Artikel

Baca @ Ramadan: Mencari Rahmat dalam Sinaran Ilmu

oleh Hairul Faizal Adli pada 06 Jul 2012

Al-Quran, semulia-mulia kitab ini diturunkan oleh Allah pada bulan yang paling agung iaitu Ramadan. Daripada himpunan ayat yang suci ini pula, ayat yang pertama diturunkan adalah Iqra` (Bacalah). Perintah dan galakan untuk membaca ini diturunkan terlebih dahulu berbanding ayat-ayat suruhan untuk mengerjakan solat, puasa, zakat, haji, dan sebagainya.

Sesuatu ibadah perlu dibuat berpandukan ilmu. Satu daripada jalan untuk menuntut ilmu pula adalah dengan membaca. Itulah signifikannya penurunan Iqra` sebagai ayat yang pertama. Tabiat membaca adalah komponen yang sangat penting dalam budaya ilmu. Rasulullah juga menggalakkan kita untuk menyebarkan ilmu, walaupun satu ayat.

Menyedari hakikat ini, PTS Media Group cuba menyempurnakan tuntutan fardu kifayah untuk menyebarkan ilmu dan membudayakan ilmu dengan kempen Baca@Ramadan. Ramadan adalah bulan untuk kita mendekati Allah, melipatgandakan ibadah, dan menuai sebanyak-banyak ganjaran pahala. Menerusi kempen ini, PTS menghimpunkan koleksi buku-buku yang bersesuai bagi membantu kita mencari rahmat dalam sinaran ilmu. Selaras dengan penurunan Iqra` dalam bulan Ramadan, sangat sesuai sekali untuk kita meraikan Ramadan dengan buku.

Seleksi buku PTS terdiri daripada kitab Riyadus Solihin, Asbabun Nuzul, Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab, Ledakan Facebook, dan pelbagai lagi variasi bacaan yang menarik. Bagi menyebarluaskan budaya ilmu dan pengedaran buku-buku ini, kedai-kedai buku di seluruh negara sedia merancakkan kempen ini. Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian boleh mendapatkan buku-buku yang terpilih di kedai-kedai buku yang berhampiran.

Insya Allah, buku-buku terbitan PTS akan menjadi pelengkap ilmu kepada bacaan al-Quran yang kita lazimi pada setiap Ramadan. Ibadah yang dibuat berlandaskan ilmu pastinya lebih berkesan di hati dan membolehkan kita merasai nikmat dan kemanisan beribadah. Mudah-mudahan pembacaan kita di sepanjang Ramadan dapat menaikkan tingkat ilmu dan darjah keimananan kita.

Semoga Allah merahmati usaha kita untuk menuntut ilmu dan beribadah di sepanjang bulan Ramadan. Semoga setiap helaian buku dan setiap satu huruf yang kita baca dibalas dengan sebesar-besar ganjaran pahala oleh Allah. Marilah kita mencari rahmat dalam sinaran ilmu dengan meraikan Ramadan bersama buku. Ingat Ramadan, ingat Baca@Ramadan, ingat buku PTS.

Layari www.pts.com.my/ramadan bagi maklumat lanjut.

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024