Artikel

44 CINTA dan KEINTELEKTUALAN TEMBAKAU

oleh Mohd Ekram Al Hafis pada 02 Mar 2021

Ketika saya diminta untuk membuat cerapan terhadap karya Allahyarham Kartunis Tembakau ini, menyelinap sedikit rasa gementar kerana pada saya ini adalah cabaran yang agak hebat. Saya perlu membuat penelitian segenap sudut supaya dapat menterjemah keintelektualan di sebalik karya Tembakau yang sudah diketahui cukup mantap dalam pelbagai aspek. Yang dimaksudkan di sini adalah visualnya yang cukup masak dengan elemen serta prinsip seni, struktur jalan cerita yang terperinci, dan kreativiti imaginasi yang tidak terbatas namun dapat dipersembahkan dengan amat baik sekali.

Menifestasi pemikiran Tembakau saya mulakan dengan menyentuh kebijaksanaan beliau dalam mengatur visual, ikon, teks, dan struktur cerita dalam komik-komik ciptaannya, khasnya dalam 44 CINTA walaupun hanya dalam satu bingkai visual. Beliau menterjemah teks dan membantu imaginasi pembaca dengan visual yang digambarkan secara tidak literal tetapi dengan metafora yang tepat. Ramai pelukis komik yang cuba mengaplikasi teknik ini, namun mungkin tidak semuanya berjaya. Secara teori, fenomena ini dipanggil sebagai ‘semiotik’.

Dalam ilmu semiotik, elemen tanda dan penanda amat dititikberatkan. Idea dan konsep (signified) menjadi penanda (signifier) kepada maksud teks dan visual ataupun sebaliknya. Begitulah menurut Ferdinand de Saussure yang menegaskan bahawa elemen ‘signified’ dan ‘signifier’ adalah proses komunikasi melalui teks dan visual kepada kognitif. Roland Barthes (1964) dalam artikelnya bertajuk ‘The Rhetoric of The Image’ menyokong pendapat Saussure dengan mengutarakan tiga elemen komunikasi semiotik, iaitu mesej linguistik, mesej ikonik berkod, dan mesej ikonik tanpa kod.

Asasnya adalah bagaimana elemen linguitik menterjemah ikon visual ataupun diterjemah secara literal dalam sesuatu aktiviti komunikasi. Secara teori ia nampak sarat dan berat dan memerlukan latihan berpuluh tahun bagi menguasai ilmu ini secara praktikal. Namun inilah yang berlaku dalam hampir setiap karya Tembakau dengan olahan teks yang menterjemah makna visual secara ikonik ataupun secara literal.

Dalam 44 CINTA, berani saya katakan bahawa pemahaman Tembakau kepada ilmu ini secara teori dan praktikal cukup mantap kerana bukan mudah untuk menjalinkan teks dan visual ke dalam komik yang memberi makna ikonik dan literal. Komik pada halaman surat 12, 13, dan 19 (sekadar menyebut beberapa halaman) sarat dengan mesej metafora ikonik dan berkomunikasi dengan pembaca. Malah kesannya menjadi lebih kuat jika pembaca melalui pengalaman yang hampir sama.

Menyentuh tentang struktur cerita yang dibina dalam naskah 44 CINTA, saya cuba sinergikannya dengan teori struktur cerita yang biasanya diaplikasikan dalam filem. Tembakau adalah pelukis papan cerita untuk filem dan animasi. Kepakaran menggambar visual ‘sequent’ kepada skrin pastinya diadaptasi oleh beliau dalam karya komik. Cukup unik apabila kita dibawa sedikit demi sedikit ke dalam cerita yang Tembakau hidangkan. Setiap babak cerita akan ada persoalan ‘kenapa?’ dan akan dijawab secara berperingkat, tidak tergesa-gesa, adakala tergantung, tetapi memberi pembaca sedikit imaginasi tanpa dibantu oleh visual. Tujuan cerita terarah kepada protagonist dan bukan hanya terarah kepada objektif tujuan cerita semata-mata.

Ini mengingatkan saya kepada ‘9 Act Structure’ oleh David Siegel yang dijadikan teknik dalam kebanyakan filem dan ia mungkin telah diaplikasikan oleh Tembakau secara tidak sedar. Menurut Siegel, setiap yang berlaku akan ada persoalan kenapa? Kenapa dia? Kenapa berlaku begitu? Kenapa dia jatuh cinta? Dan berbagai lagi ‘kenapa’ yang perlu dijawab sekreatif mungkin supaya cerita yang dihidangkan boleh dipercayai dan realistik. Teknik ini juga lebih mementingkan ‘protagonist goal’ dan bukannya arahan cerita. Inilah yang selalu dihidangkan oleh Tembakau, iaitu jalan cerita dirinya, persoalan tentang dirinya, dan tujuan watak-watak ciptaan dari inspirasi dirinya.





Dalam setiap karya komik, naratif, visual, dan teks saling berhubung. Pemilihan kata yang baik akan memberi impak kepada pembaca dan membuatkan naratif itu sampai kepada tujuan cerita. Cubalah baca karya-karya Tembakau dalam 44 CINTA. Tidak keterlaluan saya tegaskan bahawa Tembakau amat mahir menyusun setiap bait kata, epilog dan prolog dalam karyanya, hingga dapat menyentuh emosi pembaca dalam merasakan apa yang cuba disampaikan. Membaca karyanya bagai dibuai dengan karya sastera yang indah. Itulah yang selalu ditekankan oleh McCloud dan Eisner dalam prinsip berkomik, iaitu kemahiran menyusun naratif menjadi olahan visual dengan dialog yang koheren.

Jika diamati berlapis-lapis, akan kita dapati karya Tembakau terkandung ilmu yang bukan sahaja sebagai gagasan pemikiran dalam menjalani kehidupan, tetapi juga boleh dijadikan rujukan serta pedoman. Rugilah jika penggemar komik tidak memiliki karya-karya Tembakau. Buat para pembikin komik pula, seharusnya keintelektualan dalam setiap karya beliau diteliti dan digali. 44 CINTA boleh dikatakan adalah kesinambungan jalinan karya-karya Tembakau sebelum ini. Ibarat sebuah buku latihan yang melengkapkan buku teks!

Preorder KARTINI MEMORI masih dibuka. Layari dan tempah set anda sekarang di : https://bookcafe.com.my/pakej-kartini/

——————————————

*Mohd Ekram Al Hafis Bin Hashim merupakan tenaga pengajar dalam bidang animasi di Jabatan Multimedia Kreatif, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim (UPSI). Kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat PHD dalam bidang Media Baru dengan kajian tentang komik, animasi, dan teknologi XR (Virtual reality, Augmented Reality & Mix Reality).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024