Artikel

Adiwira Kegemaran: Secret Superheroes

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 23 Dec 2015

Memiliki kuasa ajaib memang menjadi angan-angan setiap kanak-kanak. Tipulah kalau waktu kecil dahulu anda tidak pernah walau sekali bermain watak adiwira kegemaran masing-masing seperti Superman, Ultraman, Sailormoon, dan lain-lain.

Anda begitu mendalami watak anda dalam membanteras kejahatan daripada anasir luar. Indah bukan kehidupan zaman kanak-kanak kita?

Begitulah cubaan yang hendak dibawa oleh seorang lagi penulis cilik, Reshma Bai Rao di mana beliau menghasilkan sebuah karya di bawah Tunas Super iaitu Secret Superheroes.

Membaca tajuknya sahaja sudah boleh diagak jalan ceritanya akan berkisar mengenai apa.

Di awal cerita, Ain dan adiknya, Amy telah berpindah ke sekolah baru. Pada awal-awal lagi watak antagonis telah ditonjolkan iaitu Siti Sarah yang begitu tidak suka pada Ain.

Hidup Ain tidaklah semewah rakan-rakannya kerana setelah kematian ayah, ibu Ain terpaksa bekerja untuk menyara hidup mereka. Penulis juga telah memperkenalkan beberapa watak lain yang bakal menjadi rakan kepada Ain di situ.

Cerita kemudiannya disambung apabila Ain dan Halmi menjadi semakin rapat. Namun, segalanya berubah apabila Ain terjumpa sepasang kasut misteri yang rupa-rupanya boleh membuatkan Ain berlari sepantas kilat.

Namun, dia rahsiakan kebolehannya itu daripada semua orang walaupun keluarganya sendiri. Rahsia Halmi terbongkar apabila tiba-tiba stor di sekolah terbakar di mana Ain dan Halmi bersama-sama cuba menyelamatkan tukang kebun yang terperangkap di dalamnya.

Beberapa adegan sabotaj daripada watak antagonis juga diselitkan dalam cerita ini. Begitu juga dengan adegan di mana Ain menggunakan kebolehan barunya untuk menyelamatkan orang lain.

Kemunculan sebuah robot secara tiba-tiba membuatkan Ain menjadi takut namun akhirnya mereka menjadi akrab atas beberapa peristiwa. Rupanya, robot itu membawa khabar tidak baik di mana ketua robot mereka berniat untuk memusnahkan bumi.

Berjayakah Ain dan Halmi menyelamatkan bumi daripada dimusnahkan? Apakah rahsia yang disimpan oleh Halmi? Siapa sebenarnya robot yang tiba-tiba muncul itu?

Anda harus membeli dan membaca jika ingin mengetahui dengan lebih lanjut.

Anda pasti akan terpegun dengan bagaimana penulis bukan bangsa Melayu ini menggarap cerita dengan kemas dan dengan menggunakan Bahasa Melayu yang sangat baik dalam bukunya.

Pembacaannya terasa pantas kerana kita akan sentiasa mahu tahu dengan apa yang terjadi. Unsur suspens berjaya ditonjolkan dalam buku ini juga. Keseluruhannya, buku ini memang terbaik. Kipidap!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024