14 Buku Terbaik Sepanjang 2016 (Fiksyen & Non-Fiksyen)

oleh Asri Yussof pada 03 Jan 2017

bookcase-1869616_1280

Senarai 14 buku terbaik ini hanya untuk buku-buku yang diterbitkan sepanjang tahun 2016 sahaja. Kriteria yang dipilih berdasarkan kandungan yang diangkat oleh setiap penulis. Selain itu kami juga melihat kepada undian di media sosial @bukupts yang diadakan beberapa hari sebelum melangkah ke tahun 2017.

1. Falsafah Hidup

 falsafah hidup

Falsafah Hidup antara karya fenomena HAMKA. Tahun 2016 adalah tahun #PTSmengenangHAMKA. Selain Falsafah Hidup, Tasawuf Moden, Lembaga Budi, Lembaga Hidup, Peribadi dan Lembaga Hikmat juga diterbitkan pada tahun ini.

Antara karya ini, kami memilih Falsafah Hidup kerana gagasan yang HAMKA cuba bangunkan begitu besar dan penting. Kata HAMKA, Falsafah tidak akan berhenti, selama manusia masih berfikir, selama manusia masih bertanya, selama batin manusia masih merasa adanya rahsia itu.

2. Islam Tanpa Keekstreman

 Islam tanpa keekstreman

Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan diterjemahkan kepada bahasa Melayu oleh Islamic Renaissance Front (IRF). Buku ini ditulis oleh Mustafa Akyol. Beliau adalah penulis dan wartawan dari Turki yang mengandaikan dirinya seorang ‘Classical Liberal’.

3. Yahudi, Kristian, Hindu & Buddha Berasal Daripada Islam?

 yahudi

Buku ini mempunyai kesinambungan dari buku Kau Sembah Apa, terbitan Puteh Press. Tetapi buku ini mempuyai kandungan yang berbeza jika dibandingkan dengan buku Kau Sembah Apa. Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha berasal daripada Islam? lebih memaparkan fakta-fakta untuk mengemukakan pendapat hubung kait setiap nabi yang diutuskan oleh Allah terdapat dalam setiap agama di dunia.

Menutup tahun 2016, kedua-dua buku ini mendapat tentangan yang hebat dari kalangan penganut agama Hindu dan Sikh.

4. Menyanggah Belenggu

 menyanggah belenggu

Menyanggah Belenggu mengangkat isu-isu dari pengajian Melayu dan wacana lokal. Tema-tema yang diangkat dalam ruang lingkup orientalisme, feudalisme, humanisme dan multikulturalisme. Penentangan Dr. Azhar Ibrahim terhadap gagasan neo-liberalisme tetap jelas dalam buku ini, seperti yang ditulis oleh beliau dalam tulisan beliau sebelum ini. Menyanggah Belenggu diterbitkan oleh Gerak Budaya.

5. Baiduri Segala Permaisuri

 Baiduri segala

Sehingga hari ini, Srikandi masih misteri. Apa yang boleh ditatap hanyalah naratif penceritaannya terhadap sejarah dan susur galur kita. Buku ini diterbitkan oleh Terfaktab Media.

6. Mentaliti Jamban

 mentaliti jamban

Buku ini adalah buku kedua Khairul Abdullah selepas buku travel guide, I’m A Backpacker Europe. Mentaliti Jamban adalah buku yang mengkritik sosial masyarakat kita. Buku ini diterbitkan oleh KOMRAD.

Walaupun ia bukanlah kritik falsafah lawan falsafah, tetapi nilai-nilai kecil yang diangkat dalam Mentaliti Jamban adalah sesuatu yang sangat penting kalau kita masih bercita-cita nak jadi negara maju (4 tahun lagi nak sampai 2020)

7. Kisah 25 Filsuf Barat

 kisah 25 filsuf barat

Matluthfi datang lagi dengan kemunculan buku ketiga. Tajuk bukunya berat dan sangat menyimpang dari buku pertama dan kedua beliau iaitu Catatan Matluthfi dan Momen2 Matluthfi yang diterbitkan oleh Puteh Press.

