Artikel
Andrea Hirata Jadi Fenomena dalam Dunia Sastera
oleh Roziyah pada 18 May 2011
Hasil tulisannya yang memukau dan penuh dengan realiti kehidupan membuatkan nama penulis ini kekal menjadi bualan peminat-peminat novel di Malaysia.
Tuan Andrea Hirata yang terkenal dengan tretalogi Laskar Pelangi diakui dapat menjadi cabaran kepada penulis-penulis di Malaysia.
Melalui program Borak Buku yang diadakan ahad lalu, penulis dan peminat buku di Malaysia berkumpul bagi membicarakan mengenai buku-buku hasil tulisan Tuan Andrea Hirata.
Dr. Sharol Lail Sujak yang juga penulis tempatan dijemput dalam program borak buku ini bagi berkongsi cerita beliau mengenai buku tulisan penulis kegemaran beliau ini.
Beliau mengakui Andrea Hirata mampu jadi fenomena yang sangat besar sehingga mampu menjana ekonomi kepada penduduk di latar tempat yang dikisahkan dalam karya beliau.
"Ini adalah cabaran kepada kita sebagai penulis di Malaysia. Kita perlu percaya beliau kini sudah menjadi fenomena kepada dunia sastera kita," jelas Dr. Sharol lanjut.
Sebagai maklumat, novel Andrea Hirata juga sudah diangkat ke layar perak melalui novel Laskar Pelangi hasil tulisan pengalaman beliau.
Borak Buku siri lima yang diadakan secara santai ahad lalu berjaya mengumpulkan penulis dan peminat tempatan bagi membicarakan buku-buku menarik dan meninggalkan kesan dalam dunia penulisan di Malaysia.
Bertempat di Coffe Beans, KL Sentral, borak buku ini membuka penyertaannya kepada orang awam yang berminat dalam bicara buku. Borak Buku ini turut mengundang personaliti dan tidak terhad kepada penulis sahaja bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan perihal buku menarik dan menjadi pilihan.
Sebelum ini, borak buku turut menjemput Tuan S.M Zakir, Datuk Dr Baharuddin Zain atau Baha Zain dan ramai lagi penulis terkenal Malaysia.
Bagi edisi akan datang, borak buku menjemput sasterawan negara dengan bicara buku yang pastinya lebih menarik dan mengujakan. Nantikan penguguman perihal borak buku edisi keenam yang akan diadakan pada bulan hadapan.