Artikel

Baca@Ramadan: Ajaibnya Sedekah

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 24 Jul 2013

Erti hidup pada memberi. Semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita dapat. Itulah prinsip pelaburan dengan Allah yang sangat bertentangan dengan prinsip pelaburan sesama manusia. Apabila kita memberi seringgit kepada orang lain, bermakna harta kita sudah kurang seringgit. Itulah sifir matematik biasa dan mentaliti para kapitalis yang bertuhankan dunia. Namun, betapa ajaibnya pelaburan dalam bentuk sedekah yang dianjurkan oleh Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya (bersedekah) pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui."

(Surah Al Baqarah, ayat 261) 

Betapa untungnya kita sebagai umat Islam. Semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita dapat. Apabila sedekah ini disempurnakan dengan takwa, maka Allah akan mengeluarkan kita daripada kesusahan dan memberikan rezeki yang tidak terkira banyaknya. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan segala keperluannya. Inilah intipati janji-janji Allah dalam surah At-Talak, ayat 1 dan 2. Ayat-ayat ini lebih dikenali sebagai ayat seribu dinar di kalangan masyarakat kita

Begitu banyak kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan buat orang yang suka bersedekah. Bertambah hebat lagi, ada bonus pula pada bulan Ramadan. Ramadan adalah bulan yang paling sesuai untuk kita menggandakan sedekah. Bagi yang belum biasa bersedekah, inilah saat yang sesuai untuk memulakannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik sedekah adalah sedekah pada bulan Ramadan.” Hadis ini direkodkan oleh At-Tirmidzi.

 Nikmat apa lagi yang mahu kita dustakan? Sudah terlalu banyak nikmat dan kesenangan yang Allah beri kepada kita. Sedekah, zakat, wakaf, dan menggembirakan hati sesama manusia dengan hadiah sama sekali tidak akan mengurangkan harta kita. Yakinlah pada janji-janji Allah yang sentiasa benar. Semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita dapat.

 Jadikan Ramadan ini sebagai bulan untuk kita mensyukuri nikmat Allah. Bayangkan seakan-akan Rasulullah berada bersama kita dan contohilah manusia yang paling agung dan paling indah akhlaknya ini. Bersedekahlah.

 Abdullah bin Abbas melaporkan, 

“Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang paling dermawan. Sifat itu menjadi lebih hebat apabila tiba bulan Ramadan. Ketika itu juga, baginda dikunjungi oleh malaikat Jibril. Jibril menemui Rasullah pada setiap malam Ramadan dan mereka membaca Al-Quran bersama-sama secara bergilir-gilir. Ketika itu Rasulullah lebih kerap menderma, bahkan lebih kerap daripada tiupan angin.”

 (Direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025