Kali ini, Kisah 25 Filsuf Barat. Kandungannya sangat bagus bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan falsafah. Gagasan falsafah yang besar telah dipermudahkan melalui penyampaian Matluthfi yang lebih mudah difahami. *tak haram baca falsafah barat*

8. Semusim Di Barzakh

 semusim

Selepas Tarbiah Sentap berjaya dengan buku pertama, kedua dan ketiga, mereka sudah menjadi salah satu penerbit di Malaysia yang bersaing untuk menjual kandungan yang bagus.

Semusim di Barzakh adalah salah satu buku yang bagus untuk tahun 2016. Buku ini mendapat undian antara yang tertinggi dalam undian yang PTS adakan beberapa hari lalu sebelum kita melangkah ke 2017.

9. Hikayat Budak PhD

 hikayat budak phd

Hikayat Budak PhD diterbitkan oleh Kopi Press. Bagi mereka yang tidak membeli buku ini tentu sudah membaca kisah Dr. Syahr yang viral di media sosial apabila gambar beliau yang membawa cokmar di Majlis Konvokesyen di The University of Adelaide.

10. Ayat-Ayat Cinta 2

 ayat2 cinta 2

Selepas 9 tahun setia menunggu pengakhiran kisah cinta Fahri, akhirnya Ayat-Ayat Cinta 2 sampai di Malaysia bermula tahun 2016 (walaupun ia diterbitkan di Indonesia pada penghujung 2015)  Makanya ia boleh tersenarai dalam 15 buku terbaik sepanjang 2016.

Fahri meneruskan kehidupan di Edinburgh. Habiburrahman El Shirazy mengembangkan lagi kehangatan kasih sayang dalam Islam dan toleransi dalam beragama.

11. Aristokra

 aristokra

Aristokra menjadi novel paling hangat sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016. Sesi autograf bersama Ahmad Patria di PBAKL mengambil masa selama 3 jam. Beliau popular bermula dari siri Saga Artakusiad yang mempunyai 8 siri kesemuanya.

Aristokra adalah novel pertama dalam siri Kronika Nashan. Siri kedua Kronika Nashan akan diterbitkan tidak lama lagi, Lodra. Boleh dikatakan beliau antara pemula novel fantasi di Malaysia.

Fadli Akiti, pengkritik sastera Malaysia memuji Aristokra sebagai novel fantasi yang ‘luar biasa’. Sehingga ia mempunyai bahasa yang sendiri!

12. Republik Sungai Golok

 republik sungai golok

Wacana Pattani sudah agak lama menyepi. Kemunculan Isma Ae Mohamad melalui novel Republik Sungai Golok sedikit sebanyak membantu wacana mengenai Pattani diangkat kembali.

Kisah yang menyentuh perasaan dalam dan begitu menginspirasikan. Kanak-kanak adalah watak-watak utama dalam novel ini. Inspirasi watak kanak-kanak ini seperti kita membaca Laskar Pelangi, begitu. Diterbitkan oleh Dubook Press.

13. Imaginasi

 imaginasi

Garapan terbaru novelis thriller Ramlee Awang Murshid bertemakan cinta. Kisah tentang tiga lelaki, tiga perempuan, tiga cinta, dan tiga kata. Cerita cinta mereka bukan klise. Perwatakan dan jalan cerita yang bersifat suram dan gelap, ia boleh dikatakan bersifat dark comedy. Adakah Imaginasi sebuah novel psikologi? Diterbitkan oleh Alaf-21

14. Transgenesis

 transgenesis

Kulit baru dan penerbit baru, sangat membantu karya Transgenesis ini untuk hidup semula. Novel sains fiksyen ini mempunyai naratif yang sangat menarik.

Diterbitkan oleh Penerbit-X. Transgenesis mengangkat isu pelanggaran etika dalam penyelidikan ahli saintis yang dahagakan nikmat dunia.

Isu-isu kemanusiaan sangat jarang diangkat dalam mana-mana karya. Membacanya seperti kita menonton filem sains fiksyen dari Hollywood.