Artikel

26 Novelis Jenayah Bestseller ‘berkomplot’ dalam No Rest for the Dead

oleh [email protected] pada 11 Jul 2011

Oleh: Muhammad Asas

Novel genre jenayah yang hebat tentunya menampilkan hero yang berhempas-pulas berdepan dengan plot seperti puzzle tidak tersusun dan watak misteri serta perahsia yang akhirnya menemui suspens yang mengejutkan. Bagaimana pula novel yang bukan saja mempunyai ramuan thriller yang menguja itu, bahkan ditulis secara bersama oleh 26 pengarang novel jenayah yang bestseller dengan keseluruhan jualan mereka sebelum ini mencecah puluhan juta naskhah?

Pengalaman membaca itulah yang bakal dikunyah oleh pembaca apabila novel No Rest for the Dead terbitan Simon & Schuste cuba memberikan kejutan apabila menyerang di pasaran buku antarabangsa pada 5 Julai lalu.

No Rest for the Dead menyorot usaha detektif Jon Nunn, yang diburu rasa bersalah apabila kes pembunuhan yang diselesaikannya pada 10 tahun yang lalu kembali menghantuinya. Meskipun, tertuduh dalam kes itu, Rosemary Thomas sudah pun dijatuhkan hukuman mati kerana didapati bersalah membunuh suaminya yang juga kurator muzium di San Fransisco, Nunn merasakan keputusan penghakiman berkenaan adalah salah. Apabila Nunn mengetahui upacara pengebumian wanita itu akan dihadiri oleh semua suspek dalam kes berkenaan, detektif itu berasa ia adalah saat terbaik untuk membongkar pembunuh yang sebenar.

No Rest for the Dead diilhamkan oleh pakar kisah fiksyen jenayah Amerika Syarikat (AS) dari Strand Magazine, Andrew Gulli, yang turut menulis prolog untuk novel berkenaan. Gulli memberitahu agensi berita antarabangsa, Reuters, gabungan pengarang novel jenayah bestseller itu julung kali berlaku dalam dunia penerbitan.

“Saya mendapat idea mengenai wanita yang dijatuhkan hukuman ke atas jenayah yang tidak dilakukannya. Lalu, saya menulis prolog dan menyerahkannya kepada pengarang pertama untuk dia dan penulis yang lain mula menulis,” katanya yang turut menjelaskan projek itu mengambil masa empat tahun untuk diselesaikan.

No Rest for the Dead ditangani oleh pengarang yang bukan calang-calang apabila pengenalan novel itu ditulis oleh David Baldacci, yang mencipta nama dengan novel Absolute Power yang mengisahkan agen Secret Service cuba menyembunyikan kematian kekasih sulit Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam kemalangan yang turut membabitkan pemimpin berkenaan.

Novel itu kemudian diangkat ke filem dengan judul sama, lakonan Clint Eastwood dan Gene Hackman.

Antara pengarang genre jenayah yang turut membidik pena mereka ialah RL Stine yang menerima jolokan sebagai ‘Stephen King untuk novel kanak-kanak’.

Jeffery Deaver yang dipilih sebagai penulis rasmi novel James Bond yang baru, iaitu Carte Blanche dan Jeff Lindsay yang novel bersirinya Darkly Dreaming Dexter diangkat ke drama televisyen, Dexter yang mengisahkan penganalisa corak darah di Jabatan Polis Metro Miami yang bertukar menjadi pembunuh bersiri. Malah, No Rest for the Dead turut ditangani pengarang novel yang juga ahli akademik dan sarjana seperti Profesor Emeritus Undang-undang Perubatan dari Universiti Edinburgh, Alexander McCall Smith dan Profesor Antropologi di Universiti North Carolina, Kathy Reichs.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024