi terima kehadiran mereka dan analisis konsep teras mereka. Persaingan tidak akan membunuh syarikat kita. Hanya kita yang boleh membunuh syarikat kita sendiri.

9. Pada tahun 1995, saya memulakan perniagaan dengan tangan kosong. Modal permulaan saya adalah kesungguhan dan kerja berkumpulan. Ramai usahawan berkata, tanpa wang, tidak boleh memulakan perniagaan. Itu tidak benar! Para usahawan sepatutnya didorong dengan tanggungjawab dan kerja berpasukan, bukan dengan duit. Usahawan sebenar tidak akan memikirkan duit dahulu, tetapi fokus pada impian mereka bagi memulakan syarikat. Duit adalah elemen terakhir.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024