Artikel
Baca@Ramadan: Amalan yang Menghidupkan Ramadan
oleh Roziyah pada 28 Jul 2011
1. Sedekah
Memperbanyakkan sedekah dan bermurah hati di bulan Ramadan adalah dituntut. Ibn 'Abbas melaporkan:
"Rasulullah adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika Jibrai menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran." (Riwayat Bukhari)
2. Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ianya bulan al-Quran sebagaimana Allah menyatakan,
"...bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Malaikat Jibrail sentiasa bertaradus al-Quran dengan Nabi setiap hari pada bulan Ramadan. Begitu juga para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah-ibadah yang lain. Sebahagian salaf sentiasa mengkhatamkan al-Quran dalam masa tiga hari dan sebahagiannya dalam masa tujuh hari dan sebahagiannya setiap hari pada bulan Ramadan. Saidina Uthman bin Affan sentiasa mengkhatamkan al-Quran pada setiap hari pada bulan Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba bulan Ramadan, "Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa."
3. Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa
Rasulullah berkata, "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurang sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)
4. Qiamullail
Qiamullail ertinya berjaga malam. Disunatkan berjaga malam secara berjamaah pada bulan Ramadan iaitu solat Tarawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan solat malam pada bulan Ramadan. Rasulullah berkata:
"Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu." (Riwayat Bukhari)
5. Solat Tarawih
Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Solat tarawih walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjamaah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum perlaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati para jemaah.
Artikel dipetik daripada buku Adab Ramadan oleh Absyar Fuad dan Suzana Ismail.