Artikel
100 ebook PTS diterbitkan untuk pasaran digital
oleh Azree pada 30 Jul 2012
PTS mula mengorak langkah dalam penerbitan digital dengan lebih 100 tajuk buku dalam versi ebook. Bermula awal tahun ini, seleksi buku edisi ebook terbitan PTS boleh didapati melalui kedai ebook e-Sentral di www.e-sentral.com.
Lebih daripada 100 judul ebook daripada penulis-penulis bestseller PTS seperti Abdul Latip Talib, Ainon Mohd, Bahruddin Bekri, dan Zamri Mohamad telah tersedia untuk dibeli oleh para pembaca. Senarai ebook PTS boleh dilihat di www.pts.com.my/ebook.
Buat masa ini hanya pengguna iPad dan iPhone sahaja yang boleh digunakan bagi membaca ebook yang dijual melalui e-Sentral. Pengguna iPad dan iPhone perlu memuat turun applikasi e-Sentral Reader dari Apple App Store untuk membaca buku yang sudah dibeli.
Walau bagaimanapun, dalam bulan Ogos 2012, pihak e-Sentral dijangka akan melancarkan cloud apps mereka bagi membolehkan pengguna komputer Windows dan MacOS untuk membaca ebook mereka menggunakan web browser.
Selain e-Sentral, PTS juga mula menerbitkan buku edisi bahasa Inggeris dalam edisi Kindle untuk pasaran antarabangsa. Dua judul buku tulisan Dr Danial Zainal Abidin telah mula dijual sebagai edisi Kindle di website Amazon.com. Dua buku tersebut ialah Islam the Misunderstood Religion
dan 7 Formulas of Excellent Individuals
Menurut Pengarah Urusan PTS, En Arief Hakim Sani, PTS sedang berusaha untuk memperbanyakkan jumlah tajuk dan juga menambah jumlah kedai ebook, untuk memberikan pelbagai pilihan kepada pembaca. Ini adalah strategi PTS bagi menyediakan konten PTS dalam pelbagai skrin dan format untuk kemudahan pembaca hari ini. Langkah ini dijangka akan membuka saluran pendapatan baru untuk pengarang-pengarang PTS di masa depan.