Artikel

Artis Komik-M Tercalon Anugerah Pekomik Malaysia

oleh Roziyah pada 25 May 2011

Dunia komik di Malaysia kini semakin berkembang pesat dan mendapat sambutan ramai. Kebanyakan peminat komik kini sudah mula menunjukkan minat kepada komik-komik yang dihasilkan oleh penulis tempatan.

Selaras dengan perkembangan positif ini, Persatuan Penggiat Komik Malaysia dengan kerjasama perpustakaan Malaysia menganjurkan bulan komik sepanjang Mei. Melalui bulan komik ini, pelbagai aktiviti yang dianjurkan termasuklah demonstrasi lukisan, pameran, seminar dan pelbagai aktiviti menarik khas buat peminat komik tempatan. Bulan komik ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan komik Malaysia.

Anugerah Pekomik 2011 yang diadakan pada sabtu ini menjadi acara kemuncak kepada bulan komik ini. Anugerah yang kali ketiga dianjurkan ini bertujuan mengiktiraf sumbangan pekomik, penerbit dan semua pihak yang terlibat dalam industri penerbitan komik di Malaysia.

Editor Komik Senior, Tuan Wan Zuhairi Wan Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Tuan Wanzu menjelaskan PTS yang giat menghasilkan komik bagi bacaan tempatan turut menjadi penaja utama bagi anugerah ini.

"Beberapa artis serta komik terbitan PTS juga turut tercalon dalam anugerah besar bagi penggiat komik Malaysia ini, " jelas Tuan Wanzu.

Anugerah yang diadakan diadakan di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia pada 28 Mei ini terbuka kepada semua peminat-peminat komik di Malaysia. Peminat komik dijemput hadir bagi memeriahkan Anugerah Pekomik Malaysia ini. Layari Pekomik.blogspot.com bagi mendapatkan maklumat lanjut aktiviti. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025