Artikel

Akta Madinah dan Akta Volstead.

oleh Helmi pada 11 May 2004

Arak pernah diharamkan di zaman nabi dan pernah diharamkan di Amerika. Di zaman nabi, ramai dari kalangan sahabat nabi terkenal sebagai kaki arak di zaman jahiliah dan hal ini berterusan ketika mereka memeluk Islam. Walau bagaimanapun ketika ayat 90 dari surah Al-Maidah diturunkan, yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman sesungguhnya meminum arak, berjudi, berkorban untuk berhala serta mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan,” para sahabat mematuhinya tanpa sebarang persoalan dan keluh kesah. Dalam Tafsir Al-Azhar, Hamka menukilkan beberapa riwayat dari Anas bin Malik berhubung perkara ini. Anas berkata, “Arak telah diharamkan sedangkan tidak ada bagi bangsa Arab ketika itu suatu yang lebih menyeronokkan selain daripada arak… Walau bagaimanapun (selepas ayat yang mengharamkan arak diturunkan) sebahagian kami membawa tong-tong arak ke jalan raya dan menuang arak yang terdapat di dalamnya di situ. Sebahagian yang lain memecahkan tong-tong arak, dan sebahagian yang lain pula mencucinya dengan tanah dan air”.

Mengikut riwayat yang lain, Anas bin Malik berkata, “Waktu ayat tentang pengharaman arak diturunkan, aku sedang mengedarkan arak di rumah Abu Talhah. Tiba-tiba kami terdengar suara seorang lelaki di halaman rumah lalu kami pun keluar untuk melihatnya. Lelaki itu berkata, ‘Wahai kawan-kawan, mulai hari ini arak diharamkan’. Maka berkatalah Abu Talhah, ‘Keluar cepat dan tumpahkan arak’. Aku pun menumpahkan kesemua arak yang terdapat ketika itu…. Terdapat seorang kawanku yang telah meletakkan cawan arak di bibirnya untuk diminum. Apabila beliau terdengar ayat berhubung pengharaman arak dibacakan, beliau terus melepaskan cawan arak dari tangannya. Itulah kali terakhir beliau menyentuh arak”. Demikianlah contoh kekuatan yang ada pada sahabat-sahabat nabi kesan dari sinaran takwa.

Bandingkan kisah ini dengan apa yang berlaku di Amerika. Pada tanggal 10 Oktober, 1919, Akta Volstead diluluskan dan dengan itu kesemua aktiviti yang berkaitan dengan minuman dan penjualan arak diharamkan di Amerika. Walau bagaimanapun selepas akta itu dikuatkuasakan, minuman dan penjualan arak menjadi semakin berleluasa. Rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai penguat kuasa menjadi suatu perkara biasa. Belanjawan tahunan yang diperuntukkan untuk penguatkuasaan meningkat dari $4.4 juta kepada $13.4 juta dolar Amerika pada tahun 1920-an. Jumlah ini tidak termasuk belanjawan di peringkat negeri serta kerajaan tempatan. Tambahan dari itu, jumlah kematian yang berpunca dari minuman arak juga meningkat di seluruh negara. Pada tahun 1920 ia melibatkan 1,064 kes tetapi pada tahun 1925 ia meningkat kepada 4,154 kes. Kes-kes mabuk juga meningkat dan penangkapan yang dibuat berkaitan dengannya meningkat sebanyak 41 peratus dan yang berkaitan dengan pemandu-pemandu mabuk meningkat sebanyak 81 peratus. Statistik ini dilaporkan dalam Cato Policy Analysis Number 157 bertarikh Julai 17, 1991 oleh Institut Cato.

Akhirnya pada tanggal 20 Februari 1933, Kongres Amerika memutuskan untuk mengkaji semula Akta Volstead dan pada 22 Mac tahun yang sama, akta ini dipinda untuk mengizinkan penjualan arak semula. Dengan itu gagallah negara Amerika untuk mengharamkan arak dan gagallah rakyat Amerika untuk menjauhi bahaya arak. Apakah kesan kesemua ini kepada Amerika pada hari ini? Antara kesannya ialah, mengikut Monitoring the Future Study oleh Universiti Michigan pada tahun 1992, 88% pelajar di sekolah menengah di Amerika pernah terlibat dengan arak. Tambahan dari itu, paling kurang 3 juta orang remaja yang berumur antara 14-17 tahun merupakan peminum arak bermasalah (problem drinkers) di Amerika. Hal ini dilaporkan oleh Adolescents and the Media: Adolescent Medicine, October 1993. Minuman alkohol telah menyebabkan 100,000 kematian setiap tahun di Amerika seperti yang dilaporkan dalam Scientific American di bawah tajuk Deaths Due to Alcohol pada bulan Disember 1996. Kemalangan maut di bawah pengaruh alkohol menjadi punca utama kematian di kalangan remaja di Amerika pada hari ini. Fakta ini dimuatkan dalam brosur American Academy of Pediatrics pada tahun 1998. Lebih dari itu, kajian mendapati remaja yang minum arak menanggung risiko terlibat dengan penyalahgunaan dadah 7.5 kali ganda lebih tinggi berbanding remaja yang lain, dan risiko terlibat dengan kokain pula meningkat 50 kali ganda. Kenyataan ini dimuatkan dalam American Academy of Pediatrics di bawah tajuk Underage Drinking pada tahun 1998.

Lantas Akta Volstead yang dikuatkuasakan selama lebih kurang 14 tahun dari 10 Oktober 1919, hingga ke 22 Mac 1933 gagal membanteras arak di Amerika. Sebaliknya Islam dengan undang-undangnya berjaya membanteras arak di Madinah dalam jangka masa tidak sampai 10 tahun. Apakah punca kegagalan di Amerika dan kejayaan di Madinah? Kegagalan di Amerika berpunca dari penggubalan undang-undang tanpa roh sedangkan nabi menggubal undang-undang bermula dari roh. Maksudnya, penekanan nabi ialah pada penyemaian takwa di hati disusuli dengan penggubalan undang-undang dalam negeri. Justeru, dengan formula yang betul berasaskan takwa umat Islam berjaya mencipta sejarah yang gilang gemilang.

Berbekalkan takwa, umat Islam telah menjadi satu golongan yang luar biasa yang tidak ada tolok bandingannya. Pencapaian mereka di sudut individu dan masyarakat amat mengagumkan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024