Artikel

Baca @ Ramadan: Hudaibiyah Medan Tarbiyah

oleh Hairul Faizal Adli pada 09 Jul 2012

Perjanjian Hudaibiyah adalah perjanjian yang tidak dimulai dengan kalimah bismillahirrahmanirrahim. Perjanjian ini juga tidak mengiktiraf Muhammad bin Abdullah sebagai Rasulullah. Lebih teruk lagi, perjanjian ini sangat merugikan orang Islam dan menguntungkan orang kafir. Justeru, bagaimanakah perjanjian yang sebegini rupa tetap dipersetujui oleh Rasulullah dan orang Islam?

Pastinya, Rasulullah tidak akan mengkhianati Islam dan Allah sentiasa menolongnya. Allah dan Rasul-Nya jualah yang lebih tahu akan hikmah perjanjian ini. Walau bagaimanapun, Allah yang Maha Pemurah tidak sesekali membiarkan para hamba-Nya ternanti-nanti sekian lama untuk mengecapi nikmat perjanjian ini. Dalam masa yang singkat sahaja, terbuktilah yang Perjanjian Hudaibiyah adalah satu kemenangan besar buat orang Islam. Lebih manis lagi, kemenangan ini disusuli pula dengan kejayaan umat Islam membuka semula Kota Makkah yang dikuasai oleh orang kafir.

Perjanjian Hudaibiyah adalah medan tarbiyah. Rasulullah mempamerkan kebijaksanaan dan ketenangan sebagai pemimpin yang agung. Para sahabat pula membuktikan perpaduan yang kukuh serta ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah. Kesetiaan mereka kepada persaudaraan Islam juga jelas terbukti apabila mereka sepakat mahu menuntut bela kematian Uthman. Rentetan daripada peristiwa inilah pihak kafir Quraisy terpaksa menghantar wakilnya untuk memeterai perjanjian damai dengan umat Islam.

Dengan gaya penceritaan yang menarik, penulisnya berjaya menghidupkan peristiwa Perjanjian Hudaibiyah seolah-olah ia berlaku di depan mata kita. Babak-babaknya diperincikan lengkap dengan elemen suspen, debaran, dan kegembiraan yang mampu menggugah emosi para pembaca.

Itulah kelebihan novel ini dalam mengungkapkan satu peristiwa agung dalam Islam. Rakaman sirah yang dipaparkan mampu menyuntik semangat dan memacu perjuangan umat Islam. Penceritaannya juga dapat membangkitkan kecintaan kita kepada Islam, sekaligus menyuburkan semangat jihad dalam diri kita.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024